Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Cuti sekolah Mac: 7 pilihan 'staycation' unik untuk menghiburkan anak anda

Penggal kedua persekolahan hampir tamat dan dengan perjalanan ke luar negara masih agak mencabar, lebih baik jika anda seisi keluarga meluangkan masa di negara sendiri.

Anggaran Waktu Membaca:
Cuti sekolah Mac: 7 pilihan 'staycation' unik untuk menghiburkan anak anda

Gambar: Pan Pacific Singapore

SINGAPURA: Penggal kedua persekolahan hampir tamat dan dengan perjalanan ke luar negara masih agak mencabar, lebih baik jika anda seisi keluarga meluangkan masa di negara sendiri.

Jika anda sudah kebuntuan idea bagi tempat-tempat untuk membawa anak anda, jangan khuatir! Terdapat pelbagai pilihan 'staycation' yang luar biasa dan unik yang mungkin akan menghiburkan anda sekeluarga, sama ada bagi yang tua mahupun yang muda.

'STAYCATION' DISNEY DI ANDAZ SINGAPORE

andaz disney staycay
Gambar: Andaz Singapore)

Disney 'Staycation' di Andaz Singapore ini memberi anda peluang untuk memiliki barangan khas Disney secara percuma, seperti lima anak patung Mickey & Friends, pinggan Mickey & Minnie, bantal dan alas kaki serta set lapik gelas Mickey Loves SG Peranakan.

Para tetamu boleh memilih bilik sebesar 38 meter persegi dengan satu katil 'king' atau dua katil 'twin', dan kedua-duanya menawarkan pemandangan bandar yang menakjubkan dan tidak terhalang.

Anda juga akan menerima dua tiket ke pameran Disney di Pusat Konvensyen Suntec City yang hanya diadakan buat sementara waktu dan juga cekak rambut khas Mickey dan Minnie agar anda didandan untuk pameran tersebut!

Harga 'staycation' ini bermula pada S$477 bagi dua orang dewasa dan seorang kanak-kanak.

TINGGAL DALAM YURT MONGOLIA

yurt beyond expedition
Gambar: Beyond Expeditions)


Pernahkah anda teringin untuk merasakan pengalaman tidur berbumbungkan bintang di langit seakan di Mongolia? Kalau anda mengangguk kepala anda, mungkin anda boleh merasakan sedikit sebanyak pengalaman yang serupa di Yishun...

Ya, betul, anda tidak salah membaca.

Pengasas Beyond Expenditions Scott Tay membina sebuah yurt Mongolia yang serupa dengan yang asli, dilengkapkan dengan perabot Mongolia dan yang paling penting sekali, alat hawa dingin di tengah-tengah Yishun.

Di sini, anda juga boleh melakukan kegiatan-kegiatan yang tidak boleh dilakukan di mana-mana tempat lain seperti pengalaman memotong kayu api dan memasak di luar, iaitu kemahiran berguna sekiranya anda akhirnya dapat melawat Mongolia kelak.

Pada waktu malam pula, anda boleh menikmati kegelapan malam sambil membakar marshmallow dengan unggun api atau menonton filem di dalam yurt anda sendiri.

Harga bagi pengalaman menarik ini bermula daripada S$450 seorang apabila anda menempah untuk sekurang-kurangnya orang dewasa.

BENGKEL, KEGIATAN DI CAPELLA SINGAPORE

capella hotel
Gambar: Capella Singapore

Salah satu tempat penginapan mewah yang paling terkenal di Singapura, Capella Singapore, digemari ramai kerana kolam renangnya dan burung-burung merak yang bebas merayau-rayau di tempat tersebut. Terletak jauh daripada hiruk pikuk bandar, terdapat juga banyak aktiviti yang boleh anda lakukan.

Hotel mesra haiwan peliharaan itu menawarkan pelbagai bengkel, daripada bengkel belajar membuat barang mandian, tulisan kaligrafi hingga kepada cara-cara menjaga tanaman.

Pada hujung minggu pula, aktiviti mencari harta benda diadakan, manakala pada pertengahan minggu pula terdapat tayangan filem dengan khemah dibangunkan di tengah-tengah bilik Grand Ballroom di hotel itu sambil menikmati sajian bertih jagung.

Harga bermula daripada S$1,000 untuk satu malam bagi dua orang dalam bilik Premier Room.

PAKEJ PENGALAMAN SEISI KELUARGA DI DUSIT THANI LAGUNA

dusit thani
Gambar: Dusit Thani Laguna

Memang sukar bagi kanak-kanak untuk menahan nafsu makan sebanyak mungkin. Jangan khuatir, di Dusit Thani, kanak-kanak boleh menikmati sebanyak mungkin piza, ayam goreng dan aiskrim yang mereka idamkan.

