Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Cara atasi mulut berbau semasa berpuasa

Anggaran Waktu Membaca:

KUALA LUMPUR: Sudah tentu ramai antara kita merasa tidak selesa, risau ataupun malu jika mulut kita berbau. Lebih-lebih lagi jika perlu berurusan dengan orang ramai setiap hari. 

Namun, mujurlah pelitup yang kini dipakai dapat sekurang-kurangya menghilangkan masalah tersebut. 

Suatu perkara yang perlu kita sedar ialah mulut berbau bukanlah sesuatu yang asing dan dialami khususnya bagi mereka yang menjalani ibadah berpuasa. 

Antara penyebab bau mulut adalah keadaan mulut yang kering akibat tidak makan atau minum untuk satu tempoh yang lama.

Begitupun, anda tidak perlu risau dan khuatir kerana setiap masalah pasti ada penyelesaiannya dan dalam artikel ini, Astro AWANI akan memberikan anda panduan agar mulut anda tidak berbau ketika berpuasa.

Jaga kebersihan mulut selepas sahur dan berbuka

Penting sekali adalah anda harus pastikan anda jaga kebersihan mulut dan jangan lupa untuk memberus gigi sesudah sahur dan berbuka.

Disarankan untuk anda menggunakan ubat gigi berfluorida. 

Memberus gigi akan membersihkan sekitar 60 peratus mulut anda dan oleh itu, jangan lupa untuk bersihkan sisa makanan di celah-celah gigi juga.

Sisa makanan di celah gigi mampu menjadi punca bau mulut. Jangan lupa untuk bersihkan lidah ketika memberus gigi!

Pantau makanan, minuman yang diambil

Ada makanan dan minuman sebenarnya mampu meningkatkan risiko anda mengalami masalah bau mulut. Antaranya produk tenusu.

Elakkan minuman bersusu ketika sahur kerana ia mengandungi protein tertentu yang ketika terurai, boleh menyebabkan bau mulut.

Selain itu, jangan merokok dan pastikan anda makan makanan yang sihat dan seimbang serta elakkan makanan pedas.

Elak juga minuman berkafein seperti kopi, teh, coklat dan soda, terutamanya ketika sahur.

Gunakan ubat kumur/cecair pencuci mulut

Penggunaan ubat kumur atau cecair pencuci mulut juga penting untuk mengelakkan mulut anda daripada berbau.

Anda mungkin boleh menggunakannya selepas bersahur dan berbuka untuk kesegaran berpanjangan.

Pada waktu siang ketika berpuasa pula, kurangkan penggunaannya kerana berkumur dengan kerap hukumnya adalah makruh.

Saranan untuk pemakai gigi palsu

Jika anda memakai gigi palsu, anda sangat disarankan untuk membersihkan gigi palsu menggunakan larutan antiseptik sebelum tidur.

Usaha kecil itu sebenarnya boleh mengelakkan mulut anda berbau terutamanya ketika mula berpuasa pada keesokan hari.

Jangan lupa minum banyak air selepas berbuka sampai sahur

Walaupun berpuasa, kita semua perlu memastikan pengambilan air yang cukup kerana tubuh memerlukan sekurang-kurangnya dua liter air sehari.

Air putih adalah pilihan terbaik ketika berpuasa dan alang-alang untuk penghidratan, anda juga boleh kurangkan pengambilan minuman manis untuk kesihatan.

Ketika berpuasa, amalkan dua gelas air putih ketika berbuka puasa, empat gelas selepas Maghrib sampai waktu terawih. Kemudian, amalkan dua gelas ketika sahur. 

Selain itu, banyakkan juga makan buah-buahan yang mengandungi banyak air seperti tembikai untuk kekalkan penghidratan badan anda.

Hakikatnya, mulut berbau memang terjadi kepada mereka yang berpuasa namun cabaran itu hanyalah sedikit jika dibandingkan pahala, keberkatan dan rahmat di bulan Ramadan.

Sumber : Agensi berita/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan