Cara kekal cergas ketika cuaca panas

(Gambar: BERNAMA)
SHAH ALAM: Pakar kesihatan mencadangkan beberapa cara untuk mengharungi cuaca panas pada ketika ini bagi mengelakkan berlaku masalah kesihatan seperti strok haba.
Menurut Pakar Kesihatan Persekitaran, Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman, langkah pertama yang perlu dilakukan ialah dengan mengurangkan aktiviti luar.
“Saya menyarankan kepada orang ramai yang mahu beraya atau ke mana sahaja untuk berada di dalam rumah atau bangunan bagi mengelakkan tubuh kekurangan air.
“Apabila kita terdedah secara langsung dengan gelombang panas, ia menyebabkan badan berpeluh dan sekali gus mengakibatkan tubuh kurang air sehingga berisiko menghidap masalah strok haba,” menurut Dr Haliza kepada Sinar Harian.
Tambahnya, langkah tersebut perlu juga disusuli dengan pengambilan air minum yang mencukupi iaitu sekurang-kurangnya 2.5 liter atau enam gelas sehari.
“Apabila tubuh tidak mendapat air yang mencukupi, ia akan mengakibatkan kekejangan dan keletihan yang boleh menyumbang kepada strok haba.
“Keadaan itu boleh menyebabkan seseorang pengsan sehingga berisiko berdepan dengan kematian,” katanya.
Selain itu, penyedia kesihatan digital Malaysia DOC2US turut menasihatkan orang ramai agar mengurangkan pengambilan makanan yang bergoreng, berminyak atau panas.
Sebaliknya, Dr Haliza berkata orang ramai amat digalakkan untuk makan makanan seperti sup, buah-buahan yang berair antaranya tembikai dan betik, menurut Sinar Harian.
Apabila keluar rumah, sentiasa menggunakan pelindung matahari yang mempunyai faktor perlindungan mata (SPF) sekurang-kurangnya 30 dan lebih. Bawa topi atau payung untuk melindungi diri daripada sinaran haba terus ke badan, menurut DOC2US.
Jangan lupa untuk memakai pakaian yang ringan, berwarna terang dan longgar.
Juga penting untuk mengetahui gejala penyakit berkaitan dengan haba agar dapat bertindak sewajarnya.
Menurut DOC2US, berikut adalah simptom penyakit berkaitan haba:
- Air kencing berwarna gelap (tanda dehidrasi)
- Kekeliruan
- Pening
- Kelesuan
- Sakit kepala
- Kekejangan otot
- Berpeluh banyak
- Kulit pucat
- Degupan yang jantung
Pada masa yang sama, Dr Haliza menegaskan kepada orang ramai untuk supaya duduk di kawasan yang terlindung daripada gelombang panas dan mempunyai pengudaraan yang baik.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.