COVID-19 dan mengandung: Pakar-pakar kongsi cara kurangkan risiko bagi ibu, anak
Kehamilan biasanya adalah masa yang menggembirakan bagi seseorang wanita. Namun kini dengan ramai yang gelisah akibat pandemik COVID-19, nikmat kegembiraan itu mungkin bertukar menjadi kerisauan bagi si bakal ibu. Ini beberapa nasihat doktor...

Gambar hiasan wanita hamil. (Gambar: AFP/Loic Venance)
HONG KONG: Kehamilan biasanya adalah masa yang menggembirakan bagi seseorang wanita. Namun kini dengan ramai yang gelisah akibat pandemik COVID-19, nikmat kegembiraan itu mungkin bertukar menjadi kerisauan bagi si bakal ibu.
Selain perlu bimbang tentang kesihatan diri dan orang yang tersayang, si ibu juga pasti risau akan kesihatan anak yang bakal dilahirkan dan terfikir tentang apa lagi yang boleh dilakukan untuk melindungi kandungan itu.
Meskipun wanita hamil hadapi risiko yang sama seperti orang lain untuk dijangkiti virus korona itu, mereka lebih mudah menghadapi komplikasi akibat jangkitan, akibat perubahan yang dialami tubuh mereka.
Menurut Dr Ann Tan, pakar obstetrik dan sakit puan di Pusat Kesuburan Wanita & Janin di Singapura, wanita hamil kadang-kadang mempunyai imuniti yang berubah - akibat muntah teruk, anemia atau kencing manis ketika hamil misalnya. Maka itu mereka perlu lebih berhati-hati untuk mengurangkan risiko jangkitan mereka.
"Jika anda mengandung, anda harus mengambil langkah berjaga-jaga seperti orang lain untuk melindungi diri anda dan mengelakkan pendedahan," jelas Dr Tan.
JANGKITAN KEPADA ANAK SUATU KEMUNGKINAN
Buat masa ini tiada bukti menunjukkan ada peningkatan risiko keguguran ekoran COVID-19. Juga tiada peningkatan risiko kecacatan pada kandungan.
Bagaimanapun satu fakta penting yang perlu diberi perhatian adalah terdapat kemungkinan menjangkiti janin menerusi uri kandungan, menurut satu kajian kecil yang diterbitkan pada 26 Mac di Journal of the American Medical Association (Jurnal Kesatuan Kesihatan Amerika).

Meskipun bukti awal ini membayangkan jangkitan dari ibu ke anak mungkin berlaku, perlu diketengahkan bahawa masih belum jelas apa yang menyebabkan janin dijangkiti dan terjejas teruk.
Sekiranya anda menghidapi COVID-19, anda mungkin mengalami gejala yang lebih teruk, terutamanya pada hujung tempoh kehamilan anda, walaupun risikonya adalah kecil. Ini adalah disebabkan perubahan kepada sistem daya ketahanan tubuh anda.
AWAS DEMAM PANAS DAN KESANNYA PADA KANDUNGAN
Sekiranya anda dijangkiti COVID-19, terutamanya pada tahap awal kehamilan (antara empat hingga enam minggu pertama), apa yang perlu anda bimbangkan adalah menghidapi demam yang tinggi, yang merupakan salah satu daripada simptom jangkitan virus tersebut.
"Demam panas pada umumnya tidak bagus untuk janin yang tumbuh kerana boleh mempengaruhi cara sel janin membelah dan dapat meningkatkan risiko masalah pada tulang belakang dan otak bayi," kata Dr Tan.
Persatuan Perubatan Dalam bagi Ultrabunyi dalam Obstetrik dan Sakit Puan (ISUOG) di London pula menambah bahawa masalah ini tidak terhad kepada jangkitan COVID-19 saja tetapi bagi apa saja kes demam juga, dan risiko kandungan itu mengalami masalah tersebut secara amnya adalah rendah.
CARA TERBAIK BERSIHKAN BILIK BAYI?
Seorang bakal ibu juga mungkin bimbang tentang bagaimana menjaga kebersihan rumah dan bilik bayi.
Para pengkaji dari Institut Alahan dan Penyakit Berjangkit Nasional di bawah Institut Kesihatan Nasional baru-baru ini mendapati bahawa SARS-CoV-2, virus yang menyebabkan jangkitan COVID-19, kekal aktif pada permukaan plastik dan keluli tahan karat selama dua hingga tiga hari; kekal berjangkit sehingga 24 jam pada kepingan kertas dan empat jam pada tembaga. Penemuan tersebut diterbitkan pada 17 Mac, 2020 di Jurnal Perubatan New England.
Dr Tan mengatakan bahawa membersihkan permukaan dan objek - seperti katil bayi dan mainan bayi, contohnya - dengan bahan pembersih yang disyorkan yang mengandungi agen pemutih dan sabun, rata-ratanya adalah memadai.
Pastikan objek itu dibilas atau dilap lagi untuk menghilangkan sebarang sisa sabun atau peluntur. Sekiranya ada tetamu yang berkunjung, ingatlah supaya membersihkan permukaan secara kerap dan gunakan tisu beralkohol untuk membasmi kuman.
ELAK KUNJUNGAN TETAMU
Selepas selamat melahirkan, seorang ibu juga mungkin boleh pertimbangkan agar mengehadkan kunjungan tetamu ke rumah sekurang-kurangnya buat beberapa minggu.

"Beberapa ahli keluarga terdekat mungkin jumlah yang munasabah, namun anda perlu mengetahui di mana tetamu itu berada dalam beberapa hari atau minggu sebelum ini. Agak mustahil untuk mengenal pasti siapa yang mungkin membawa COVID-19 kerana gejala mengambil beberapa hari untuk muncul," kata Dr Tan.
Pastikan tetamu mencuci tangan dengan teliti sebelum meluangkan masa bersama si ibu atau bayi.
"Mereka juga harus memakai pelitup dan elak daripada bercakap, bernafas, bersin atau batuk ke arah bayi atau mencium, memeluk atau memegangnya," nasihat Dr Tan.
BOLEH BERI SUSU BADAN?
Bagaimana pula jika seorang ibu dijangkiti COVID-19 dan bimbang tentang memberi susu badan? Kolej Doktor Obstetrik & Sakit Puan Diraja di London melaporkan bahawa tiada bukti menunjukkan bahawa virus itu boleh berjangkit menerusi susu ibu. Malah, "manfaat susu badan yang diiktiraf melebihi sebarang kemungkinan risiko jangkitan virus korona menerusi susu ibu".

Meskipun demikian, terdapat risiko jangkitan semasa menyusu jika seseorang ibu disyaki atau disahkan menghidapi virus korona itu.
Untuk mengurangkan pendedahan kepada bayi, Dr Helen Tang Hiu Tung, seorang pakar obstetrik-sakit puan di Hospital Antarabangsa Matilda di Hong Kong mengesyorkan agar si ibu mencuci tangan sebelum menyentuh bayi atau mengendalikan botol susu. Ibu tersebut juga harus memakai topeng dan mengelakkan batuk atau bersin ketika menyusu. Lebih baik lagi, biarkan orang lain yang memberi susu kepada si bayi.
"Penyusuan adalah pengalaman ikatan yang indah, namun kontak jarak rapat dengan bayi anda boleh meningkatkan risiko dia dijangkiti, jadi anda mungkin ingin mengepam susu anda dan meminta orang lain memberi susu kepada bayi anda," kata Dr Tan.
"Jangan lupa mencuci tangan dengan teliti sebelum menyentuh pam susu dan botol susu."
Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.