Cermin mata AI Ray-Ban Meta dan Oakley Meta kini dijual secara rasmi di SG
Cermin mata kecerdasan buatan (AI) Ray-Ban Meta dan Oakley Meta yang sebelum ini tular akhirnya tiba di Singapura.
Cermin mata AI Ray-Ban Meta dan Oakley Meta kini boleh didapati di kedai rasmi dan peruncit di seluruh Singapura. (Gambar: Ray-Ban, Oakley)
Firma teknologi Meta dan syarikat cermin mata EssilorLuxottica mengumumkan pada Isnin (20 Apr) bahawa koleksi cermin mata tersebut kini boleh dibeli secara rasmi melalui kedai dan peruncit di seluruh negara.
Sebelum ini, ia hanya boleh didapatkan melalui penjual pihak ketiga.
Bagi peminat Ray-Ban, anda kini boleh mendapatkan cermin mata daripada koleksi Ray-Ban Meta (Gen 2) Wayfarer, Skyler dan Headliner di kedai.
Jika anda ingin mendapatkan cermin mata Ray-Ban Meta (Gen 2) Blayzer dan Scriber Optics yang lebih nipis dan ringan, anda perlu menunggu hingga 6 Mei.
Semua cermin mata Ray-Ban Meta (Gen 2) dilengkapi dengan rakaman video Ultra HD 3K dengan HDR ultra lebar, 60 fps serta kamera 12MP yang dipertingkat; rakaman yang tidak memerlukan penggunaan tangan, yang lengkap dengan mod baharu termasuk "hyperlapse" dan gerak perlahan; komunikasi tanpa penggunaan tangan termasuk panggilan video melalui WhatsApp, Messenger dan Instagram Direct; sistem enam mikrofon dengan pembesar suara terbuka dan pelbagai ciri lain.
Bagi menandakan pelancaran tersebut, satu acara "pop-up" khas Ray-Ban Meta akan diadakan di Orchard Road, di luar Mandarin Gallery, dari 6 hingga 17 Mei.
Dibuka dari pukul 10.00 pagi hingga pukul 10.00 malam setiap hari, "pop-up" itu akan menampilkan koleksi penuh produk dan gaya cermin mata yang ditawarkan.
Selain itu, para pengunjung juga boleh mendapatkan ukiran khas pada sarung Ray-Ban Meta mereka.
Bagi peminat Oakley pula, anda kini boleh mendapatkan cermin mata daripada rangkaian Oakley Meta HSTN dan Oakley Meta Vanguard.
Bateri model HSTN mampu bertahan sehingga lapan jam bagi penggunaan biasa dan sehingga 19 jam dalam mod siap sedia (standby), serta dilengkapi sarung pengecas yang boleh memberikan sehingga 48 jam pengecasan semasa bergerak. Dari segi kamera, ia menawarkan kamera ultra lebar 12MP dengan rakaman Ultra HD 3K.
Bagi Oakley Meta Vanguard pula, baterinya mampu bertahan sehingga sembilan jam penggunaan dan enam jam 'playback' audio berterusan. Setiap cermin mata disertakan dengan sarung pengecas yang menyediakan tambahan 35 jam. Ia dilengkapi kamera 12MP dengan lensa lebar 124 darjah yang merakam sehingga 3K resolusi – dengan mod gerak perlahan, "hyperlapse" dan penstabilan yang boleh dilaraskan.
Cermin mata itu juga dapat membantu mengurangkan gangguan bunyi ketika anda melakukan senaman melalui pembesar suara terbuka yang disusunkan dengan lima mikrofon yang dioptimumkan untuk angin.
Maklumat lanjut berhubung cermin mata AI Ray-Ban Meta dan Oakley Meta boleh didapati di laman rasmi Meta.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.