Carousell Luxury bakal buka kedai pertama di The Centrepoint pada 23 Sep
Kedai Carousell Luxury di Centrepoint akan dibuka rasmi pada 23 September 2025. (Gambar: Carousell)
SINGAPURA: Berita baik bagi para penggemar fesyen yang mahu tampil segak dengan jenama mewah tanpa perlu berbelanja besar.
Ini kerana Carousell Luxury - iaitu sebuah platform di bawah syarikat e-komersial Carousell dengan pengkhususan dalam barangan mewah terpakai - bakal membuka kedai fizikalnya yang pertama pada 23 September.
Terletak di pusat beli-belah The Centrepoint, kedai itu akan menjual beg tangan, aksesori dan dompet serta barang kecil diperbuat dari kulit daripada jenama seperti Chanel, Louis Vuitton, Dior dan Gucci.
Selain di kedai fizikal itu, platform Carousell Luxury juga boleh diakses secara online menerusi aplikasi mudah alih Carousell.
Tahun lalu, Carousell memperolehi syarikat penjual semula beg-beg mewah LuxLexicon dalam usahanya mengembangkan koleksi beg-beg mewah yang dijual.
<<PHOTO CAPTION: (Dari kiri) Beg OnTheGo jenama Louis Vuitton X Yayoi Kusama, beg Saddle edisi terhad Dior, beg Wenge Wood Vanity jenama Chanel. (Gambar: Carousell)>>
Menurut Carousell Luxury, beberapa koleksi barang pengumpul yang boleh dijangkakan di kedai itu termasuk beg 'Wenge Wood Vanity' jenama Chanel, beg OnTheGo jenama Louis Vuitton x Yayoi Kusama dan beg Saddle jenama Dior.
Barang-barang yang dijual oleh Carousell Luxury diperolehi daripada para pemilik dan penjual semula profesional, dan ia menjalani proses pengesahan berbilang proses, yang dilakukan oleh pakar-pakar yang berpengalaman.
Barang-barang itu disemak menggunakan perpustakaan rujukan proprietari digital yang mengandungi lebih 500 gaya beg, dengan penanda khusus jenama termasuk jahitan, ukiran, kod siri, bahan dan perkakasan.
Proses itu boleh mengambil masa antara 10 dengan 30 minit.
Jika beg itu didapati tidak tulen oleh jenama utamanya, Carousell Luxury menawarkan jaminan pulangan wang.
Mereka yang mahu menjual barang mewah kepada Carousell Luxury boleh berbuat demikian menerusi konsainan, tukar beli atau pembelian langsung.
Menurut syarikat itu, dua pilihan terakhir itu jarang ditawarkan dalam ruang jualan semula barang mewah.
Sempena pembukaan kedai fizikalnya, Carousell Luxury menawarkan promosi tersebut sehingga 30 September:
- Diskaun S$20 bagi setiap pembelian minimum S$600
- Diskaun S$60 bagi setiap pembelian minimum S$1,600
- Diskaun S$100 bagi setiap pembelian minimum S$2,800
-Diskaun S$200 bagi setiap pembelian minimum S$5,000
Mereka yang membelanjakan sekurang-kurangnya S$2,800 juga dapat menerima set kit jagaan beg kulit organik secara percuma.
Apabila ditanya mengenai keputusannya untuk membuka sebuah kedai fizikal, Tresor A Tan, pengarah Carousell Luxury berkata misi syarikat itu "sememangnya untuk menjadikan barangan terpakai pilihan pertama".
"Walaupun platform online kami kekal sebagai tunggak operasi, kami mendapati dengan mempunyai strategi pendekatan yang memberi tumpuan terhadap pengalaman pengguna atau 'omnichannel' menerusi penyediaan ruang offline bantu menambah satu lagi lapisan jaminan dan fleksibiliti," kata Tan.
"Sesetengah pembeli lebih suka untuk melihat, menyentuh atau mencuba beg secara fizikal, manakala para penjual mendapati ia lebih senang untuk datang ke kedai dan membawa beg mereka dan mendapatkan sebutan harga serta-merta.
"Ini mengukuhkan usaha untuk membangunkan sebuah masyarakat barangan mewah yang bertenaga.
"Kedai fizikal ini melengkapi apa yang kami bangunkan secara online untuk menawarkan lebih banyak pilihan dan menawarkan pengalaman lancar secara digital dan peribadi.
"Kami melihatnya sebagai sebahagian daripada pendekatan 'omnichannel' lebih meluas bagi penjualan semula dan sebuah pelaburan jangka panjang dalam cara masyarakat kita menjual beli".
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.