Darwisy Jasmani - 'Swiftie' yang sanggup belanja besar tonton 'The Eras Tour' untuk 5 hari
SINGAPURA: Muhammad Darwisy Jasmani, 24 tahun ialah antara ribuan peminat Taylor Swift yang berjaya mendapatkan tiket konsert bintang itu di Singapura.
Bukan satu tapi beliau berjaya mendapatkan tiket untuk hampir kesemua hari iaitu lima daripada enam malam konsert penyanyi pujaannya itu.
Darwisy juga sudah membelanjakan hampir S$5,000 untuk tiket, pakaian dan cenderahati.
"Pada mulanya, saya dapatkan dua tiket untuk diri saya. Kemudian, kawan-kawan saya tolong saya beli untuk hari-hari lain. Saya sebenarnya menyimpan duit sedikit khusus untuk Taylor Swift. Jadi saya sangat gembira kerana akhirnya dapat menggunakan wang itu untuknya. Saya tidak kisah berapa banyak yang saya belanjakan kerana bukannya selalu dia datang Singapura," kata Darwisy kepada wartawan Syawal Yusoff.
(Gambar: Syawal Yusoff)
Fesyen yang akan digayakannya juga direkanya sendiri dan diilhamkan daripada konsep album Taylor Swift.
Darwisy juga ada sebab tersendiri untuk pergi konsert itu berulang kali.
"Saya ada merancang perkara yang berbeza untuk setiap malam. Tentunya ada hari saya nak rakam bahan untuk akaun TikTok saya juga kemudian ada lagu-lagu kejutan pada setiap malam berbeza," tambahnya, yang sebelum ini pernah menghadiri konsert Taylor Swift di Singapura pada 2015.
(Gambar: Syawal Yusoff)
GELANG PERSAHABATAN ERATKAN JALINAN SESAMA 'SWIFTIE'
Darwisy yang bertugas sebagai seorang Eksekutif Operasi Acara sepenuh masa juga sanggup mengambil cuti demi konsert itu.
Setakat ini, Darwisy masih berharap untuk mendapatkan tiket bagi konsert pada Khamis (7 Mac) untuk menggenapkan kesemua enam malam.
Namun, sekiranya tidak berjaya mendapatkannya, beliau masih akan turun ke ke kawasan Stadium Negara untuk menikmati suasana bersama ribuan peminat lain di luar stadium.
Menjelang hari konsert juga, Darwisy sibuk menyiapkan ratusan gelang persahabatan untuk saling bertukar dengan para peminat lain.
Tradisi yang dimulakan sejak bermulanya konsert 'The Eras Tour' itu juga secara tidak langsung dapat mengeratkan lagi jalinan sesama peminat yang dikenali sebagai 'Swiftie'.
"Saya merancang untuk membuat lebih ramai kawan semasa konsert 'The Eras Tour' itu sendiri. Saya nampak seseorang berjalan dengan baju Taylor Swift, jika saya nampak orang itu, saya akan mendekati orang itu dan bertanya adakah anda mahu bertukar gelang? Jika anda tidak mempunyai tidak mengapa saya boleh memberikan anda satu," ujarnya, yang mula meminati Taylor Swift sejak 2012.
(Gambar: Syawal Yusoff)
PAMERAN 'THE ERAS TOUR' MBS TARIK LEBIH RAMAI PENGUNJUNG
Selepas sekian lama menunggu, Darwisy akhirnya dapat berhibur bersama sekitar 60,000 peminat dari dalam dan luar negara di Stadium Negara pada malam pertama konsert pada Sabtu (2 Mac).
Selain menghadiri konsert, Darwisy juga merancang untuk menyertai pelbagai acara sampingan yang dianjurkan bersempena konsert ini.
(Gambar: Syawal Yusoff)
Di Marina Bay Sands (MBS) misalnya, sebuah pameran diadakan bagi meraikan kerjaya seni Taylor Swift.
Selain ruang-ruang bergambar, para peminat juga boleh membeli cenderahati eksklusif konsert dan dapatkan pakej penginapan khas.
Menurut Ketua Pegawai Pemasaran, Irene Lin, kesemua pakej penginapan khas berharga antara S$10,000 hingga S$50,000 sudah habis ditempah.
"Apabila peluang kerjasama muncul kepada kami, ia adalah satu keputusan yang wajar bagi MBS untuk mengumpulkan sumber kami untuk berfikir lebih besar daripada yang pernah kami lakukan untuk satu jenama. Kami melihat impak kerjasama ini bukan sahaja dari segi kewangan dan peluang penglibatan, malah limpahan tidak ketara bagi Singapura yang akan membina ke arah ekuiti jenama dan mengukuhkan kedudukan MBS sebagai destinasi gaya hidup premium," kata Cik Lin.
Acara-acara menarik itu akan diadakan hingga 13 Mac.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.