Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Cara-cara jaga berat badan semasa bulan Ramadan

Anggaran Waktu Membaca:
Cara-cara jaga berat badan semasa bulan Ramadan

(Gambar: Andres Ayrton/Pexels)

Diterbitkan : 07 Apr 2022 08:31PM Dikemas Kini : 07 Apr 2022 08:31PM

KUALA LUMPUR: Ramai mesti berniat untuk mengurangkan pemakanan semasa bulan Ramadan... Konon-kononnya bila Hari Raya nanti, boleh juga pakai baju cantik-cantik. Betul? 

Secara logik, mungkin ramai yang akan berfikir bahawa bulan Ramadan adalah masa yang paling sesuai untuk anda mula berdiet kerana berpuasa itu hal wajib. 

Memang anda betul bahawa berpuasa itu wajib bagi umat Islam dan justeru, individu secara tidak langsung hanya boleh makan pada waktu-waktu tertentu. 

Namun begitu, ia juga boleh menimbulkan satu masalah kerana terdapat individu yang cenderung makan dengan lebih sedap dan banyak pada waktu sahur dan berbuka, lantas merosakkan usaha diet mereka. 

Sebenarnya, keputusan terletak di tangan anda. Anda mungkin tidak perlu tunggu ketibaan bulan Ramadan sebelum anda bermula berdiet. 

Namun, jika anda ingin cuba untuk berdiet sewaktu bulan puasa, jangan putus asa dan teruskan! 

Berikut adalah panduan penting yang dikongsikan oleh Hello Doktor agar anda dapat menjaga berat badan anda dan kekal sihat: 

MINUM AIR KOSONG SECUKUPNYA

Bukan pada waktu anda sedang berpuasa ya! Anda masih boleh minum air kosong dengan secukupnya di antara waktu iftar dan sahur untuk mengelakkan kondisi kurang penghidratan.

Jumlah yang disarankan adalah sekurang-kurangnya 10 gelas kerana anda sudah tidak makan dan minum untuk kira-kira 12 jam pada waktu siang. Maka, sila cukup minum air.

Apa yang penting, menurut Hello Doktor, adalah sumber air tersebut disarankan dalam bentuk air kosong dan bukan air bergula, berkafein mahupun beralkohol kerana ia adalah pilihan yang salah.

SAHUR MAKANAN MENGENYANGKAN

Sahur itu sangat penting bagi menyediakan sumber tenaga untuk individu mengekalkan tahap kecergasan fizikal dan kecerdasan mental sepanjang tempoh anda berpuasa.

Pengambilan karbohidrat kompleks daripada banyak sumber seperti buah-buahan, sayur-sayuran, kekacang, daging, telur, tenusu dan lain-lain itu amat penting untuk membekalkan tenaga sepanjang hari.

IFTAR MAKANAN MENYEGARKAN

Iftar itu lebih penting untuk mengisi semula perut yang sudah lama menahan lapar dan dahaga. Namun, waktu ini bukan lesen untuk kita semua melantak seperti lupa dunia.

Pengambilan protein, vitamin, mineral dan khasiat-khasiat lain sangat penting untuk mengecas kembali sumber tenaga yang hilang. Namun, pastikan juadah anda itu sihat.

Tiada masalah sekiranya anda berdiet dan berpuasa pada masa yang sama. Apa yang anda perlu berikan lebih perhatian, menurut Hello Doktor, adalah menu diet berbuka puasa dan bersahur.

Berikut adalah contoh jenis-jenis hidangan yang mungkin boleh anda amalkan ketika iftar dan sahur:

MENU DIET SAHUR

Antara contoh menu yang baik pada waktu sahur adalah roti, biskut, nasi, telur, tenusu, minuman malt coklat berserta sayur seperti salad dan buah seperti kurma. 

Gunakan kreativiti anda untuk menghasilkan juadah bersahur yang lebih sedap, mudah dan berkhasiat.

Cadangan: Sandwic berinti telur, keju dan sos/sapuan kegemaran berserta minuman coklat panas.

MENU DIET BERBUKA PUASA

Antara contoh menu yang baik pada waktu berbuka adalah nasi, mi, bihun, pasta, daging, minuman teh herba, berserta sayur seperti salad dan buah seperti kurma.

Gunakan kreativiti anda untuk menghasilkan juadah berbuka puasa lebih sedap, mudah dan berkhasiat.

Cadangan: Nasi putih berlauk sup daging, sayur timun, buah kurma berserta minuman teh hijau.

MAKANAN RINGAN SELEPAS TERAWIH

Selepas menikmati menu diet berbuka puasa, anda mungkin masih rasa lapar terutama selepas solat terawih.

Anda mungkin boleh makan selepas isyak dengan hidangan yang agak ringan seperti roti, biskut dan pelbagai jenis snek sihat untuk kekal bertenaga menjalani ibadah di bulan mulia ini.

Cadangan: Bubur nasi lambuk berlauk daging/ayam berserta minuman buah lemon atau limau.

Sumber : Sumber Web/NY/ny

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa