Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Daya tarikan terbaru SG bertemakan dinosaur hidang makanan halal bertaraf Michelin

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA:Daya tarikan yang bertemakan dinosaur memang popular dalam kalangan kanak-kanak.

Lihat saja betapa ramai pengunjung yang berpusu-pusu ke Jurassic Mile di Changi dan sanggup beratur panjang bagi menikmati Jurassic World di Universal Studios Singapore di Resort World Sentosa!

Kehadiran haiwan raksasa itu saja memang sudah cukup untuk menggerunkan kanak-kanak dan juga orang dewasa.

Maka itu, tidak menghairankan jika Dewan Makan Jurassic Nest yang dibuka rasmi di Taman Di Pesisiran pada Jumaat (18 Nov) turut mendapat perhatian ramai.

Jurassic Nest juga merupakan dewan makan pertama di Singapura yang menawarkan dinosaur sebagai tema utamanya.

Antara dinosaur-dinosaur animatronik yang dipamerkan di Jurassic Nest adalah T-Rex, Oviraptor dan Brachiosaurus setinggi 5 meter yang menawarkan peluang bergambar yang menarik kepada kanak-kanak dan juga para penggemar yang benar-benar meminati dan mengagumi haiwan raksasa itu.

Bagi para pengunjung Islam, Jurassic Nest juga menawarkan pilihan hidangan halal.

Dua pilihan hidangan halal yang disajikan di Jurassic Nest adalah Bismillah Biryani dan Nasi Lemak Ayam Taliwang.

Bismillah Biryani adalah antara segelintir restoran halal yang memenangi Anugerah Michelin Bib Gourmand yang berprestij. Selain nasi berianinya yang sangat terkenal, Bismillah Biryani yang memenangi anugerah tersebut selama enam tahun berturut-turut sejak 2016 turut menghidangkan Ayam Tandoori dan Seekh Kebab.

Menurut pemilik generasi kedua Bismillah Biryani, Encik Syed Azlan Salahuddin, peluang untuk membuka cawangan keempat di Taman di Pesisiran adalah satu peluang keemasan yang tidak boleh dilepaskan begitu saja.

“Ia adalah suatu penghormatan untuk menerima Anugerah Michelin, tetapi ia juga menakutkan. Kami bernasib baik dan sangat bersyukur untuk menerima anugerah itu selama enam tahun. Kami juga berharap untuk menerima anugerah itu buat kali ketujuh pada tahun depan,” dedah beliau kepada BERITAmediacorp.

Seiring dengan tema dinosaur yang dipaparkan di Jurassic Nest, Syed Azlan turut mencipta hidangan baru yang diberi nama ‘T-Rex Biryani’.

Bagi para penggemar masakan Indonesia pula, Nasi Lemak Ayam Taliwang menawarkan pelbagai set nasi lemak termasuk Nasi Lemak Cabe Ijo.

Jurassic Nest yang terletak di Supertree Grove, Taman Di Pesisiran dibuka setiap hari dari 11.00 pagi sehingga 9.30 malam.
 
Sumber : BERITA Mediacorp/AE/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan