Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Cef Mel Dean perkenal menu nusantara progresif di Permata Singapore

Restoran Permata Singapore bakal menyajikan hidangan-hidangan baru berkonsep nusantara progresif apabila ia dibuka semula pada 8 Disember ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Cef Mel Dean perkenal menu nusantara progresif di Permata Singapore

Cef Mel Dean, botok-botok halibut (kanan atas), rusuk percik (kanan bawah). (Gambar-gambar: Permata Singapore)

SINGAPURA: Restoran Permata Singapore bakal menyajikan hidangan-hidangan baru berkonsep nusantara progresif apabila ia dibuka semula pada 8 Disember ini.

Ini bermakna, para pelanggan akan dapat menikmati makanan-makanan asli nusantara tetapi dihidangkan dengan penampilan serba unik lagi moden dan artistik.

Salah satu daripadanya adalah makanan Singapura yang hanya boleh dijamu di negara ini saja; iaitu tidak lain dan tidak bukan Mee Wak Katok - mi yang dihidangkan dengan hirisan daging ‘Chateaubriand’ (bahagian batang pinang).

Mee Wak Katok. (Gambar: Permata Singapore)

Mee Wak Katok.

Ini adalah konsep yang diperkenalkan oleh Pengarah Kulinari baru Permata Singapore, iaitu Cef Mel Dean, yang tidak asing lagi dalam kalangan masyarakat tempatan.

Beliau, yang turut terkenal dengan trademark 'Kapowww' itu, mencipta dan menyiapkan menu dengan lebih 40 pilihan makanan.

Semuanya makanan yang dekat dengan hati masyakarat nusantara dan dimartabatkan menerusi cara persembahannya yang lain daripada yang lain. Melihat nama setiap hidangan sahaja sudah boleh dibayangkan betapa ‘cantik’ hidangan yang akan disajikan di meja.

Rawon Risotto. (Gambar: Permata Singapore)

Rawon Risotto.

Antara yang boleh dijangkakan oleh para pelanggan termasuk Kerabu Raden Ayu, Soto Banjar, Permata Samudera, Lemang Semerah Padi, Rawon Risotto, Rusuk Percik dan Botok-Botok Halibut.

Soto Banjar. (Gambar: Permata Singapore)

Soto Banjar.

PENGALAMAN MEMBANGKITKAN DERIA BAU, LIHAT & RASA

BERITAmediacorp diberitahu, Cef Mel Dean mengambil masa dua minggu untuk menyusun dan menentukan hidangan-hidangan yang akan dimasukkan ke dalam menu kali ini.

“Pelbagai santapan Nusantara yang dihidangkan di Permata bertepatan dengan Gedung Kuning yang kaya dengan sejarah. Setiap hidangan tradisional dianjak dengan sentuhan moden.

“Saya selalu impikan untuk memperkenalkan makanan-makanan yang unik dari pelbagai pelosok Nusantara untuk dipersembahkan secara artistik dan interaktif pada setiap hidangan, untuk dinikmati masyarakat umum,” kata Cef Mel Dean yang berpengalaman hampir 30 tahun dalam bidang kulinari.

Cef Mel Dean, Cek Eksekutif baru Permata Singapore. (Gambar: Permata Singapore)

Lantaran itu, Cef Mel Dean mahu memastikan setiap pelanggan melalui pengalaman yang membangkitkan seluruh deria – bau, lihat dan rasa. Malah mungkin juga mereka terbuai dengan kenangan manis ketika memakan air tangan nenek atau ibu sebaik sahaja aroma hidangan menyerbak masuk ke rongga hidung dan keaslian rasanya pula seolah-olah menari-nari pada tunas rasa.

AIR TANGAN NENEK 'DIANGKAT'

Sebagai contoh, Nasi Ulam Cakerawala merupakan ciptaan semula Cef Mel Dean yang diilhamkan daripada nenek tersayang.

“Arwah nenek saya, semasa saya kecil dahulu, dia akan tumbuk sambal bajak. Selepas itu dia akan letak nasi, ikan masin dan ulam-ulaman. Kemudian dia kepal-kepal, dia akan suapkan pada saya. Tapi di sini (Permata Singapore) kita panggil Nasi Ulam Cakerawala,” cerita Cef Mel Dean.

Di restoran itu, air tangan neneknya itu 'diangkat' martabatnya. Cef Mel Dean mengolahkannya menjadi bebola garing di luar namun lembut, empuk dan secukup rasa di dalamnya.

Bebola itu pula diletakkan di atas sos istimewa yang dalam Bahasa Inggeris dipanggil ‘turmeric gel’ atau gel kunyit. Bunyinya agak janggal bukan? Tapi begitulah magisnya sentuhan Cef Mel Dean. Apabila dicuit sos tersebut, rasanya pedas-pedas lemak seakan-akan sedang memakan kuah lemak cili padi. 

Nasi Ulam Cakerawala. (Gambar: Permata Singapore)

Nasi Ulam Cakerawala.

Harga makanan nusantara progresif di restoran itu pula antara S$10 dengan S$49.

PERMATA SINGAPORE UBAH STRATEGI PERNIAGAAN

Restoran Permata Singapore pertama kali dibuka pada hujung April lalu dengan konsep bufet nusantara - yang pertama seumpamanya di Gedung Kuning. Namun, dek peraturan-peraturan COVID-19 yang berubah-ubah, ia kini beralih dari konsep bufet kepada 'ala carte' sebagai langkah penyusunan semula strategi perniagaannya.

Dua restoran yang pernah bertapak di Gedung Kuning sebelum ini adalah Tepak Sireh dan Restoran Mamanda.

Dengan pelancaran menu dan konsep baru di Permata Singapore, ini harapan Cef Mel Dean: "Harapan saya agar masyarakat Singapura dapat jadikan Permata Singapore untuk anda meraikan hari-hari istimewa bersama teman dan keluarga tercinta." 

LAPORAN BERKAITAN:

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan