Skip to main content

Gaya Hidup

CNA rangkul dua emas di Anugerah Media & TV Korporat Cannes

Dua program CNA memenangi anugerah emas di Anugerah Media & TV Korporat Cannes 2025.
 

Anggaran Waktu Membaca:
CNA rangkul dua emas di Anugerah Media & TV Korporat Cannes

Dokumentari CNA Daughters of Putien meraih emas di Anugerah Media & TV Korporat Cannes 2025. (Gambar: Mediacorp)

SINGAPURA: Dua program CNA memenangi anugerah emas di Anugerah Media & TV Korporat Cannes 2025.

Anugerah itu, yang diadakan di Cannes, Perancis, pada 24 dan 25 September, meraikan kecemerlangan dalam filem korporat, media online dan dokumentari, dengan memberi penghormatan kepada penceritaan dan kemahiran yang cemerlang, menurut syarikat induk CNA, Mediacorp, pada Jumaat (26 Sep).

Dokumentari CNA, Daughters of Putien, menang emas dalam kategori Dokumentari dan Laporan (TV, Online, Pawagam): Etnologi dan Sosiologi.

Dokumentari itu menceritakan kisah seorang wanita muda yang dibawa ke bandar Putian di wilayah Fujian, China, selepas ditinggalkan akibat dasar satu anak negara tersebut.

Selain itu, episod kedua The Resurrection Quest, yang bertajuk Birth, menang emas dalam kategori Dokumentari dan Laporan (TV, Online, Pawagam): Sains, Teknologi dan Inovasi.

Dihasilkan oleh Storyteller Films, dokumentari antarabangsa itu meneliti penerokaan sains, merangkumi topik seperti kebangkitan semula spesies yang pupus, pengklonan, genetik maju dan projek pemuliharaan.

Ketua Editor merangkap Ketua Pegawai Kemampanan Mediacorp, Walter Fernandez, berkata dua anugerah emas berprestij itu mencerminkan kekuatan utama pasukan dokumentari CNA dan rakan produksi mereka: kefahaman mendalam dan halus tentang Asia, serta akses eksklusif di seluruh dunia.

Daughters of Putien menyingkap dasar satu anak China yang tidak banyak diketahui, malah di China sendiri. Ia mendedahkan emosi dan menyayat hati para wanita yang dahulunya merupakan bayi yang tidak diingini, dan dijual kepada keluarga yang mahukan pembantu rumah dan bakal menantu perempuan,” kata beliau.

The Resurrection Quest – yang melibatkan penggambaran di Timur Tengah, Afrika, Amerika Syarikat dan Asia – menyaksikan pasukan penerbitan mendapatkan akses ke makmal pengklonan di China dan menemu bual pemilik haiwan peliharaan yang diklon, meneroka pengklonan unta di Amiriah Arab Bersatu, dan menyaksikan prosedur persenyawaan in-vitro untuk badak putih utara di Kenya, tambah Encik Fernandez.

“Kemenangan ini akan mendorong kami untuk terus menghasilkan penerbitan bermutu tinggi dan menarik yang mampu menawan perhatian penonton di pentas global,” kata beliau.

Wartawan kanan CNA, Wei Du, yang mengarahkan Daughters of Putien, berkata: “Sebagai seseorang yang membesar di China, saya tidak tahu apa-apa mengenai perkara ini sebelum memulakan dokumentari tersebut. Ia adalah salah satu rahsia besar negara itu.

“Dan wanita yang kami tampilkan sebenarnya tidak menyangka ada yang akan berminat dengan kisah mereka. Kemenangan ini sangat bermakna kerana ia menunjukkan kepada mereka bahawa dunia mendengar dan merasai penderitaan mereka.”

Para penonton boleh menonton program tersebut di mewatch, platform video digital atas permintaan Mediacorp.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita