Skip to main content

Gaya Hidup

Dahliah Kamaru Zaman tubuh Waktu Horology setelah sukar cari jam tangan diilhamkan warisan Melayu

Anggaran Waktu Membaca:
Dahliah Kamaru Zaman tubuh Waktu Horology setelah sukar cari jam tangan diilhamkan warisan Melayu
Dahliah Kamaru Zaman mahu mengangkat keindahan budaya Malay menerusi jenama jam tangannya Waktu Horology. (Gambar: Dahliah Kamaru Zaman)
Diterbitkan : 24 Jan 2026 01:56PM Dikemas Kini : 24 Jan 2026 02:33PM
SINGAPURA: Selepas menyedari tiada jenama jam tangan dalam pasaran yang mencerminkan warisan Melayu - dan didorong oleh kisah kehidupan datuknya sewaktu belayar di laut dan sejarah maritim keluarganya - Dahliah Kamaru Zaman melaburkan wang simpanannya sebanyak S$30,000 untuk melancarkan apa yang beliau percaya adalah jenama jam tangan Melayu yang pertama di Singapura.

Ia satu detik yang mendebarkan, namun Dahliah Kamaru Zaman memberanikan dirinya.

Kemudian, sambil memegang beg kertas yang mengandungi hadiah ciptaannya sendiri, beliau menghampiri pengawal keselamatan.

"Bolehkah saya luangkan sedikit masa dengan Puan?" soalnya dengan penuh teragak-agak, di mana Puan yang dimaksudkan adalah mantan Presiden Halimah Yacob.

"Boleh, cuba nasib anda," demikian jawapan yang dierima.

Dahliah kemudian merebut peluang untuk menyerahkan jam tangan 'Klasik: Hitam' kepada Puan Halimah, iaitu jam tangan berwarna hitam daripada jenama Waktu Horology.

Hanya 300 utas jam tangan itu disediakan dan setiap satu mengandungi nombor serial 60 sempena sambutan SG60.

'Beliau kemudian berkata," Oh, terima kasih, mari kita ambil gambar.' Ia satu saat yang tidak boleh dipercayai," kata Dahliah dalam wawancara bersama CNA Women.

Mengimbas kembali kejadian itu - yang berlaku di majlis Anugerah Ibu Teladan Jamiyah ke-32 pada Ogos 2025 - Dahliah, 30 tahun berkata peristiwa itu membuatnya berasa sangat rendah diri.

"Dalam tempoh empat bulan (selepas memulakan jenama ini), saya dapat mencapai detik bersejarah ini. Saya rasa ia memberikan saya lebih banyak dorongan untuk terus memajukan jenama ini."
Related article image
Dahliah menyampaikan jam tangan Waktu Horology kepada mantan Presiden Halimah Yacob di acara Anugerah Ibu Teladan Jamiyah ke-32. (Gambar: Jamiyah Singapore)
Waktu Horology menyifatkan dirinya sebagai jenama jam tangan pertama Singapura khusus bagi sejarah Melayu.

Waktu bermaksud 'masa' dan setiap jam tangan diilhamkan oleh motif tradisional, legenda dan simbolisme budaya Melayu.

Jam tangan itu dihasilkan di Hong Kong, menggunakan pergerakan Miyota - boleh diyakini, kos rendah, mempunyai mekanisme yang boleh beroperasi selama tempoh yang lama.

TIDAK BANYAK PERWAKILAN

Selepas bekerja dalam industri jam tangan selama beberapa tahun – dan menyaksikan kitaran jam tangan yang tidak selalunya dikhaskan untuk budaya Cina, Jepun, Switzerland, Jerman dan lain-lain – Dahliah mengidamkan sesuatu yang akan mempamerkan kekayaan dan keluasan budaya Melayu. Namun, tiada satu pun yang wujud.

Jenama seperti Grand Seiko dan Chopard kerap meraikan aspek budaya Jepun.

Jam tangan kalendar Cina tradisional Blancpain pada 2012 mengubah skrip pada semua penunjuk masa lain berdasarkan kalendar Gregorian.

Pada 2025, Jaeger-LeCoultre pula memperkenalkan lukisan mini Parsi pada jam tangan ikoniknya, Reverso, manakala Bvlgari mempamerkan jam tangan dengan kaligrafi Arab yang diukir menggunakan laser.

Bekerja dalam pengurusan jenama di KGBV – sebuah syarikat pelaburan kenderaan dan pengedar barangan mewah swasta– mendedahkan Dahliah kepada dunia pembuatan jam tangan dan membuka matanya kepada idea untuk mewujudkan jenamanya sendiri untuk merapatkan jurang itu.

Beliau berjinak-jinak dengan idea itu selama setahun, menghabiskan masa lapangnya menyelidik warisan Melayu dan menconteng dail dan jarum jam tangan, walaupun dia tidak mempunyai latar belakang reka bentuk.

Apabila beliau akhirnya bersedia untuk memulakan kerjaya pada tahun 2024, Dahliah berhenti kerja untuk menumpukan sepenuh perhatiannya kepada usaha baharunya. Tetapi kemudian beliau berdepan satu cabaran.

Semasa tempoh notisnya, beliau terlibat dalam kemalangan. Sebuah kereta melanggar motosikalnya dan menyebabkan beliau tercampak ke jalan raya. Jika kenderaan di belakangnya tidak menekan brek tepat pada masanya, beliau pasti tidak akan dapat bertahan.

Dahliah terselamat dan mengalami siku dan buku lali yang patah, dan menghabiskan beberapa bulan berikutnya untuk pulih di rumah.

KALAU BUKAN DIA, SIAPA?

Pada awalnya, apabila beliau mula mengumumkan hasratnya untuk berhenti kerja, suaminya, seorang Pegawai Polis Pembantu Bersenjata, bertindak pantas, menawarkan untuk menampung perbelanjaan keluarga mereka.

Ibunya, yang merupakan seorang pengurus klinik, menawarkan untuk membantunya dari segi pengurusan kewangan.

Anggota keluarga dan rakan-rakan lain turut memberikan sokongan moral, membeli jam tangan Waktu Horology sebagai hadiah, atau berkongsi catatan media sosialnya.

Dahliah juga meminta kakaknya – seorang mantan pembantu galeri seni – untuk membantu menguruskan gerainya di Spring Sprang Sprung.

Bergantung pada berapa lama beliau perlukan untuk mencedok inspirasi, jam tangan rekaannya boleh mengambil masa beberapa bulan untuk disiapkan.

Buat masa ini, hanya dua model yang ditawarkan; Dahliah berpendapat menghasilkan dua jam tangan dalam masa setahun adalah langkah yang selesa.

Bahagian paling sukar tentang menjalankan perniagaan kecil? "Sudah tentu [mengurus] aliran tunai," kata Dahliah. Pengurus kewangannya – ibunya – menganggarkan bahawa perniagaan itu akan mula mengaut keuntungan pada tahun 2026.

Seperti ramai pemilik perniagaan kecil lain, Dahliah melaburkan sebahagian besar simpanannya – kira-kira S$30,000 – untuk memulakan syarikat itu.

Baginya, visi mengatasi kos peribadi.

Beliau memandang risiko bukan sebagai kelonggaran, tetapi sebagai kewajipan.


TEMBUSI PASARAN GAYA HIDUP
Cita-cita Dahliah menjangkaui sekadar jam tangan. Beliau merancang untuk mengembangkan jenamanya meliputi aksesori gaya hidup yang bermula dengan dunia jam tangan tetapi kaya dengan makna budaya.

Beliau juga berharap dapat bekerjasama dengan institusi budaya, dan sudahpun pun mengunjungi tempat-tempat seperti Reflections at Bukit Chandu – sebuah tugu peringatan untuk Rejimen Askar Melayu yang berjuang dalam Perang Dunia II – dan Muzium Peringatan Haji Yusoff.

Yang pasti, cita-citanya melangkaui Singapura, dengan impian untuk mempamerkan Waktu Horology di seluruh Nusantara atau Kepulauan Melayu – iaitu Malaysia, Brunei, dan Indonesia.
Sumber : CNA/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita