China destinasi pilihan ramai pengunjung Pameran Pelancongan NATAS 2025
Semakin ramai pelancong warga Singapura berminat untuk 'makan angin' di China, khususnya bandar-bandar yang kurang menjadi tumpuan ramai bagi mendapatkan pengalaman melancong yang lebih bermakna.
Pameran Pelancongan NATAS menampilkan lebih 80 peserta pameran, termasuk lebih 40 ejen pelancongan. (Gambar: Mediacorp)
Trend itu dapat dilihat di Pameran Pelancongan NATAS tahun ini, yang menampilkan jumlah agensi pelancongan yang tertinggi sejak COVID-19.
Para ejen pelancongan menjangkakan hasil penjualan akan meningkat sekurang-kurangnya 10 peratus berbanding tahun lalu, dengan penyertaan rakan-rakan destinasi baharu.
Suasana kembali meriah di Singapore Expo apabila Pameran Pelancongan NATAS kembali untuk edisi ke-62.
Kali ini, ia menampilkan lebih 80 peserta pameran, termasuk lebih 40 ejen pelancongan.
Selain itu, semakin ramai rakyat Singapura sedang meneroka destinasi-destinasi yang lebih eksotik.
“Destinasi-destinasi eksotik kini mencatat pertumbuhan yang sangat kukuh kerana pelancong masa kini sudah beralih daripada destinasi-destinasi tradisional. Mereka mencari pengalaman yang lebih bermakna dan benar-benar bersifat peribadi," kata Eksekutif Komunikasi Pemasaran Chan Brothers Travel, Tan Jie Ni.
Walaupun Jepun dan Eropah masih merupakan destinasi popular, para ejen pelancongan berkata bahawa China kini muncul semula sebagai destinasi yang popular, didorong oleh minat terhadap kawasan-kawasan yang jarang dikunjungi.
“Secara tradisi, kebanyakan pelancong mungkin pernah ke Beijing, Shanghai, atau bandar-bandar tepi pantai. Tetapi kini, ramai yang memilih Yunnan, 'Three Gorges'. Ramai pelanggan memberitahu kami bahawa mereka sering melihat catatan di media sosial, Instagram atau Xiao Hong Shu, tentang tempat-tempat yang harus dikunjungi apabila berada di China," menurut Pengurus Pemasaran Super Travel, William Huang.
Pameran tahun ini turut mengalu-alukan rakan-rakan destinasi baharu seperti Papua New Guinea.
Menurut pihak penganjur, pameran tahun ini mencerminkan perubahan pada trend perjalanan dalam kalangan warga Singapura.
“Trend pelancongan kini menyaksikan lebih ramai orang membuat tempahan lebih awal. Mereka akan cuba merancang lebih awal kerana ia akan membantu mereka untuk mengurangkan dan mengurus kos perjalanan dengan lebih baik. Kedua, saya rasa mereka juga akan terus meneroka destinasi-destinasi baharu, sekalipun ke destinasi yang sama, mereka mahu menimba pengalaman baharu. Gaya hidup berbeza, pengalaman yang mahu diteroka juga berbeza," kata Presiden NATAS, Steven Ler.
Pameran Pelancongan NATAS berlangsung dari 15 hingga 17 Ogos di Dewan 5 dan 6 Singapore Expo.
Tiada bayaran masuk dikenakan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.