Skip to main content

Gaya Hidup

Dari Teks ke Sentuhan: Pusat braille SG bantu golongan cacat penglihatan berhubung melalui perkataan

Anggaran Waktu Membaca:
Dari Teks ke Sentuhan: Pusat braille SG bantu golongan cacat penglihatan berhubung melalui perkataan

Jason Setok hilang daya penglihatan pada usia 27 tahun, dan kini menyelia Pusat Pengeluaran Braille di Persatuan Cacat Penglihatan Singapura. (Gambar: CNA/Jeremy Long)

Diterbitkan : 12 Oct 2025 11:58PM Dikemas Kini : 13 Oct 2025 12:01AM
SINGAPURA: Oktober sering dikaitkan dengan usaha meningkatkan kesedaran tentang golongan yang hilang daya penglihatan, tetapi bagi mereka di Persatuan Cacat Penglihatan Singapura (SAVH), usaha ini berterusan setiap hari — dengan penuh teliti, kecekapan dan kesan yang mendalam.

Di Pusat Khidmat Penghasilan dan Perpustakaan Braille SAVH di Toa Payoh, sebuah pasukan kecil mengubah bahan cetakan menjadi bahan bacaan bagi mereka yang kehilangan daya penglihatan.
Related article image
Braille dan teks timbul pada rel tangga yang menuju ke Laluan Timur-Barat di Stesen MRT Outram Park. (Gambar: CAN/Grace Yeoh)
Di tengah-tengah usaha tersebut ialah Jason Setok, 46 tahun, yang kehilangan daya penglihatannya pada usia 27 tahun akibat glaukoma. Kini, sebagai penyelia pusat tersebut, Jason bergerak dengan yakin tanpa tongkat, dengan hanya menepuk dinding sebagai panduan.

Beliau mempelajari kaedah braille dalam masa lima bulan, dan kemahiran itu membantu beliau menguasai bahasa keduanya. Kebolehan itu juga penyuluh hidupnya selepas beliau hilang pekerjaan dalam bidang elektronik.

Braille, iaitu sistem tulisan timbul yang dicipta oleh Louis Braille pada 1820an, bukan sekadar huruf yang difahami melalui sentuhan — ia perlu disediakan mengikut struktur, jarak dan tahap ketepatan yang tinggi.
Related article image
Braille adalah bahasa dalam bentuk tulisan untuk orang yang cacat penglihatan, di mana huruf-huruf dipaparkan melalui titik-titik yang dapat dibaca melalui sentuhan hujung jari. (Gambar: CNA/Jeremy Long)
“Kalau kita himpitkan semuanya, perkataan itu tidak akan bermakna bagi kami,” jelas Jason. Braille menggunakan huruf dengan jarak lebar tetap: setiap huruf mesti disusun dengan jarak yang sama, dan saiz atau jarak antara titik tidak boleh diubah. Atas sebab itu, pusat itu tidak hanya menterjemah teks — mereka menyusun dan membentuk setiap perkataan dengan teliti.

Antara bahan yang dihasilkan ialah kertas peperiksaan untuk pelajar kurang daya penglihatan yang menuntut di sekolah arus perdana dan papan tanda awam. Setiap projek dikendalikan dengan tahap ketelitian yang tinggi. Kesalahan pada jarak atau saiz perkataan boleh menjadikan braille itu tidak boleh dibaca langsung.

Walaupun ramai hanya menyedari adanya braille pada butang lif atau papan tanda tandas, pusat tersebut menghasilkan lebih banyak bahan, termasuk gambar untuk tujuan pendidikan. Gambar seperti itu sangat penting bagi pelajar cacat penglihatan, terutama dalam mata pelajaran seperti sains atau matematik.
Related article image
Abjad braille Bahasa Inggeris. (Gambar: CAN/Jeremy Long)
Tetapi menukar sesuatu gambar kepada bentuk yang hanya boleh difahami melalui sentuhan bukanlah tugas mudah. “Kami tak boleh terus mencetak timbul imej asal,” kata Jason. “Ia mungkin menjadi titik-titik yang mengelirukan, seperti tompokan dakwat pada salinan fotokopi.” Titik-titik itu, walaupun tidak mengganggu orang celik, boleh menjejas pemahaman pelajar cacat penglihatan.

Oleh itu, setiap gambar diteliti dan disesuaikan menggunakan perisian seperti PowerPoint. Label dalam rajah matematik, misalnya, mungkin perlu dipindahkan ke luar rajah berkenaan, dengan panduan tambahan disediakan. Perincian sedemikian mungkin tidak disedari oleh mereka yang tiada masalah melihat, tetapi sangat penting untuk pelajar cacat penglihatan.Sebaik sahaja siap, gambar atau rajah itu dicetak menggunakan mesin ViewPlus.
Related article image
Alat braille menukar teks pada skrin kepada braille apabila disambungkan ke peranti lain. (Gambar: CAN/Jeremy Long)
Pasukan di SAVH, termasuk tiga anggota yang juga cacat penglihatan, menghasilkan bahan braille untuk pelbagai pihak di seluruh Singapura — setiap huruf, titik dan perkataan disusun dengan rapi.

Walaupun teknologi bantuan semakin canggih, Jason yakin braille masih penting. “Ejaan sangat penting,” katanya. “Dengan braille, kami dapat menyentuh perkataan. Seperti mana mereka yang celik melihat huruf, kami ‘melihat’ dengan jari. Sebab itulah braille masih relevan.”
Related article image
Pelajar cacat penglihatan di Singapura dikehendaki mengetahui braille. Mereka menggunakan peranti Perkins untuk menjawab soalan dalam bentuk braille semasa peperiksaan. (Gambar: CNA/Raydza Rahman)
Penggunaan braille juga membantu golongan yang hilang daya penglihatan untuk berdikari. SAVH menganggarkan terdapat sekitar 40,000 orang cacat penglihatan di Singapura, dan lebih 4,000 telah menerima perkhidmatan mereka.

Bagi ramai yang kehilangan daya penglihatan pada usia dewasa, pembelajaran braille agak mencabar kerana mereka kurang mahir menggunakan hujung jari untuk "membaca". Namun, bagi yang berjaya menguasainya, braille membuka dunia baru.
Related article image
Peta dunia dalam bentuk braille. (Gambar: CNA/Jeremy Long)
Itulah yang berlaku kepada Jason. Setelah hilang pekerjaan dan daya penglihatannya, beliau kini memimpin pasukan yang memastikan orang lain tidak perlu menghadapi kesukaran yang sama. Dalam dunianya, setiap titik membawa makna — dan setiap titik adalah jalan ke hadapan.
Sumber : CNA/KH/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita