Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Buruk baik berbelanja online; jangan sampai jadi 'shopaholic', bazir

Setiap kali Cik Liang ada masa lapang, dia akan segera melayari laman web membeli-belah online. Menurut wanita berusia 25 tahun itu ia adalah cara beliau menghilangkan tekanan.

Anggaran Waktu Membaca:
Buruk baik berbelanja online; jangan sampai jadi 'shopaholic', bazir

(Gambar: CNA)

Diterbitkan : 28 Dec 2024 12:44PM Dikemas Kini : 28 Dec 2024 03:53PM
SINGAPURA: Setiap kali Cik Liang ada masa lapang, dia akan segera melayari laman web membeli-belah online. Menurut wanita berusia 25 tahun itu ia adalah cara beliau menghilangkan tekanan.

Tambahnya lagi, beliau menganggarkan berbelanja sekali seminggu secara online, walaupun ia menjadi lebih kerap lagi semasa musim perayaan.

Seperti kebanyakan orang yang menggunakan khidmat e-dagang untuk keperluan harian mereka, Cik Liang, yang bekerja dalam industri undang-undang, berkata membeli-belah secara online menarik minatnya kerana beliau dapat akses kepada pelbagai jenis produk, termasuk produk dari luar negara.

Beliau juga boleh membeli-belah pada bila-bila masa dan membuat perbandingan harga dengan cepat.

Namun, tabiat itu boleh menimbulkan kemungkinan seseorang terperangkap dengan ketagihan beli-belah online atau 'shopaholic' online dan pembaziran.

Fenomena itu terutamanya berlaku ketika pandemik COVID-19.

Keseronokan beli-belah di hujung jari dikhuatiri mungkin menyebabkan ramai yang terlalu mudah menekan butang 'buy now' di platform e-dagang.

KESAN PEMBELIAN ONLINE TERHADAP ALAM SEKITAR

Data yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Singapura pada Ogos tahun ini menunjukkan bahawa jumlah pendapatan yang dijana daripada e-dagang merentas semua sektor perkhidmatan di sini ialah S$401.1 juta pada 2022, meningkat daripada S$365.3 juta pada 2021.

Pada 2020, hasilnya ialah S$268.5 juta dan pada 2019, S$266.6 juta.

Syarikat teknologi maklumat Amerika Meta, yang menyelia saluran media sosial Facebook dan Instagram, dan perunding pengurusan global Bain & Company berkata dalam laporan 2022 SYNC Asia Tenggara mereka: “Landskap pengguna digital hari ini wujud dalam keadaan berbeza berbanding hanya setahun atau dua tahun lalu , apabila COVID-19 mendorong lebih banyak gaya hidup tertumpu di rumah dan mempercepatkan peralihan daripada offline kepada online.”

Laporan itu menberi maklumat tentang trend pengguna di rantau ini. Pada edisi 2023, kedua-dua syarikat itu meninjau 9,000 pengguna di enam negara Asia Tenggara, termasuk Singapura.

Ia mendapati bahawa 80 peratus responden lebih suka membeli produk daripada saluran online.

Trend ini mempunyai implikasi yang meluas.

Selain menimbulkan kebimbangan tentang ketagihan membeli-belah online, terdapat juga kesan ke atas alam sekitar kerana sisa yang dijana dan jejak karbon perkhidmatan logistik dan penghantaran yang terlibat dalam memenuhi pesanan.

BELI-BELAH PENSTRIMAN LANGSUNG MAKIN POPULAR

Membeli-belah menerusi penstriman langsung menjadi semakin popular melalui pelbagai platform media sosial, dengan lebih ramai peruncit menggunakannya untuk menarik pelanggan.

Tanpa mendedahkan angka yang tepat, pengarah di Shopee Singapore, Chua Kel Jin, berkata bahawa jumlah penonton Shopee Live di sinimeningkat semasa kempen akhir tahunnya dan jualan penstriman langsung melonjak sebanyak 30 kali ganda dalam tempoh jualan 12.12 atau 12 Dis, berbanding dengan hari biasa.

"Kandungan yang menarik terus memainkan peranan penting dalam membeli-belah secara online kerana pembeli menonton demonstrasi produk secara langsung dan berinteraksi dalam masa nyata dengan penjual untuk membuat keputusan bagi pembelian mereka," tambahnya.

Selain penstriman langsung, strategi popular lain yang digunakan oleh peruncit termasuk algoritma diperibadikan, jualan kerap, taktik pemasaran pempengaruh, diskaun terkumpul, penghantaran percuma dan pulangan mudah, serta elemen permainan pada platform e-dagang, kata pakar pemasaran.

Dengan algoritma, ia secara berkesan menyesuaikan iklan kepada pengguna individu, mendorong pembeli untuk mempertimbangkan produk melebihi apa yang biasanya mereka beli, kata pakar.

Dr Shilpa Madan, penolong profesor pemasaran di Universiti Pengurusan Singapura (SMU), berkata: “Platform e-dagang menggunakan algoritma termaju untuk menganalisis tabiat anda, pembelian dan pilihan yang lalu dan mencadangkan produk yang disesuaikan dengan citarasa anda, menjadikan pembeli berasa seperti kedai 'memahami mereka'.”

Bersetuju dengan pandangan itu, Dr Hannah Chang, profesor madya pemasaran di SMU, berkata ia adalah salah satu cara platform e-dagang membezakan dirinya daripada membeli-belah secara biasa.

PEMBAZIRAN

Dengan begitu banyak tawaran disediakan, pengguna mudah "terperangkap" dan akhirnya berbelanja secara berlebihan.

Budaya penggunaan berlebihan (overconsumption) mempunyai implikasi yang meluas kepada banyak pihak, bukan sahaja menjejaskan pengguna individu, tetapi juga perniagaan logistik dan yang paling penting, alam sekitar.

Lagipun, pengeluaran berlebihan, pembungkusan yang berlebihan, dan pelepasan karbon oleh pengangkutan semuanya menghasilkan sisa yang tidak perlu dan mempercepatkan perubahan iklim, kata Dr Madan dari SMU.

Kajian yang dijalankan oleh Makmal Inovasi Hartanah Institut Teknologi Massachusetts pada 2021 mendapati bahawa pembungkusan menyumbang 45 peratus daripada pelepasan karbon dalam rantaian bekalan e-dagang.

Penyumbang kedua terbesar ialah pengurusan pulangan pembelian sebanyak 25 peratus.

Bagi platform e-dagang dan peruncit, semakin mereka berjaya menambah jualan dan memaksimumkan keuntungan, keperluan bagi khidmat perkapalan dan aspek logistik lain juga meningkat, kata pakar itu.

Dr Chang memberi amaran, jika keperluan itu tidak diuruskan dengan betul, ia akhirnya boleh menimbulkan kerugian dan ketidakcekapan bagi syarikat.

Dr Madan pula berkata: "Bagi perniagaan, jumlah barang yang dipulangkan dan lebihan pembelian mengakibatkan bahan terbuang, kos logistik meningkat dan ketidakcekapan yang menjejaskan pendapatan mereka."

TAMBAH PEKERJA, PERHALUSI KHIDMAT

Firma perkhidmatan penghantaran J&T Express berkata ia menggajikan 20 peratus lebih ramai pekerja untuk memenuhi permintaan yang meningkat semasa musim jualan puncak seperti 12.12.

Bagi menangani masalah tenaga kerja ia menawarkan tempat pengambilan bungkusan yang berpusat, dengan itu mengurangkan tenaga manusia dan sumber yang diperlukan untuk penghantaran di hadapan pintu.

Cik Justina Sim, ketua negara di syarikat penghantaran Ninja Van Singapore, memberitahu Mediacorp bahawa firma itu kini mempunyai lebih daripada 800 tempat pengambilan berpusat Ninja, di mana pembeli boleh mengambil pesanan mereka atau memulangkan barang, dan bagi penjual meletakkan pakej pesanan untuk penghantaran.

Ninja Van Singapore juga memanfaatkan automasi di kemudahannya untuk memproses bungkusan dengan lebih pantas. Ini termasuk melengkapkan kemudahan dengan tali pinggang mengasingkan bungkusan automatik, yang mengurangkan masa diperlukan untuk setiap bungkusan sebelum penghantaran, kata Cik Sim.

Dalam usaha untuk mengurangkan kesan pelepasan karbon ke atas alam sekitar, 55 peratus daripada kenderaan penghantaran Ninja Van Singapore telah beralih kepada kenderaan elektrik, kata Cik Sim.
Sumber : CNA/SU/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan