Ciri baru Google Maps bantu kesan bencana alam
Google Maps tampil dengan ciri baru dalam menyediakan amaran dan maklumat bervisual tentang bencana alam yang bakal berlaku, umum syarikat gergasi teknologi itu baru-baru ini.

(Gambar: JUSTIN SULLIVAN/AFP)
AMERIKA SYARIKAT: Google Maps tampil dengan ciri baru dalam menyediakan amaran dan maklumat bervisual tentang bencana alam yang bakal berlaku, umum syarikat gergasi teknologi itu baru-baru ini.
Digital Trends melaporkan bahawa dengan ciri terkini itu, pengguna boleh melihat secara terperinci visual bencana alam seperti ribut, banjir atau gempa bumi sekaligus menghindari mereka daripada berkunjung ke tempat-tempat yang berpotensi ditimpa musibah.
Ciri baru yang dinamakan 'SOS alerts' atau amaran SOS itu turut menyediakan ringkasan kejadian berserta berita-berita terkini, nombor kecemasan untuk dihubungi dan kemas kini daripada pihak-pihak berkuasa setempat.
Pengguna, terutamanya yang tinggal berhampiran dengan kawasan yang mungkin terjejas musibah, akan menerima pemberitahuan sehari sebelum berlakunya bencana.
Menurut Digital Trends, jangkaan masa kejadian juga akan dinyatakan secara khusus.
Selain itu, ciri 'shakemap' turut memaparkan magnitud dan pusat gempa bumi di dalam aplikasi berkenaan. Kod warna pula akan digunakan untuk mengenal pasti gempa di kawasan tertentu.
Walaupun ramalan banjir sudah boleh diakses di India, lapor Digital Trends, Google Maps merancang untuk terus meningkatkan lebih banyak ciri yang berkaitan dengan bencana termasuk memberi isyarat kepada pengguna untuk menggunakan laluan yang selamat.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.