Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Cara pilih kain samping Hari Raya ini untuk tampak segak

Sudah Hari Raya pun! Pilihan kini dalam tangan anda untuk memakainya. Mahu pilih samping warna biru, merah atau hijau? Mahu jenis kain songket, pelikat atau batik? Atau pakai saja samping instant?

Anggaran Waktu Membaca:
Cara pilih kain samping Hari Raya ini untuk tampak segak

(Gambar hiasan: Jakel Singapore/Facebook)

BERITAmediacorp: Sudah Hari Raya pun! Pilihan kini dalam tangan anda untuk memakainya. Mahu pilih samping warna biru, merah atau hijau? Mahu jenis kain songket, pelikat atau batik? Atau pakai saja samping instant?

Memang gaya baju Melayu boleh dikatakan tidak akan lengkap tanpa gandingan kain samping. Pakaian tradisional ini dapat menonjolkan lagi ketrampilan kaum Adam yang menggayakannya. Hakikatnya, kain samping mudah dipadankan dengan baju Melayu potongan leher cekak musang atau teluk blanga.

Yang penting anda perlu pastikan ronanya senada dengan baju Melayu dan sebaik-baiknya warnanya cerah. Kain samping warna terang selalunya lebih menarik perhatian kerana ia akan memberi kontras dan membuat si pemakai lebih menyerlah. Contohnya, apabila samping warna merah bercorak dipadankan dengan baju Melayu warna kelabu, putih, biru, kuning atau cream.

Pada masa yang sama warna lembut atau pastel juga turut menjadi warna popular kerana ia dianggap sebagai warna yang ‘selamat’ dan mudah dipadankan dengan apa saja warna baju.

Dari segi corak pula, terdapat pelbagai jenis seperti songket yang ditenun tangan dengan motif yang lebih komplikated dan rumit menggunakan benang emas dan perak. Harganya juga boleh mencecah ratusan dan ribuan dolar. Songket selalunya menjadi pilihan pengantin untuk hari pernikahan atau persandingan.

Untuk gaya Lebaran, ramai yang lebih gemarkan kain samping fabrik lembut, ringan dengan menggunakan motif kontemporari.

Bagi yang inginkan kemudahan dan tak suka ikat kain samping, keluarkan sahaja samping instant. Mudah dipakai, hanya perlu sarung dan gulung, tak perlu semat pin kerana samping ini direka dengan bahan bergetah di bahagian pinggang.

(Gambar: Aaron Aziz/Facebook)

Samping ‘pasang siap’ ini tepat untuk sesiapa saja yang inginkan keringkasan, tak perlu ikat dan mencoraknya. Lantas menjimatkan masa. Sesuai juga untuk mereka yang mempunyai anak kecil kerana samping tak akan melurut atau terburai jika anak minta didukung semasa beraya.

CORAK DAN IKATAN

Elakkan daripada samping yang terlalu sarat sehingga ia menenggelamkan penampilan. Jika kain samping songket menjadi pilihan, pastikan ia mempunyai kepala kain supaya mudah untuk dibezakan antara bahagian depan dan belakang kain.

Dari segi ikatan, sehelai kain samping sememangnya tidak sukar untuk digayakan. Cara asas memakai kain samping amat mudah dengan memegang bahagian tengah dan bahagian kiri dan kanan dilipatkan ke bahagian tengah dan kemudian digulung.

Gaya ikatan ini lazimnya menjadi pilihan ramai jejaka tidak kira usia. Tapi, elakkan daripada menggunakan tali pinggang kerana ia akan membuat pinggang kelihatan gelembung. Sebaliknya, sematkan pin agar ia tidak mudah terburai semasa tengah berjalan.

(Gambar: Kamarul Akhir/AFP)

Apa juga pilihan ikatan, pastikan kain samping kelihatan kemas terutama pada bahagian belakang. Jika ikatan samping anda merupakan corak bunga, pastikan kemasannya rapi. Saiz bunga tidak harus terlalu besar hingga menutupi bahagian pinggang atau terlalu kecil seperti punjut.

Akhir sekali kalau nak tahu, memakai kain samping juga terdapat tertibnya. Kata orang dulu-dulu ia dapat menentukan status si pemakai. Bukan dari segi darjat tapi status sama ada mereka masih bujang atau sudah berkahwin. Contohnya, jejaka bujang seharusnya mengikat kain samping di atas paras lutut. Yang sudah berkahwin pula harus memakainya di bawah paras lutut.

Namun kalau diperhatikan dalam zaman moden ini, ramai juga jejaka yang sudah berkahwin turut menggayakan samping di atas paras lutut dan yang bujang pula memakainya di bawah lutut. Apa pun pilihan, yang penting ketrampilan pasti menyerlah dan selesa apabila berbaju Melayu dengan kain samping. 

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan