Skip to main content

Gaya Hidup

Dambakan kulit sihat, cantik dan awet muda sedang usia meningkat? Ini caranya...

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Lazimnya kita sering diingatkan untuk banyak minum air putih sekurang-kurangnya lapan gelas setiap hari. Rutin ini bukan sahaja penting dan baik untuk kesihatan tubuh tapi ia juga dapat membantu untuk mengekalkan kecantikan dan keanjalan kulit wajah dan tubuh agar ia tidak berkedut sebelum tiba masanya.

Jika inginkan kulit licin, sihat dan cantik, penting juga untuk singkirkan sel kulit mati yang melekat pada kulit. Menurut satu kajian, secara purata dalam setahun terdapat anggaran 4kg sel kulit mati yang terkumpul pada permukaan kulit seseorang.

Sel kulit mati ini juga akan membuat solekan tampil bercapuk dan ada kalanya berkuping. Malah, ada juga yang berhadapan dengan masalah kulit lain seperti kering, bersisik, bintik hitam, mengelupas dan jerawat yang berpunca dari kehadiran sel kulit mati pada lapisan kulit.

Menurut pakar kulit dan kecantikan, mencuci wajah atau memakai pelembap sahaja tidak mencukupi untuk mengeluarkan sel kulit mati yang hadir di atas kulit. Sebaliknya anda harus memastikan rutin penjagaan dan kebersihan kulit terjaga setiap hari.
Related article image
Gambar hiasan: Unsplash
Bergantung kepada kulit masing-masing jika rajin merawat kulit secara rutin anda akan dapat melihat perbezaannya dari masa ke semasa. Cuba luangkan lima hingga 10 minit setiap sesi untuk membelai dan merawat kulit semasa waktu mandi atau sebelum tidur. Jika melakukan rutin ini secara konsisten anggaran dua atau tiga kali seminggu, ia akan menjadi kebiasaan.

Hasilnya anda akan dapat rasakan kulit yang lebih cantik, bersih, ringan dan sihat berseri-seri walaupun usia semakin meningkat!

12 CARA MUDAH RAWAT KULIT

Kenali kulit


Sebelum memulakan rutin kecantikan wajah, penting untuk mengenali jenis kulit anda. Dengan demikian ia dapat mengelakkan daripada mengguna produk yang tidak bersesuaian. Jika diperhatikan, terdapat pelbagai jenis produk dan jenama untuk menyingkirkan sel kulit mati yang terdapat di pasaran. Pastikan untuk memilih produk yang menepati kulit anda agar tidak menimbulkan masalah sehingga perlu berjumpa doktor atau pakar kulit terutama jika anda mempunyai kulit sensitif.
Related article image
Gambar hiasan: Unsplash
Rutin seharian

Elak daripada melakukan rawatan pengelupasan atau 'exfoliation' setiap hari. Cukuplah dengan mencucinya bersih dan sapukan krim pelembap. Kulit memerlukan masa untuk tumbuh kembali setelah melalui proses pengelupasan.
Related article image
Gambar hiasan: Unsplash
Sebaik-baiknya proses pengelupasan dilakukan semingu sekali bagi kulit normal. Sementara yang kulit berminyak pula bolehlah lakukan proses ini anggaran dua minggu sekali. Ada kalanya, pengelupasan akan membuat kulit menjadi sensitif dengan sinar mentari.

Jika berlaku kegatalan kulit, rasa perit dan sebagainya, berhenti melakukannya. Selain itu, setelah melalui proses pengelupasan, cuba elak dari keluar rumah tanpa menggunakan krim tabir suria.

Cuci muka

Ini antara rutin yang paling penting dan wajib dilakukan setiap hari sebelum masuk tidur. Apabila kulit muka kotor tidak dibersihkan, anda akan mengundang bakteria yang akan membiak pada kulit muka dan lahirlah masalah seperti jerawat selain garisan penuaan pramatang.
Related article image
Gambar hiasan: Pexels


Biasakan untuk menggunakan toner atau penyegar setiap kali selepas mencuci muka. Kemudian jangan lupa untuk sapukan krim pelembap yang dapat memberi kelembapan pada kulit.

Pengelupasan

Proses membuang sel kulit mati ini sangat digalakkan. Ia dapat membersihkan lapisan kulit. Namun sebelum membeli produk pengelupasan, baca dengan teliti terlebih dahulu dan pastikan ia bersesuaian dengan kulit anda. Apabila selesai melalui proses ini, barulah sapukan krim pelembap untuk mendapatkan kulit yang lembut dan sekaligus kembalikan kelembapan semula jadi pada kulit.


Krim tabir suria

Ada yang pandangnya remeh, tapi menggunakan krim pelindung matahari ternyata dapat membantu untuk melindungi kulit wajah daripada terbakar! Ia juga dapat menampilkan kulit yang lebih sihat.

Related article image
Gambar hiasan: Pexels


Vitamin

Satu lagi rutin yang mesti dilakukan secara konsisten seharian. Jangan abaikan untuk mengambil pil vitamin C. Selain itu, jika anda ingin membeli produk penjagaan kulit yang menepati jenis kulit anda dan pilihlah yang mendangungi vitamin C.

Kandungan antikoksidan yang hadir dalam vitamin ternyata mujarab dan dapat memberi perlindungan pada kulit dari sebarang penceramaran sekililing yang akan menggalakkan pengeluran kolagen. Apabila kulit kita mempunyai kolagen yang mencukupi, ia akan kelihatan gebu dan membuatnya tampil lebih sihat, segar, lembap dan berseri-seri.

Tabiat buruk

Terdapat pelbagai tabiat buruk yang akan memudaratkan kulit. Antaranya merokok, pengambilan terlalu banyak kafein secara berlebihan dan sebagainya. Ia boleh menjejas kelembapan pada kulit. Lambat laun, kulit akan berkedut dan kendur. Demi kesihatan untuk jangka masa yang panjang, sebaik-baiknya anda cuba kurangkan dan buang tabiat ini.

Cahaya UV

Sinaran ultra-ungu (UV) yang merbahaya boleh menjejas tahap kelembapan kulit dan juga sinar matahari selain kesejukan atau kepanasan yang keterlaluan. Apabila musim berubah, penting untuk pastikan perlindungan yang sewajarnya agar kulit tidak rosak.

Pilihan produk

Terdapat pelbagai jenis dan jenama produk kecantikan di pasaran. Yang berjenama tidak semestinya sesuai untuk kulit anda, oleh itu penting untuk menilai dengan teliti dan ketahui ciri-ciri kulit sendiri sebelum membeli sesuatu produk.

Related article image
Gambar hiasan: Unsplash
Produk yang dapat membantu untuk tingkatkan kecantikan kulit adalah seperti krim pelembap, penyegar dan bahan eksfoliasi antaranya. Bagi yang memiliki kulit kering, pastikan untuk memilih produk yang dirumus khas untuk kulit kering atau sensitif.

Elak produk sabun yang boleh menjadi punca kulit kering. Setiap individu kulitnya berbeza-beza. Apa yang sesuai dengan anda mungkin tidak sesuai dengan orang lain. Oleh itu, pastikan pemilihan produk yang benar-benar menepati kulit anda.

Air panas

Antara cara yang paling berkesan untuk singkirkan sel kulit mati adalah dengan melakukan proses pengelupasan. Ambil tuala yang bersih, rendam dalam air panas dan perah. Tekapkan wajah dengan tuala hangat dan tepuk perlahan serta biarkan selama anggaran dua minit.

Cara ini dapat bantu untuk membuka pori-pori wajah dan memudahkan untuk singkirkan sel kulit mati dengan lebih berkesan.

Pembersih muka

Pilihlah pembersih yang lembut. Pori-pori pada kulit akan terbuka selepas menggunakan tuala panas, singkirkan sel kulit mati dengan menggunakan cecair pembersih yang lembut.

Kulit yang bersih dan yang telah melalui pengelupasan akan memudahkan untuk penyingkiran sel kulit mati dengan lebih efektif. Tekapkan tuala lembut pada kulit muka, usah gosok terlalu kasar kerana ia boleh membuat kulit rosak.

Garam

Ia bukan sahaja digunakan dalam masakan, garam juga sering dijadikan bahan dalam kecantikan untuk menyingkirkan sel kulit mati. Garam laut diperkaya dengan mineral dan menjadi pilihan yang tepat untuk kulit jenis kombinasi dan juga berminyak.

Butiran kasar garam baik untuk proses pengelupasan sel kulit mati pada kulit wajah. Urut lembut dalam pergerakan bulatan pada kulit muka dan di bahagian yang mempunyai sel kulit mati. Ia dapat membantu menanggalkan sel-sel kulit mati. Amalkan rutin ini pada sebelah malam sebelum tidur. Anda juga boleh campurkan garam dengan minyak zaitun kerana ia membantu untuk melembapkan kulit.
Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita