Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Casuarina Curry, Springleaf hidang 'empat kosong' percuma sambut kemenangan Liverpool

Dua rangkaian kedai roti prata tempatan Springleaf dan Casuarina Curry, turut meraikan kemenangan Liverpool 4-0 ke atas Barcelona itu dengan menawarkan empat keping prata kosong kepada setiap pelanggan - namun dengan syarat.

Anggaran Waktu Membaca:
Casuarina Curry, Springleaf hidang 'empat kosong' percuma sambut kemenangan Liverpool

(Gambar: Instagram/@springleafprataplace, @hiro0281)

BERITAmediacorp: Para penyokong pasukan Liverpool di Singapura meraikan kejayaan pasukan itu dengan cara yang tersendiri.

Ini selepas pasukan itu berjaya melangkah ke pusingan akhir Liga Juara-Juara Eropah awal pagi ini (8 Mei).

Ini merupakan musim kedua berturut-turut Liverpool mara ke pusingan akhir Liga Juara-Juara. Lebih istimewa lagi, ia merupakan satu kebangkitan yang mengagumkan dan mengejutkan, kerana kemenangan hari ini diraih selepas Reds tewas 3-0 di Camp Nou minggu lalu.

Dua rangkaian kedai roti prata tempatan Springleaf dan Casuarina Curry, turut meraikan kemenangan Liverpool 4-0 ke atas Barcelona itu dengan menawarkan empat keping prata kosong kepada setiap pelanggan - namun dengan syarat.

SARUNGKAN JERSI BILA KE CASUARINA

Casuarina Curry menawarkan pemberian percuma empat keping prata kosong bagi setiap penyokong yang mengunjungi cawangannya di Thomson atau 6th Avenue dengan menyarungkan jersi Liverpool.

Ini diumumkan dalam satu catatan Facebook pada sekitar 11.30 pagi ini, yang menyifatkan kemenangan Reds sebagai "kebangkitan bersejarah".

"Sebagai peminat tegar Liverpool, para pemilik (Casuarina) akan memberi 4 prata kosong percuma kepada pelanggan yang datang memakai jersi Liverpool hari ini (8/5/19)," menurut catatan tersebut.

(Gambar: Facebook)

Setakat 1.30 tengah hari, catatan itu dikongsi lebih 260 kali dan menarik lebih 100 komen, termasuk beberapa pengguna Facebook yang memuat naik gambar mereka menikmati prata percuma.

SPRINGLEAF: PENYOKONG EVERTON YANG 'AKUR' KEHEBATAN LIVERPOOL

Sebelum itu, rangkaian kedai prata Springleaf Prata Place terlebih dahulu mengumumkan tawaran yang serupa.

Pada sekitar 8.15 pagi ini, Springleaf Prata menulis di laman Facebook bahawa pelanggan yang mengunjungi mana-mana cawangannya dengan menyarungkan jersi Liverpool akan dapat menikmati empat keping prata kosong percuma.

Menurut catatan yang sudah dikongsi lebih 400 kali pada 2.00 petang tadi, tawaran itu hanya terhad kepada 10 pelanggan pertama ke setiap cawangannya.

Ini bermakna hanya 50 pelanggan yang layak menikmati prata percuma kerana menurut laman Springleaf, syarikat itu hanya mempunyai lima cawangan.

Namun yang lebih menarik, Springleaf menyatakan bahawa pemilik rangkaian restoran itu sebenarnya seorang penyokong pasukan Everton. Bagaimanapun, beliau "mengakui kemenangan yang hebat apabila menontonnya".

Ini baru sahaja menjelang pusingan akhir Liga Juara-Juara. Apa lagi yang akan ditawarkan perniagaan setempat apabila kejuaraan itu sampai ke penghujungnya nanti?  

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan