Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Dari makanan kegemaran jadi idea perniagaan, 3 beradik buka restoran Tiram

Anggaran Waktu Membaca:
BERITAmediacorp: Setiap hujung minggu sentiasa dinanti-nantikan oleh Cik Masturah Jamil, 35 tahun, sekeluarga kerana itulah masanya mereka dapat menikmati tiram. Ya, tiram merupakan makanan kegemaran mereka.

Maka tidak hairanlah, dari makanan kegemaran, tiram kini menjadi pencetus idea untuk Cik Masturah dan adik-beradik beliau menceburi bidang perniagaan makanan yang dipanggil Tiram atau nama penuhnya Tiram - Seafood Bar & Grill.

Restoran Tiram yang baru berusia tiga bulan itu merupakan antara tempat makan yang menawarkan pelbagai hidangan laut, dengan tiram menjadi daya tarikan utamanya.

Terdapat pelbagai sajian tiram yang ditawarkan di restoran tersebut dan ia dimasak dengan cara yang berbeza-beza. Setiap sajian mempunyai keistimewaan yang tersendiri.

Menurut pemerhatian BERITAmediacorp terdapat sekurang-kurangnya tujuh jenis hidangan tiram, termasuk Po'Boi, Oyster Rockerfeller, Bloody Mary dan Sucker Punch. Nama-namanya sahaja sudah menarik.

Terletak di kawasan Sembawang Hills Estate, restoran Tiram dimiliki oleh seorang anak muda tempatan, Encik Muhammad Jamil, 30 tahun, adik kepada Cik Masturah. Perniagaan itu juga dikendalikan bersama seorang lagi saudara mereka Encik Adam Jamil, 32 tahun.

“Saya bantu mengendalikan operasi restoran sementara adik saya, Adam, adalah jejaka di balik kaunter bar yang menyediakan pelbagai moktel dan minuman,” kata Cik Masturah, yang berperanan sebagai pengurus restoran Tiram.

Anak sulung tiga beradik itu turut berkongsi secara ringkas tentang perniagaan makanan yang sudah wujud dalam keluarganya sejak tahun 1956.

“Dari dulu lagi datuk dan nenek kami sudah menjual nasi. Minat dan kepakaran mereka dalam masakan diturunkan kepada ibu saya. Hingga hari ini, ibu bapa kami masih lagi berniaga nasi padang di gerai di Tampines,” cerita Cik Masturah.

Melihat datuk, nenek serta ibu bapanya berniaga makanan, tiga beradik itu turut tertarik dan berminat untuk melibatkan diri dalam bidang yang sama.

“Sudah lama kami menyimpan hasrat untuk menceburi dalam perniagaan makanan, tapi tidak pasti sajian apa yang ingin ditampilkan," kata Cik Masturah kepada BERITAmediacorp.

TIRAM CETUS DETIK 'EUREKA!'

Sehinggalah makanan kegemaran mereka, iaitu tiram, mencetuskan detik 'Eureka!' dan mereka membuka restoran Tiram - Seafood Bar & Grill.

Tiram-tiram yang dihidangkan di restoran tersebut pastinya segar dan bermutu tinggi memandangkan ia dipilih sendiri oleh Cik Masturah dan adik-adiknya.

"Setiap hari kami sendiri yang akan memilih tiram langsung daripada pembekal untuk memastikan ia segar. Penting untuk menyajikan tiram yang segar dan bukan yang sudah lama dibekukan,” kongsi Cik Masturah.

Setiap sajian tiram menawarkan keistimewaan yang tersendiri.

Po'Boi (S$24) misalnya, adalah tiram bersalut serdak roti dan disajikan dengan sampingan tomato, timun, Aioli cili hijau serta kentang goreng.
Grilled Oyster ($24) pula, merupakan hidangan empat keping tiram saiz besar yang dipadankan dengan sos pilihan selain sampingan krim bayam dan keju mozzarella.

Bagi yang gemar meratah tiram sejuk pula, inilah peluangnya untuk mencuba Bloody Mary atau Sucker Punch ($24). Setiap set terdapat empat keping tiram serta jus tomato, sriracha atau tobacco dan jus lemon.

ANEKA HIDANGAN LAUT

Bagi yang tidak makan tiram. Menunya juga padat dengan sajian lain yang akan menepati citarasa anda.

Terdapat pelbagai pilihan makanan laut yang lain seperti Grilled Lobster ($35) yang dihidangkan dengan sampingan keledek, nasi dan sos.

Tidak kira sama ada menjamu selera berdua, bersama keluarga atau rakan-rakan, hidangan Platter Seafood yang merangkumi kombinasi tiram, kupang, kepah, udang, udang galah, ikan saba, salada, sotong dan kentang goreng sesuai untuk dinikmati beramai-ramai.
Bagi yang gemarkan ikan pula, anda boleh mencuba ikan saba, kerapu, salmon yang disajikan dengan sampingan seperti sayuran bayam, bunga kubis, tomato dan lain-lain.

Antara yang menarik, restoran itu turut menawarkan hidangan asam pedas kepala ikan. Digelar Mama’s Asam Pedas, sajian ini sangat istimewa kerana ia adalah dari air tangan ibu Cik Masturah sendiri, seorang yang pakar dalam masakan Melayu. Setiap set asam pedas disajikan dengan nasi atau roti.

Selain asam pedas, terdapat juga ikan kerapu bakar yang boleh dinikmati dengan nasi atau ratah ia begitu sahaja. Kedua-dua sajian ikan bakar dan asam pedas ini pastinya menepati selera mereka yang gemarkan lauk-pauk Melayu.

Si kecil juga tidak dipinggirkan apabila menjamu selera dengan ibu dan ayah. Terdapat menu khas yang direka untuk kanak-kanak. Hidangan Chicken Ham Alfredo Penne dan Junior Fish & Chips yang disajikan dengan sampingan kentang goreng pasti akan menceriakan si cilik.

AYAM, STIK DAN WAGYU

Walaupun tiga suku menu merangkumi hidangan laut, bagi yang ingin menikmati hidangan alternatif seperti daging dan ayam, bolehlah mencuba bone steak, lamb shank yang disajikan dengan roti atau daging wagyu Tajima ($48).
 
Bagi penggemar ayam pula, sajian Spatchcock ($32) yang disajikan dengan sampingan sayuran dan puri bunga kubis menanti anda. Saiz hidangannya agak lumayan dan boleh dikongsi bersama teman-teman yang lain.
Sambil menjamu selera, segarkan tekak dengan pilihan moktel istimewa. Antaranya, Take Your Thyme yang menggabungkan lemonade, pink grapefruit dan soda atau Dapple Grey, kombinasi earl grey, calamansi, rose dan soda.
Anda juga boleh mencuba Butter Beer, minuman yang menyatukan butterscotch, karamel, soda dan cream cheese.

Apabila selesai menikmati sajian utama, rehatkan perut seketika sebelum membuat pesanan pencuci mulut seperti Apple Pie Parfait dan Sea Salt Caramel Brownie yang akan melengkapkan jamuan anda sebelum pulang dengan perut kenyang dan hati senang!

Tunggu apa lagi? Jika ada rancangan untuk makan luar bersama keluarga atau teman-teman pada hujung minggu ini, bolehlah ke Tiram!

Alamat: 10 Jalan Leban S(577551).
Untuk tempahan: layari www.tiram-mqk.com atau IG @tiram.sg.
Waktu operasi: Selasa – Jumaat (5.00 petang - 10.00malam), Sabtu – Ahad (12.00 tengah hari – 10.00 malam).
Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan