Decathlon SG anjur festival basikal terpakai, tawar diskaun sehingga 80%
Selain membeli dan menjual basikal, bazar itu akan merangkumi bengkel dan kegiatan masyarakat yang tertumpu pada kegiatan berbasikal dan mobiliti mampan.
This audio is generated by an AI tool.
Bertemakan 'RE-Cycle & Ride', edisi keempat 'Circular Bazaar' diadakan dengan kerjasama Tour de France EFGH Singapore Criterium dan peruncit basikal tempatan. Acara itu akan berlangsung pada 4 dan 5 Julai dari pukul 10.00 pagi hingga 8.00 malam dan akan diadakan di Decathlon Singapore Lab di Kallang dan Decathlon Northshore Plaza di Punggol.
Ia bertepatan dengan permulaan Tour de France Grand Depart 2026 di Barcelona, ​​Sepanyol, dan disifatkan oleh penganjur sebagai festival basikal terpakai terbesar di Singapura.
Antara yang dilelong termasuk basikal yang diberi nafas baharu oleh Decathlon dan jenama lain, yang boleh didapatkan dengan diskaun sehingga 80 peratus daripada harga runcit asalnya.
Pengunjung boleh menjangkakan pelbagai jenis basikal, termasuk basikal gunung, basikal bandar, basikal lipat dan model kanak-kanak.
Acara itu juga akan memberi peluang tukar beli (trade-in)basikal. Pemilik boleh menukar basikal Decathlon sedia ada mereka untuk kredit kedai, dengan bonus tambahan 10 peratus ditawarkan semasa festival.
Bagi edisi ini, Decathlon juga akan menerima basikal berbingkai karbon daripada jenama lain sebagai tukar beli ke basikal Van Rysel terpilih, tertakluk pada pemeriksaan keselamatan.
Selain membeli dan menjual basikal, bazar itu akan merangkumi bengkel dan kegiatan masyarakat yang tertumpu pada kegiatan berbasikal dan mobiliti mampan.
Program-program pula termasuk demonstrasi keselamatan jalan raya yang dijalankan bersama Pasukan Polis Singapura (SPF), bengkel berbasikal gunung untuk pemula, jualan basikal vintaj oleh Bikecraft One Bike Shop, jualan kopi oleh Calibrate Coffee, permainan dan cabutan bertuah.
Pengunjung juga berpeluang memenangi barangan dan tiket ke Tour de France EFGH Singapore Criterium tahun ini, yang akan diadakan pada 7 dan 8 November.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.