Selain menjamu selera, anda juga boleh cuba berjalan di Manulife Sky Nets, iaitu permainan bentuk jaring, atau cuba mencari jalan di Mirror Maze di Jewel, Lapangan Terbang Changi. Dengan gabungan aktiviti itu, anda dijamin pasti berseronok bersama keluarga anda!

Pakej Pengalaman Seisi Keluarga di Dusit Thani Laguna menawarkan kesemua itu dan juga pengalaman bersantai di tepi kolam renangnya dengan pemandangan pokok kelapa.

Para tetamu akan diberikan kredit makan bernilai S$30 di restoran Greenhouse yang dibuka sepanjang hari dan katil percuma jika perlu.

Anda boleh menikmati semua pengalaman itu pada harga S$459 ke atas bagi satu malam.

'BIKECATION' DI MANDARIN ORIENTAL

mandarin oriental
Gambar: Mandarin Oriental, Singapore

Sambil berbasikal, anda boleh menikmati pemandangan indah Marina Bay.

Dengan tawaran 'Bikecation' di Mandarin Oriental, para tetamu boleh menggunakan basikal SG Bike berwarna merah khas untuk pengalaman tersebut.

Ditawarkan percuma selama empat jam, turut disertakan adalah pelbagai makanan ringan yang sihat untuk dinikmati semasa berehat. Setelah cukup menikmati pemandangan, anda boleh pulang ke bilik penginapan yang mesra basikal atau memulangkannyadi tempat-tempat tertentu. Kemudian, anda boleh merehatkan kaki dan minda anda di dalam bilik anda ataupun di kolam renang, yang sepanjang 25 meter.

Pakej ini termasuk sarapan untuk dua orang, dengan katil dan sarapan yang percuma untuk dua lagi tetamu, bergantung kepada jenis bilik yang ditempah.

Mandarin Oriental juga menjamin anda dapat mendaftar masuk awal pada sekitar tengah hari dan 'check-out" pula pada 5.00 petang, kecuali jika anda menempah bilik suite.

PAKEJ MENEROKA HUTAN BANDAR DI PAN PACIFIC

pan pacific
Gambar: Pan Pacific Singapore


Jika anda sudah berjanji untuk melakukan pelbagai aktiviti bersama anak-anak anda, anda mungkin boleh mempertimbangkan Pakej Meneroka Hutan Bandar di Pan Pacific Singapore.

Bilik Suite Urban Jungle berukuran 76 meter persegi yang terletak di tingkat lebih tinggi menjanjikan pemandangan bandar, dengan tempat tidur berasingan bagi ibu bapa di bilik tidur utama dan bilik bertema hutan bagi kanak-kanak. Ini termasuk permainan yang boleh dikembungkan, khemah dan juga katil dua tingkat bertemakan rumah pokok.

Di hotel tersebut juga terdapat Urban Jungle Village, sebuah ruang bermain berdekatan dengan kolam renang. Tempat tertutup itu menawarkan tujuh zon aktiviti termasuk sebuah rumah pokok yang terletak di atas kolam maya di mana kanak-kanak boleh memancing, sebuah gua untuk dipanjat, stesen-stesen permainan interaktif dan laluan safari yang boleh diikuti.

Termasuk dalam pakej tersebut adalah akses selama tiga jam di Kidztopia, Marina Square, iaitu taman permainan tertutup yang terbesar di Singapura, dan akses khas ke tempat rehat Urban Jungle di depan kolam renang dengan pelampung-pelampung Kidztopia.

Anda boleh menempah bilik tersebut dengan harga S$820 setiap malam untuk dua orang dewasa dan dua kanak-kanak.

PENGALAMAN BUDAYA TANJONG PAGAR DI SOFITEL SINGAPORE

sofitel
Gambar: Sofitel Singapore City Centre


Sofitel Singapore yang terletak di pusat bandar Singapura, pula menyajikan Pengalaman Budaya Tanjong Pagar. Anda sekeluarga akan dibawa melalui jejak sejarah di sekitar Chinatown, Tiong Bahru dan Everton Road.

Pakej dua hari satu malam itu menawarkan penginapan di bilik mewah untuk dua orang dengan sarapan dan juga barangan khas oleh penggiat seni tempatan Yip Yew Chong dan William Sim.

Sepanjang jejak sejarah itu, anda boleh cuba cari karya-karya seni terkenal seperti Pasar & Fortune Teller, Cantonese Opera dan Letter Writer.

Sebaik pulang ke hotel, anda dapat menikmati kemudahan moden seperti kolam renang infiniti sepanjang 30 meter.

Harga bermula daripada S$350 untuk dua orang dewasa.

Sumber : CNA/NY/fz

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan