Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Daging stik gergasi 'Tomahawk' halal semakin menjadi pilihan pelanggan

Jika anda penggemar makan daging stik (steak), lazimnya saiz setiap keping stik yang dijual di restoran adalah antara 200 hingga 300 gram.

Anggaran Waktu Membaca:
Daging stik gergasi 'Tomahawk' halal semakin menjadi pilihan pelanggan

Stik Tomahawk yang besar sesuai untuk dimakan oleh empat hingga lima orang. (Gambar: The Meathouse)

BERITAmediacorp: Jika anda penggemar makan daging stik (steak), lazimnya saiz setiap keping stik yang dijual di restoran adalah antara 200 hingga 300 gram.

Namun jika tekak atau selera anda cukup 'besar', ini ada sejenis stik yang mampu mengisi dan mengenyangkan perut anda - stik Tomahawk seberat 1.2kg sehingga 1.5kg!

Kata orang, ada rupa ada harga. Maka itulah anda juga harus bersedia membayar harga yang jauh lebih mahal daripada harga stik-stik biasa.

Setiap stik Tomahawk menyerupai kapak. Dengan saiznya yang besar, ia sesuai untuk dimakan oleh empat hingga lima orang. Tulang Tomahawk sahaja dianggarkan seberat 400 gram.

Tidak banyak restoran halal tempatan yang menyajikan stik Tomahawk di Singapura. Dalam laporan ini kami senaraikan tiga daripadanya yang ada menawarkan Tomahawk. Tidak perlu menjadi "Raja" untuk anda menikmati stik ini.

(Gambar: M2M Movement PTE. LTD./Facebook)

STEAK ME
248 Jalan Kayu, Singapura 799472

Cef Amri selaku pengasas dan pemilik bersama Steak Me berkata sambutan terhadap stik Tomahawk Wagyu cukup baik. Cuma ia perlu kekalkan kualiti untuk bersaing dengan restoran-restoran lain.

Daging Wagyu mempunyai kualiti lebih tinggi jika dibandingkan dengan daging lembu biasa. Harganya pun lebih mahal dengan cita rasa khas serta kelembutan daging yang sempurna.

Kata Cef Amri di restorannya: “Wagyu di sini 'grain-fed'. Mak dari Jepun, bapa dari Australia yang (lembunya) dikahwinkan.”

Itu yang membuat stik tersebut istimewa. Untuk stik Tomahawk Wagyu seberat 1.5 kilogram harganya ialah S$199 dengan tiga makanan sampingan iaitu salada, kentang goreng dan 'onion rings'. Atau anda boleh memilih nasi sebagai hidangan sampingan.

“Saya yang tempah kesemua daging di sini jadi saya pastikan daging yang berkualiti saja dipilih sebab saya pernah bekerja di kedai daging selama 7 tahun,” kata Cef Amri.

Stik hanya dibubuh garam dan lada hitam sahaja supaya terasa kualiti daging.

Tambahnya lagi: “Kalau kita bancuh dengan pelbagai perapan rempah, rasanya tidak sedap. Sayang beli mahal-mahal tapi dibalut dengan rasa lain.”

Setelah dimasak selama 45 minit sehingga 1 jam, stik tersebut dibiarkan selama 10 minit supaya ia tidak menjadi liat dan agar“minyaknya dapat balik ke asal”membuatnya lebih 'juicy'. Itulah yang membuat stik tersebut istimewa. Hanya sos lada hitam diberikan untuk stik premium ini.

Chef Amri berkongsi bahawa stik tersebut selalunya diselitkan pada minggu pertama dan minggu keempat setiap bulan pada hujung minggu sahaja.

“Kita dah belajar permintaan pelanggan bila dah masuk gaji, ramai akan memilihnya. Kalau saya bawak masuk satu lot, dua hari boleh habis. Masyarakat Melayu Islam di sini berkemampuan menikmati stik Tomahawk Wagyu ini. Mereka gemar menikmati makanan enak. Bila mereka melancong dan cuba stik di luar sana, mereka balik dan cari di sini,” cerita beliau kepada BERITAmediacorp.

(Gambar: Tomahawk King by Stuffedwinglab)

TOMAHAWK KING BY STUFFEDWINGLAB
324F Changi Road, Singapura 419799

Restoran ini mula beroperasi sejak 28 Ogos 2020. Sebelum ini, ia banyak menerima tempahan secara online sahaja ketika masih terletak di Jalan Kayu.

Menurut pemilik restoran tersebut, Encik Bruce, ia ingin menjadi inklusif dalam industri F&B agar kesemua menu mereka dapat dinikmati oleh semua kaum dan agama.

Ketika ditemui di restorannya, Encik Bruce menerangkan: “Yang paling penting ialah dagingnya. Kami mendapatkannya dari salah satu pembekal daging halal untuk membawakan daging 'grain-fed' yang terbaik dari Australia.“

'Grain-fed' adalah lembu-lembu ternakan yang diberi makan bijirin.

Stik Tomahawk di sini ditetapkan pada harga S$128.90 yang boleh dikongsi antara empat hingga lima orang. Ia seberat 1.3kg hingga 1.5kg.

“Kelembutan daging itu terbaik makanya ia dipanggil 'king of beef'," kata beliau lagi.

Menurut restoran tersebut ia ingin memberikan pengalaman menjamu bertaraf 'Michelin star' untuk pelanggan yang inginkan stik Tomahawk halal di Singapura.

Penulis ini berpeluang mencuba stik enak, lembut dan empuk itu, dipadankan dengan tiga jenis sos iaitu lada hitam, sos perang (brown sauce) dan cendawan berkrim. Anda juga diberikan tiga hidangan sampingan lain iaitu kentang goreng keju, gegelang bawang (onion rings) serta salada. Cukup mengenyangkan!

Kesemua pemanggang (grillers) di restoran tersebut mempunyai sembilan sehingga 10 tahun pengalaman bekerja di kedai menjual daging. Tambah Encik Bruce:

“Daging itu tentunya terbaik bila mereka perap dan masak. Mesti ada cef yang berpengalaman untuk perapnya juga."

Sambutan masyarakat Melayu terhadap stik Tomahawk di restoran Encik Bruce disifatkannya sebagai “overwhelming” (amat baik) sehingga membuatnya menyimpan stok yang secukupnya untuk pelanggan makan di restoran atau menempah menerusi online.

“Saya rasa disebabkan tawaran kami adalah paling murah di Singapura. Sebelum ini sama ada sukar untuk dicari (yang halal) atau hanya boleh didapati di restoran mewah yang tidak halal kerana alkohol disajikan.”

(Gambar: Adeel Azhari/Google)

THE MEATHOUSE BY 18 CHEFS
#05-04 Century Square, Singapura 529509

Cef Benny, pemilik restoran The MeatHouse by 18 Chefs, ingin menyajikan stik Tomahawk yang berkualiti pada harga yang dimampui pelanggan.

Beliau yang juga memiliki restoran 18 Chefs mengakui stik Tomahawknya adalah 'best seller' dari gred USDA. Meskipun bukan stik paling murah, ramai yang tetap ingin menikmatinya di restoran tersebut.

Di restoran ini, pelanggan akan diberitahu dahulu daging tersebut seberat mana yang ada pada hari tersebut agar mereka boleh membuat pilihan stik Tomahawk seberat 1.2kg hingga 1.8kg.

(Gambar: The Meathouse)

Jelas Chef Benny: "Kami menggunakan alat pemanggang arang dari Sepanyol berharga S$30,000 agar ia dapat meresap ke daging dan mengekalkan rasa daging dan terasa efek arang."

Stik Tomahawk itu hanya ditaburkan dengan garam dan lada hitam kerana Chef Benny tidak gemar untuk memerap stik.

“Kami panggang stik begitu sahaja kerana ingin mereka rasakan rasa daging lembu itu. Anda membayar S$12 untuk 100gram, jadi kami akan hanya panggang,” kata beliau.

Stik tersebut akan disapu 'herb butter' yang sinonim dengan restoran tersebut. Ia akan cair di atas stik membuatnya lebih sedap.

Sambil menantikan stik Tomahawk disiapkan, pelanggan akan diberikan ayam goreng, salada dan kentang goreng trufel.

Menurutnya, sambutan dari pelanggan Melayu untuk stik tersebut adalah baik sekali.

20 sehingga 30 stik Tomahawk terjual pada hujung minggu. Jadi anda disarankan supaya membuat tempahan dahulu memandangkan ia adalah salah satu daripada item paling laris mereka.

Tambah Chef Benny: "Jika anda berjaya menghabiskan stik itu, saya ada rancangan untuk membingkaikan stik itu suatu hari nanti sebagai kenangan untuk anda."  

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan