Skip to main content

Gaya Hidup

'Butik' masjid sedia pakaian percuma

Ketika kebanyakan masjid menyediakan gerobok rezeki yang menempatkan barangan dapur untuk golongan kurang berkemampuan namun, Masjid Permatang Rambai di Penaga mempunyai cara tersendiri untuk membuat kebajikan.

Anggaran Waktu Membaca:
'Butik' masjid sedia pakaian percuma

'Butik' masjid. (Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 26 Apr 2019 01:45PM Dikemas Kini : 26 Apr 2019 01:49PM

KEPALA BATAS: Ketika kebanyakan masjid menyediakan gerobok rezeki yang menempatkan barangan dapur untuk golongan kurang berkemampuan namun, Masjid Permatang Rambai di Penaga mempunyai cara tersendiri untuk membuat kebajikan.

Ia memperkenalkan ‘butik’ yang menawarkan pakaian percuma. Pelbagai pakaian baru dan terpakai terdapat di ‘butik’ itu, yang beroperasi sejak Disember 2018, hasil inisiatif biro kebajikan masjid berkenaan.

Selain jubah lelaki dan baju Melayu, pengunjung boleh mendapatkan jubah wanita, pakaian dewasa serta kanak-kanak di 'butik' itu.

Penggerak utama ‘butik’ infak Masjid Permatang Ramai, Cik Robiah Che Mat, 62 tahun, berkaitan idea untuk membuka butik itu tercetus ketika beliau dan suaminya, Encik Saad Yaakob, memikirkan cara mengisi masa lapang selepas mereka bersara.

"Pada mulanya, saya dan suami, yang merupakan Pengerusi Biro Kebajikan masjid, hanya meluangkan masa untuk membersihkan masjid secara sukarela,” katanya kepada Bernama di sini.

Inisiatif suami isteri itu mendapat perhatian anak-anak kariah yang mahu turut menyumbang tenaga.

Dari situ, tercetuslah idea program ‘butik’ infak yang mengumpul pakaian terpakai dan baharu untuk disumbang kepada mereka yang memerlukan.

Semasa awal pelaksanaannya, program itu mendapat sambutan menggalakkan apabila ramai yang menghantar pakaian terpakai sehingga mencecah 5,000 helai sebulan.

"Idea infak pakaian ini mendapat sokongan Pengerusi Masjid Permatang Rambai Encik Ghazali Hashim yang kemudian memberi ruang kepada skuad infak untuk beroperasi di kawasan berhampiran masjid,” katanya.

Kemudian, hebahan mengenai butik itu dibuat melalui medium media sosial dan aplikasi WhatsApp.

“Sehingga kini, kami berjaya mengumpul lebih 10,000 pakaian terpakai dan lebih 2,000 pakaian baharu,” kata Cik Robiah.

Antara yang mengunjungi masjid itu bagi mendapatkan pakaian percuma adalah penduduk setempat serta penduduk luar kariah itu termasuk dari Kulim dan Sungai Petani, Kedah.

Cik Robiah berkata 'butik' masjid berkenaan beroperasi 24 jam setiap hari dengan dikendalikan 20 sukarelawan berusia antara 24 hingga 60 tahun.

Menurutnya mereka yang mendapatkan pakaian di butik itu juga dinasihatkan supaya mengambil mengikut keperluan sahaja bagi membolehkan individu lain turut mendapat manfaat daripada pemberian pakaian percuma tersebut.

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita