Skip to main content

Gaya Hidup

Dari pakaian bayi ke patung beruang, hasil tangan ibu ini kini jadi sumber rezeki

Siti Nur’ain Awari merupakan seorang ibu yang gemar menyimpan segala barangan anak-anaknya sebagai kenangan – daripada pakaian pertama yang dipakai bayinya, baju tidur yang dipakai anak-anak ketika didakap sehingga tertidur, hinggalah pakaian seragam prasekolah mereka.

Anggaran Waktu Membaca:
Dari pakaian bayi ke patung beruang, hasil tangan ibu ini kini jadi sumber rezeki

Daripada pakaian bayi hingga pakaian seragam sekolah, ibu kepada empat anak, Siti Nur’ain Awari, memberi nafas baharu kepada pakaian yang penuh dengan kenangan dengan mengubahnya menjadi patung lembut dan selimut. (Gambar: Annie Tan)

Diterbitkan : 12 Oct 2026 01:28PM
From baby clothes to teddy bears, this mother's handmade creations are now a source of income
  • Siti Nur’ain Awari, a mother of four in Singapore, turns her children's old clothes into teddy bears and patchwork quilts so that family memories do not just sit around gathering dust.
  • The idea grew after her cousin asked for a quilt made from 30 pieces of baby clothing in early 2024, before she shared her work on Instagram and received orders.
  • Through Patchwork Handmade Keepsakes, she now makes animal dolls and quilts from customers' clothing, with the meticulous process involving measurements, fabric matching and sewing techniques.
  • Emotionally significant orders, including a quilt for a sick child and for a preschool teacher, have led her to see clothing as carrying love and new memories.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Siti Nur’ain Awari merupakan seorang ibu yang gemar menyimpan segala barangan anak-anaknya sebagai kenangan – daripada pakaian pertama yang dipakai bayinya, baju tidur yang dipakai anak-anak ketika didakap sehingga tertidur, hinggalah pakaian seragam prasekolah mereka.

"Saya tahu saya tidak akan sesekali membuang pakaian-pakaian ini," kata suri rumah yang mempunyai empat anak berusia empat, lapan, 10 dan 12 tahun itu.

Namun, daripada membiarkan pakaian tersebut tersimpan dan berhabuk di dalam stor, wanita berusia 37 tahun itu mengambil keputusan untuk menggunting pakaian-pakaian yang penuh dengan kenangan tersebut. Anak-anaknya turut berada di sisinya ketika beliau berbuat demikian.

"Saya beritahu mereka: Ini baju kamu ketika baru pulang dari hospital, ini pakaian bercorak tentera kegemaran kamu yang nenek belikan, dan ini pakaian tamat pengajian K2 kamu," kata beliau kepada Mediacorp.

Bagi tiga anaknya yang pertama, beliau menjadikan cebisan kain tersebut sebagai patung beruang. Untuk anak bongsunya pula, beliau menghasilkan selimut yang dicantum-cantumkan. Hasil tangan itu kini menjadi antara barangan paling berharga buat anak-anaknya.

Apa yang tidak dijangkakan Cik Nur’ain ialah kegiatan tersebut akhirnya berkembang menjadi perniagaan dari rumah yang semakin maju. Menerusi Patchwork Handmade Keepsakes, beliau kini sudah mengubah ribuan pakaian bayi dan kanak-kanak terpakai menjadi patung haiwan dan selimut yang dicantum-cantumkan untuk keluarga lain. Harga bermula daripada S$85 bagi patung beruang dan S$120 bagi selimut.

CEBISAN KAIN, HIMPUNAN KENANGAN

Idea tersebut sebenarnya tercetus daripada sepupu Cik Nur’ain.

Pada awal 2024, selepas mendapat inspirasi daripada sesuatu yang dilihatnya di Internet, sepupunya menghantar sebuah beg berisi 30 helai pakaian bayi dan kanak-kanak milik anak perempuannya kepada Cik Nur’ain. Pakaian tersebut mempunyai pelbagai corak bunga yang cantik dan gambar kartun yang comel. Sepupunya meminta beliau menjahit selimut menggunakan pakaian-pakaian tersebut.

Cik Nur’ain, yang sudah biasa menjahit dan mengubah suai pakaiannya sendiri sejak remaja, menghabiskan beberapa bulan membuat kajian dan berlatih sebelum berasa cukup yakin untuk menggunting pakaian bayi terpakai milik anak saudaranya.

Setiap helai pakaian merupakan kenangan berharga yang tidak boleh diganti. "Kita tidak boleh melakukan kesilapan," kata Cik Nur’ain kepada Mediacorp.

Menurut beliau, proses menghasilkan selimut yang dicantum-cantumkan sebenarnya lebih rumit daripada yang disangka ramai.

"Selimut yang dicantum-cantumkan mempunyai tiga lapisan – lapisan atas, lapisan tengah dan kain pelapik belakang. Ia agak tebal. Kita perlu tahu jenis benang yang sesuai digunakan dan cara melaraskan mesin jahit supaya hasilnya kemas," jelas beliau.

Memandangkan selimut yang dihasilkannya terdiri daripada cebisan kain berbentuk empat segi, Cik Nur’ain perlu membuat ukuran yang tepat dan memastikan setiap cebisan disusun dengan kemas. Proses tersebut menjadi lebih rumit apabila sesetengah kain lebih anjal manakala yang lain lebih keras, kata beliau.

Cik Nur'ain menambah bahawa kemahiran juga diperlukan untuk menggabungkan pelbagai jenis kain supaya corak dan warnanya kelihatan serasi.

Pada Mei 2024, Cik Nur’ain menyiapkan selimut pertamanya untuk sepupunya dan memuat naik gambar selimut tersebut ke Instagram, sekali gus menarik minat beberapa rakannya. Beliau kemudian memutuskan untuk mengasah kemahirannya dengan menghasilkan dua lagi selimut sebagai percubaan – satu menggunakan pakaian terpakai milik bapa dan abang atau adik lelakinya, dan satu lagi menggunakan pakaian bayi anak bongsunya.

Beliau memuat naik gambar hasil tangannya ke Instagram dan sebuah kedai online, Etsy, yang kini sudah ditutup. Sebulan kemudian, beliau menerima tempahan pertamanya untuk menghasilkan dua selimut bayi.

APABILA MAINAN JADI BARANG KENANGAN

Selepas menghasilkan selimut, Cik Nur’ain mula mengubah pakaian terpakai menjadi patung beruang. Selepas menonton video di YouTube, beliau menghasilkan patung beruang menggunakan pakaian anak sulungnya pada bulan yang sama dan memuat naik gambarnya online. Beberapa minggu kemudian, beliau menerima empat tempahan patung beruang.

Didorong sambutan tersebut, Cik Nur’ain terus mempelajari cara untuk menghasilkan pelbagai jenis patung haiwan. Kini, beliau menawarkan lapan jenis patung, termasuk arnab, singa, kuda dan badak sumbu.

Hasil tangannya turut menarik perhatian anak-anaknya sendiri, yang kemudian meminta patung masing-masing. Sebagai ibu yang penyayang, beliau dengan senang hati memenuhi permintaan mereka. Memandangkan tiga anak sulungnya menamatkan pendidikan di prasekolah yang sama, beliau memutuskan untuk menghasilkan patung beruang menggunakan pakaian seragam lama mereka.

Cik Nur’ain, yang sebelum ini bekerja dalam bidang pentadbiran sebelum diberhentikan kerja pada 2020 semasa pandemik, berkata perniagaan dari rumahnya kini menjana pendapatan yang hampir menyamai gaji pekerjaan lamanya.

CIPTA KENANGAN BAHARU DARIPADA PAKAIAN LAMA

Salah satu tempahan paling mencabar yang pernah diterima Cik Nur’ain tiba dalam tiga beg besar dua tahun lalu. Beg-beg tersebut mengandungi lebih 200 helai pakaian bayi dan kanak-kanak yang merakam pelbagai peringkat kehidupan seorang anak yang disayangi.

Ibu kanak-kanak tersebut meminta Cik Nur’ain menghasilkan tiga selimut besar – satu untuk dirinya, satu untuk suaminya dan satu lagi untuk anak mereka, yang ketika itu berusia sekitar tujuh tahun dan sedang sakit, kata Cik Nur’ain.

"Saya tidak banyak bertanya kerana mahu menghormati privasi mereka, tetapi saya merasakan penyakit yang dihidapinya mungkin serius," kongsi beliau.

"Apabila saya mula-mula menerima pakaian itu, saya tidak sanggup menyentuhnya selama seminggu. Agak sukar bagi saya untuk mula menggunting pakaian tersebut. Sebagai seorang ibu, saya dapat membayangkan betapa peritnya perasaan ibu bapa kanak-kanak itu," kata beliau.

"Ketika mula-mula menjalankan perniagaan menghasilkan barangan kenangan ini, saya fikir saya hanya akan membuat barangan daripada pakaian bayi yang comel. Saya tidak menyangka akan mengalami perasaan sebegini," tambah Cik Nur’ain.

Menurut beliau, ibu kanak-kanak itu kembali membuat tempahan pada Disember 2025 untuk menghasilkan sebuah lagi selimut menggunakan baki pakaian yang ada, sebagai hadiah Krismas buat nenek kanak-kanak tersebut di Britain.

Cik Nur’ain turut mengenang satu lagi tempahan apabila satu lagi ibu bapa memintanya menghasilkan selimut menggunakan pakaian milik 22 kanak-kanak prasekolah. Selimut itu merupakan hadiah untuk seorang guru kesayangan mereka yang sedang sakit. Murid-murid tersebut berharap guru berkenaan dapat menggunakan selimut itu semasa menjalani rawatan dan berasa terhibur dengan kasih sayang serta sokongan mereka.
Related article image
Selimut yang dihasilkan daripada pakaian 22 kanak-kanak prasekolah sebagai hadiah buat guru mereka yang sedang sakit. (Gambar: Siti Nur’ain Awari)
"Pakaian bukan sekadar menyimpan kenangan, tetapi juga emosi," kata Cik Nur’ain. Beliau menjelaskan bahawa setiap helai pakaian pernah dimiliki seorang anak yang amat istimewa dan disayangi oleh keluarganya.

Kesedaran tersebut menjadikan ibu yang juga usahawan itu lebih menghargai usaha mengitar guna pakaian-pakaian berharga tersebut.

"Daripada membuangnya atau membiarkannya kotor di dalam almari, mengapa tidak menjadikannya sesuatu yang mencipta kenangan baharu?" kata beliau.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita