Skip to main content

Gaya Hidup

Cef dengan 30 tahun pengalaman buka Flour Artisanal, bakeri halal terbaharu di Kovan

Anggaran Waktu Membaca:
Cef dengan 30 tahun pengalaman buka Flour Artisanal, bakeri halal terbaharu di Kovan

Cef Ahmad Fahmy (kanan) bersama isterinya, Cik Siti Fadzilah. (Gambar: Fatyn Abdul Samad)

SINGAPURA: Dengan hampir 30 tahun dalam industri pembuatan roti dan pastri, Cef Ahmad Fahmy bukan nama asing dalam dunia bakeri tempatan.

Sebelum ini, beliau pernah menjadi ketua pembuat roti dan pastri di Konditori, sebuah kedai terkenal dengan pastri gaya Eropah, di Bussorah Street, selama sembilan tahun.

Membawa hasil roti dan pastri yang dicipta oleh dirinya, Cef Fahmy kini membuka kedainya sendiri di ruang yang tenang di Space @ Kovan.
Related article image
Flour Artisanal terletak di Space@Kovan # 01-01 S(545523).
Konsep Flour Artisanal lebih kepada bawa pulang, tetapi terdapat beberapa tempat duduk terhad untuk pelanggan menjamu selera.

Di situ, setiap produk dihasilkan dengan perhatian terhadap teknik dan rasa. Beliau berkongsi bahawa beliau hanya menggunakan bahan-bahan berkualiti tinggi kerana para pelanggannya berhak menikmati rasa yang terbaik.
Related article image
Antara roti dan pastri yang terdapat di Flour Artisanal.
Daripada ‘salt bread’ (S$3.10) yang menjadi pilihan ramai, hinggalah kepada pastri kegemaran seperti ‘Pain Au Chocolat’ ($4.50) serta roti savouri seperti 'Garlic French Bread' ($3.90), setiap hasil menawarkan citarasa yang pelbagai dan memenuhi selera pelanggan.

Buat masa ini, Flour Artisanal tidak menjual minuman dan hanya menawarkan pastri dan roti sahaja.

Cef Fahmy merupakan satu-satunya pembuat roti dan pastri di kedai tersebut, sesekali dibantu rakannya atau anaknya, namun kebanyakannya beliau menguruskan semuanya sendiri.

“Menu akan sentiasa berubah. Itulah yang saya bawakan di sini untuk orang ramai nikmati, terutamanya masyarakat Melayu kita. Saya mengusahakan semua ini seorang diri, dan saya akan cuba sedaya upaya untuk memenuhi keperluan semua pelanggan.” kongsi Cef Fahmy.
Related article image
Cef Fahmy di dapur Flour Artisanal.

MASA UNTUK MEMBUAT SESUATU UNTUK DIRI SENDIRI

Keputusan membuka perniagaan sendiri bukan sesuatu yang berlaku secara tiba-tiba. Ia hadir selepas bertahun pengalaman dan dorongan daripada keluarga.

“Selepas membantu ramai pihak, saya terfikir, mengapa tidak saya lakukan sendiri. Keluarga saya kata, sudah tiba masanya untuk saya membuka perniagaan sendiri. Kini saya mempunyai kebebasan untuk menghasilkan apa yang saya mahu.” kongsi Cef Fahmy.

Sebelum membuka Flour Artisanal pada April 2026, Chef Fahmy mengambil masa setahun berehat daripada dunia pembuatan roti dan pastri untuk mencari lokasi yang sesuai.

Terletak di Space @ Kovan, bakeri halal ini mencerminkan pendekatan beliau yang lebih peribadi dan tenang terhadap seni pembuatan roti.

Beliau berkongsi bahawa dengan suasana tenang di Kovan, beliau dapat “mengembangkan kreativiti” melalui roti dan pastri yang dihasilkan.

Related article image
Cef Fahmy bersama isterinya di dapur Flour Artisanal.

FLOUR ARTISANAL DIJALANKAN BERSAMA AHLI KELUARGA

Di sebalik kaunter kedai, isterinya, Cik Siti Fadzilah, membantu menguruskan operasi sambil berinteraksi dengan pelanggan.

Keluarganya yang menjadi pendorong utama untuk beliau memulakan perniagaan sendiri, kini turut menyumbang tenaga dalam menguruskan operasi harian bakeri.

Anak lelakinya, Arfan Aidil, yang sedang mengikuti jejak langkahnya dalam bidang pembuatan roti, juga sering membantu menyiapkan hasil bakeri, terutamanya pada hujung minggu.

Harapan Cef Fahmy untuk perniagaan pertamanya sederhana.

“Harapan saya apabila orang bercakap tentang Flour Artisanal, mereka akan ingat yang saya membuat roti dengan penuh ikhlas dan kasih sayang.”

Flour Artisanal, Space@Kovan # 01-01 S(545523).
Dibuka Selasa - Ahad.
10 pagi hingga habis dijual.

Sumber : BERITA Mediacorp/ft
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita