Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Cuaca panas di Singapura - bolehkah ia buat anda mudah jatuh sakit?

Anggaran Waktu Membaca:
Cuaca panas di Singapura - bolehkah ia buat anda mudah jatuh sakit?

(Gambar: PraewBlackWhile/iStock)

Diterbitkan : 28 Jun 2022 11:48PM Dikemas Kini : 28 Jun 2022 11:49PM
SINGAPURA: Meskipun hujan diramal turun pada bulan-bulan akan datang, hakikatnya ialah cuaca di Singapura sentiasa panas terik. Ini kerana Singapura merupakan antara negara yang hampir dengan khatulistiwa, lebih tepat lagi jauhnya hanya 137 kilometer lantas sering dilanda cuaca panas melampau.

Singapura juga menyaksikan rekod suhu yang tinggi tahun ini. Misalnya, pada Mei, terdapat 22 hari di mana suhu harian menjangkaui 34 darjah Selsius. Pada April pula, suhu maksimum harian mencecah sekurang-kurangnya 35 darjah Selsius pada tujuh hari membuat kita semua basah kuyup dengan peluh.

Sama ada anda suka atau tidak, yang pasti kehidupan kita dipengaruhi oleh keadaan cuaca semasa.

Strok haba dan dehidrasi akibat kurang minum air, biasa terjadi di bahagian dunia ini, terutama sekali jika kita bekerja atau bersenam di luar rumah.

Kebanyakan daripada kita tahu cara-cara untuk mengelakkan kesan terdedah kepada cuaca panas - minum lebih banyak air, kurangkan berjemur di luar dan rehat di tempat berteduh, hidupkan kipas atau alat penghawa dingin dan pakai pakaian yang ringan dan longgar.

PERUBAHAN SUHU BUAT ANDA MUDAH JATUH SAKIT?

Ramai yang sudah kembali bekerja di pejabat, dan dengan suhu di dalam bangunan amat berbeza dengan di luar, bagaimanakah perubahan suhu itu menjejas kesihatan anda?

"Dari segi teori, ia tidak sepatutnya menjejas sistem imuniti kerana suhu badan kita dikawal dengan baik," kata Dr Derek Li, seorang doktor keluarga di klinik Raffles Medical.

"Suhu badan kita berada dalam lingkungan tidak jauh berbeza, meskipun terdapat turun naik yang besar dalam suhu persekitaran."

Meskipun begitu, Dr Li menambah bahawa sistem daya tahan kita "sedikit sebanyak" pastinya sensitif terhadap perubahan suhu.

Khususnya bagi mereka yang mudah terdedah kepada alahan, perubahan suhu yang besar boleh "mencetus kesan seperti semput dan ruam kulit". Alahan ini dipercayai "disebabkan sistem imuniti yang terlalu aktif".

Satu lagi contoh bahawa sistem imuniti kita sensitif terhadap suhu panas adalah ia berfungsi lebih baik pada suhu yang lebih tinggi dan "ini juga sebab kita mengalami demam untuk melawan sebarang jangkitan", kata Dr Li.

Namun, apa yang akan terjadi kepada sistem imuniti jika kita berjemur di bawah terik mentari berjam-jam lamanya, seperti berbasikal?

Adakah sistem imuniti kita akan meletup seperti kereta Ferrari yang terlalu panas?

"Sama ada pendedahan yang berpanjangan kepada suhu panas akan memberikan kesan masih belum dikaji secara mendalam," balas Dr Li.

BOLEHKAH KITA TINGKATKAN DAYA TAHAN DENGAN MINUM AIR MENCUKUPI?

Dari segi teori, tidak minum air yang mencukupi boleh menjejas fungsi sistem imuniti kita kerana "semua sistem bergantung pada air untuk berfungsi dengan lancar", kata Dr Li.

"Namun, sistem utama seperti tekanan darah dan fungsi jantung akan terjejas dahulu sebelum sebarang kesan ketara menjejas sistem imuniti anda."

Pun begitu, jangan tunggu untuk minum air sehingga anda berasa dahaga.

CARA TERBAIK UNTUK PASTIKAN TERDAPAT AIR DALAM TUBUH

Seperti sedia maklum, air kosong tidak ada rasa maka tidak hairanlah jika ada yang hanya minum air apabila sudah terdesak dan benar-benar dahaga.

Namun, minum air putih merupakan cara mengatasi dehidrasi yang paling berkesan.

Jika dehidrasi dibiarkan, dapat merosakkan organ penting.

Dengan segera minum air putih dapat mengembalikan cairan dalam tubuh yang sudah hilang.
Sumber : CNA/NY/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan