Skip to main content

Gaya Hidup

Dari kelas ke pentas: Pelajar kurang daya penglihatan Anisah Daaniys berpadu suara dengan anak Jamal Abdillah susuli video tular Hady Mirza

Anggaran Waktu Membaca:
Dari kelas ke pentas: Pelajar kurang daya penglihatan Anisah Daaniys berpadu suara dengan anak Jamal Abdillah susuli video tular Hady Mirza

Nur Anisah Daaniys di kelasnya bersama Hady Mirza (kiri) dan Nur Anisah Daaniys berpadu suara dengan Zaki Yamani (kanan). (Gambar: Petikan video Instagram/Hady Mirza/Mariam Jaafar)

Diterbitkan : 13 Apr 2026 11:53PM
SINGAPURA: Nama Nur Anisah Daaniys Muhammad Sufian semakin disebut-sebut di alam siber menyusuli keberanian pelajar kurang daya penglihatan itu mendendangkan lagu 'Suasana Hari Raya' secara spontan di hadapan juara musim ke-2 Singapore Idol dan juara Gegar Vaganza musim ke-6, Hady Mirza, baru-baru ini.

Ini selepas video kunjungan khas Hady ke sekolahnya, Sekolah Menengah Ahmad Ibrahim (AISS), menjadi tular bulan lalu.

Kunjungan istimewa ke AISS itu turut dilakukan oleh Hady bagi mengiktiraf usaha kakitangan sekolah tersebut menghasilkan video muzik kreatif, menggunakan lagu baharunya 'Sekejap Dah Raya'.
Hanya sekitar sebulan kemudian, Anisah, 14 tahun, kini berkongsi pentas dan malah, berduet dengan anak Raja Pop Malaysia, Jamal Abdillah, Zaki Yamani.

Pada Ahad (12 Apr) lalu, Anisah dan Zaki berpadu suara untuk menyampaikan lagu 'Sandarkan Pada Kenangan' nyanyian Jamal Abdillah dan Siti Sarah sempena Rumah Terbuka Hari Raya GRC Sembawang dan SMC Sembawang West dan Gema Syawal 2026 di Kampung Admiralty.

Video nyanyian gandingan yang tidak dijangkakan itu dikongsikan Anggota Parlimen GRC Sembawang Mariam Jaafar di laman Facebook dan Instagram beliau.

Cik Mariam memberitahu BERITA Mediacorp: "Kami sentiasa percaya untuk memberi peluang kepada bakat tempatan, terutamanya mereka yang mungkin mempunyai kekurangan tertentu."

"Apabila kami melihatnya dalam video Hady Mirza, kami merasakan suaranya sangat merdu dan kisah hidupnya amat memberi inspirasi.

"Jadi kami menghubunginya untuk mengundang beliau membuat persembahan. Bagi menjadikannya lebih istimewa, kami fikir duet bersama Zaki akan membantu meningkatkan lagi pendedahannya.

"Suaranya memang sangat 'cantik'. Dia memang layak," ujar Cik Mariam.

Semasa dihubungi penerbit kanan BERITA Mediacorp, Ira Musfirah, Hady Mirza turut berkongsi keterujaan beliau melihat Anisah diberi lebih banyak peluang untuk mengembangkan bakatnya.

"Peluang dan pengiktirafan hadir dalam pelbagai cara dan bentuk.

"Yang penting, kita perlu sentiasa merebut peluang pada saat ia datang. Saat itu milik Anisah, dan dia menyambutnya dengan hati yang penuh keikhlasan.

"Saya sangat berbesar hati melihat dia benar-benar menikmati pengalamannya. Saya pasti semua orang mendoakan agar Anisah berjaya pada masa hadapan," kongsi Hady kepada BERITA Mediacorp.

Yang jelas, Anisah sendiri berasa "terharu dan bersyukur" atas pengiktirafan yang diterimanya setakat ini, menurut ibunya, Cik Nurul Zayani Rosman.

Cik Nurul berkongsi dengan BERITA Mediacorp: "Anisah tidak menyangka videonya boleh menjadi tular.

"Anisah berasa teruja kerana ini adalah kali pertama dia dapat menyanyikan lagu Melayu di depan penonton yang majoritinya orang Melayu dan juga berduet bersama Zaki Yamani.

"Selepas videonya tular, ramai orang memberi kata-kata yang positif terhadap videonya, membuatkan beliau yakin yang masyarakat dapat menerimanya walaupun dia tidak dapat melihat," kata ibu kepada dua anak kurang daya penglihatan itu.

Cik Nurul menambah, dengan membuat persembahan bersama penyanyi lain, ia dapat memperluaskan pengalaman Anisah dan memperkasa kemahirannya untuk menjadi seorang penyanyi yang lebih profesional.

"Insya-Allah, jika diberi kesempatan, beliau ingin mengembangkan minat nyanyiannya di dalam dan luar negeri," ujar Cik Nurul.

Sebelum ini, Anisah pernah menyanyi di dewan konsert bagi The Purple Symphony, di mana beliau adalah salah seorang anggota koir.



Beliau juga pernah diundang untuk menyanyi di acara gala pengumpulan dana, seperti 'Golf Charity Gala' anjuran Majlis Sukan Orang Kurang Upaya Singapura (SDSC) dan 'Harmony Gala' oleh Goh Chok Tong Enable Fund (GCTEF).

Anisah kini juga sedang meneruskan pensijilan nyanyiannya dan sudah mencapai tahap Gred 7, dengan aspirasi untuk menjadi seorang guru vokal serta memberi inspirasi kepada orang lain melalui perjalanan hidupnya.

AP Mariam turut menambah: "Ramai orang membandingkan beliau dengan Putri Ariani (dari Indonesia).

"Saya sedang berusaha untuk melihat sama ada kami boleh mencadangkan namanya untuk platform yang lebih besar, insya-Allah."

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita