Skip to main content

Gaya Hidup

Dari penerbit TV ke pereka kasut mewah, bagaimana Mashizan Masjum bina jenama sendiri

Daripada menerbitkan rancangan televisyen kepada menghasilkan kasut mewah buatan tangan di Itali, Mashizan Masjum membuktikan bahawa perjalanan kerjaya tidak semestinya terikat pada satu bidang.

Anggaran Waktu Membaca:
Dari penerbit TV ke pereka kasut mewah, bagaimana Mashizan Masjum bina jenama sendiri

Pereka kasut Singapura Mashizan Masjum melancarkan jenama kasut mewah menggunakan namanya sendiri pada 2015, selepas hampir 20 tahun bekerja dalam industri televisyen. (Gambar: Alfie Lee)

Diterbitkan : 02 Nov 2026 11:08PM
From TV producer to luxury shoe designer: how Mashizan Masjum built his own brand
  • Singaporean designer Mashizan Masjum, 53, moved into footwear after nearly 20 years in television, studying shoe design and making shoes in Florence in 2013; he launched his first collection in 2015.
  • Feedback that 11cm heels were too high prompted him to offer lower heels, flat shoes and sports shoes, with designs focused on style and comfort.
  • Without major marketing or celebrity endorsements, he built a customer base through selected shops, exhibitions and in-person appointments, then adjusted production to meet demand.
  • During COVID-19 restrictions in 2020, Zoom shoe-fitting sessions and close relationships helped the business survive. His limited-edition handmade shoes, made in Italy, sell at luxury prices, while Singapore remains close to his heart despite his living in New York.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Daripada menerbitkan rancangan televisyen kepada menghasilkan kasut mewah buatan tangan di Itali, Mashizan Masjum membuktikan bahawa perjalanan kerjaya tidak semestinya terikat pada satu bidang.

Pereka Singapura berusia 53 tahun itu melancarkan koleksi kasut wanita pertamanya pada 2015, selepas hampir 20 tahun bekerja dalam industri televisyen.

Koleksi tersebut menampilkan kasut bertumit setinggi 11 sentimeter, warna terang, kulit berkilauan dan hiasan kristal Swarovski.

Rekaannya menarik perhatian media serta gedung serbaneka, namun maklum balas pelanggan mendorong beliau mengubah pendekatannya.

Ramai pelanggan menyukai rekaannya, tetapi menganggap tumit kasut itu terlalu tinggi.

Mashizan kemudian memperkenalkan kasut bertumit lebih rendah, termasuk dalam koleksi yang dipersembahkan pada Minggu Fesyen Singapura pada 2016.

Kini, antara rekaan popular jenamanya ialah kasut tanpa tumit, kasut bertumit rendah dan kasut sukan, manakala kasut tumit tingginya lazimnya setinggi 5 hingga 7 sentimeter.
Related article image
Koleksi Mashizan merangkumi kasut tanpa tumit, kasut bertumit rendah dan kasut tumit tinggi, dengan penekanan terhadap gaya serta keselesaan. (Gambar: Jude P)
TINGGALKAN KERJAYA TELEVISYEN DEMI MINAT BAHARU

Mashizan merupakan graduan kumpulan perintis Sekolah Pengajian Komunikasi Universiti Teknologi Nanyang (NTU).

Beliau pernah menghasilkan rancangan ehwal semasa dan dokumentari, termasuk bersama Mediacorp, sebelum menerbitkan program secara bebas di beberapa negara Asia.

Pada 2005, beliau berpindah ke New York bagi mengembangkan kerjaya dalam industri televisyen Amerika Syarikat.

Sepanjang 6 tahun di sana, beliau bekerja sebagai penerbit, penulis dan pengarah bagi beberapa syarikat penerbitan.

Apabila kembali ke Singapura pada 2011, Mashizan memegang jawatan ketua kandungan di sebuah syarikat penerbitan dan menyelia beberapa penerbit.

Namun, beliau merasakan peluang untuk berkarya semakin terbatas apabila tanggungjawab pengurusannya bertambah.

Pada 2013, beliau mengambil cuti sabatikal selama 6 bulan untuk mempelajari rekaan dan pembuatan kasut di Florence, Itali.

Pada mulanya, beliau sekadar mahu mendalami minat terhadap kasut yang dianggapnya sebagai karya seni yang boleh dipakai.

Sekembalinya ke Singapura, Mashizan meneruskan kerjaya televisyen sambil menghasilkan rekaan kasut pada masa lapang.

Namun, sambutan terhadap koleksi pertamanya mendorong beliau membuat keputusan untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada perniagaan kasut.

Ketika itu, beliau sudah memasuki usia awal 40-an.
Related article image
Mashizan pada mulanya membahagikan masa antara kerjaya televisyen dengan kegiatan mereka kasut sebelum memberi tumpuan sepenuhnya kepada jenama kasut mewahnya. (Gambar: Alfie Lee)
CABARAN MEMBINA JENAMA KASUT MEWAH

Walaupun koleksi pertamanya mendapat perhatian, Mashizan mendapati membina perniagaan yang mampu bertahan jauh lebih mencabar daripada menghasilkan rekaan menarik.

Beliau tidak mempunyai pengaruh selebriti atau sumber pemasaran besar seperti jenama fesyen antarabangsa.

Sebaliknya, beliau perlu membina kumpulan pelanggan setia secara beransur-ansur.
Menjelang 2016, kasut Mashizan sudah dijual di beberapa gedung dan butik, termasuk Public Factory di New York, Tiramisu di Milan serta Tangs dan Takashimaya di Singapura.

Beliau juga memperkenalkan koleksinya secara langsung kepada pelanggan menerusi sesi pameran dan jualan eksklusif atau 'trunk show' di New York, Paris, Dubai dan Kuala Lumpur.

Namun, pada 2017, hanya 2 tahun selepas melancarkan jenamanya, beliau mula mempersoalkan sama ada perniagaan itu mampu diteruskan.

Mashizan menyedari sebahagian besar masanya bukan dihabiskan untuk mereka kasut, sebaliknya menguruskan pemasaran, jualan, pelanggan, logistik dan pengeluaran.

Beliau mungkin hanya memperuntukkan beberapa minggu sebanyak 2 kali setahun untuk menghasilkan koleksi baharu.

Setiap rekaan juga perlu melalui pertimbangan komersial, termasuk permintaan pelanggan dan kesesuaian pasaran.
Related article image
Bagi Mashizan, kasut merupakan karya seni yang boleh dipakai, seperti yang digambarkan menerusi bentuk kasut tumit tinggi berwarna metalik ini. (Gambar: Jude P)
Daripada sekitar 8 hingga 10 contoh rekaan yang dihasilkan, hanya separuh mungkin dipilih untuk pengeluaran.

Mashizan juga tidak lagi terikat kepada jadual koleksi bermusim seperti jenama fesyen besar.

Sebaliknya, koleksi baharu diperkenalkan apabila rekaan sudah siap, dengan penjualan lebih tertumpu kepada pelanggan secara langsung menerusi pameran eksklusif, kedai sementara dan janji temu peribadi.

Pendekatan itu membolehkannya memahami keperluan pelanggan serta mengelakkan pengeluaran kasut yang tidak mendapat sambutan.

Sesetengah pelanggan setianya kini memiliki sehingga 10 atau 12 pasang kasut jenama tersebut.

HUBUNGAN RAPAT DENGAN PELANGGAN BANTU PERNIAGAAN BERTAHAN
Related article image
Mashizan kini lebih mengutamakan penjualan secara langsung kepada pelanggan menerusi pameran eksklusif, kedai sementara dan janji temu peribadi, berbanding bergantung pada gedung serbaneka. (Gambar: Alfie Lee)
Hubungan rapat dengan pelanggan menjadi antara faktor penting yang membantu perniagaan Mashizan bertahan ketika pandemik COVID-19 pada 2020.

Apabila sekatan pergerakan menyebabkan sesi jualan secara bersemuka tidak dapat diadakan, beliau mula menjalankan sesi peribadi melalui Zoom, termasuk sesi mencuba kasut secara maya.

Walaupun permintaan terhadap kasut mewah terjejas, sebahagian pelanggan terus membuat pembelian meskipun terpaksa menunggu sehingga sekatan dilonggarkan untuk memakainya.

Mashizan berkata pelanggannya terdiri daripada pelbagai golongan profesional, termasuk pengarah urusan, ketua pegawai eksekutif, naib pengetua sekolah dan guru.

Mereka mencari kasut yang bukan sahaja mempunyai rekaan tersendiri, tetapi juga selesa dipakai sepanjang hari.

Harga kasut jenama Mashizan di laman webnya kini bermula sekitar S$650 bagi kasut sukan tanpa tali dan kasut tanpa tumit, manakala kasut bertumit berharga sekitar S$720.

Beliau percaya pelanggan memilih jenamanya kerana mahukan sesuatu yang lebih eksklusif dan tidak mudah ditemui di pasaran.

Kasut Mashizan dihasilkan dengan tangan di Florence dalam jumlah terhad, membolehkan beliau memberikan perhatian kepada bahan, mutu pembuatan dan keselesaan.

Beliau turut mendapatkan bahan eksklusif daripada tukang mahir, termasuk fabrik kimono vintaj yang mungkin hanya mencukupi untuk menghasilkan 12 pasang kasut.

Ada juga bahan kulit yang hanya boleh digunakan untuk menghasilkan 4 pasang kasut sukan.

Dalam sesetengah keadaan, sesuatu rekaan dan saiz mungkin hanya dikeluarkan sebanyak 2 pasang untuk pasaran seluruh dunia.

SINGAPURA KEKAL MENJADI TEMPAT ASAL YANG PENTING
Related article image
Tidak semua rekaan Mashizan dihasilkan untuk jualan. Daripada sekitar 8 hingga 10 contoh kasut yang dihasilkan, hanya separuh mungkin dipilih untuk pengeluaran. (Gambar: Jude P)
Walaupun perniagaannya berskala kecil, Mashizan bekerjasama dengan beberapa rakan perniagaan di pelbagai bandar, termasuk Paris dan Los Angeles.

Kasutnya dihasilkan di Itali, manakala Paris menjadi tempat beliau mendapatkan inspirasi kreatif.

New York pula kini menjadi tempat tinggalnya bersama pasangan dan haiwan peliharaan mereka.

Namun, Mashizan menegaskan bahawa Singapura tetap mempunyai tempat istimewa dalam kehidupannya.

Lebih 20 tahun selepas berpindah ke New York untuk membuktikan kemampuannya bersaing dalam industri televisyen antarabangsa, beliau kini tidak lagi melihat bandar itu sebagai tempat untuk membuktikan kejayaan.

Sebaliknya, ia sudah menjadi tempat yang dianggapnya sebagai rumah, sementara Singapura kekal sebagai tempat asal yang sentiasa dekat di hatinya.
Sumber : CNA/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita