Bunga segar hidupkan majlis persandingan, jadi pilihan mempelai
Banyak-banyak bunga, yang mana satu menjadi pilihan anda untuk menaikkan seri majlis perkahwinan? Ini dia 8 bunga popular.

Gambar hiasan. (Gambar-gambar: Ihsan Bakhtiar Dasuki & XOXO & Co)
BERITAmediacorp: Bunga adalah lambang keindahan. Maka sesuailah bunga menjadi antara aspek penting dalam majlis perkahwinan. Kata orang, "buat naik seri".
Cuba bayangkan pasangan mempelai berjalan seiringan menuju ke pelamin yang dihiasi himpunan bunga segar yang cantik lagi menawan.
Ia pasti membangkitkan aura dan suasana romantis dalam majlis bagi meraikan cinta.

Tidak kira sama ada majlis diadakan di hotel, taman, rumah atau restoran, bunga wajib ada sebagai hiasan pelamin, gubahan hantaran, dekorasi meja pengantin ataupun bunga tangan.
Tahukah anda, untuk memilih bunga yang baik dan tepat, penting untuk difikirkan terlebih dahulu tentang bagaimana majlis anda termasuk belanja yang diperuntukkan.

Bunga pula bukan sejenis dua. Malah ada puluhan jenis! Boleh rambang mata dibuatnya. Oleh yang demikian, anda perlu mengikut kemampuan.
Gabungan tepat beberapa jenis bunga boleh membuat majlis anda kelihatan lebih hidup, bertenaga dan tentu sekali berseri-seri.
Seorang pakar gubahan bunga, Encik Bakhtiar Dasuki, memberitahu BERITAmediacorp bahawa sekarang menjadi trend para mempelai memilih bunga-bungaan mengikut "warna-warna musim luruh" - ungu, merah manggis dan jingga kemerah-merahan atau 'burnt orange'.

“Persandingan yang bertemakan musum luruh ternyata ronanya lebih asli, membuatnya tampil rustik, vintaj dengan sentuhan bohemian,” kata Encik Bakhtiar yang bertugas secara bebas dengan syarikat XOXO & Co.
Encik Bakhtiar, yang berpengalaman lebih 30 tahun dalam bidang gubahan bunga, juga mengambil tempahan bunga rampai sirih dara, bunga tangan dan kereta pengantin.
Apa saja tempahan yang diterima, beliau sangat mengutamakan bunga bermutu dan segar apabila diamanahkan untuk menghias sesebuah majlis berdasarkan konsep dan peruntukkan belanja yang ditetapkan oleh mempelai.

S$8,000 UNTUK HIDUPKAN MAJLIS DENGAN BUNGA
Apabila ditanya berapakah belanja yang perlu diperuntukkan untuk sesebuah majlis dalam konteks hari ini, ini jawapan Encik Bakhtiar: “Secara purata pasangan mempelai harus berbelanja minimum $8,000 untuk hiasan bunga-bunga yang segar di lokasi pilihan.”
Menyentuh tentang pilihan bunga kegemaran ramai pula, Encik Bakhtiar berkata, bunga tiga bulan atau 'hydrangea' dan mawar sering menjadi pilihan mempelai. Namun sejak pandemik ini, terdapat perubahan.
“Kalau diperhatikan kini terdapat permintaan berbeza di kalangan pasangan muda untuk menggunakan bunga yang lebih mahal seperti anggerik 'Phalaenopsis', bunga-bunga Australia dan peony.”

8 BUNGA POPULAR
Berikut lapan jenis bunga popular yang sesuai dan sering digunakan dalam sesebuah majlis.
Selain digunakan sebagai hiasan ia juga boleh dijadikan sebagai bunga tangan, hiasan kereta dan lain-lain, mengikut daya kreativiti anda.
MAWAR
Inilah antara bunga paling popular dan digemari ramai mempelai.
Tampil dalam variasi warna – merah, putih, kuning lembut, pic, ungu dan merah jambu.
Ia sering disifatkan sebagai lambang cinta dan dapat mewujudkan 'mood' romantis kepada keseluruhan dekorasi.
TULIP
Selain sesuai dijadikan sebagai bunga tangan, bunga yang terkenal di negara Belanda ini sering menjadi piliihan untuk dekorasi meja pengantin.
Tampil dalam pelbagai warna, bunga ini dapat membangkitkan suasana mewah dan anggun yang tiada tara.
LILI
Ia kelihatan ringkas tetapi bunga ini mempunyai ciri-ciri yang unik dan tersendiri.
Bagi yang mengimpikan tema majlis warna krim atau putih berseri-seri. Inilah bunga yang dapat menaikkan aura seri yang menawan.
HYDRANGEA ATAU BUNGA TIGA BULAN
Selain kerap digunakan sebagai gubahan hantaran atau bunga tangan, bunga ini juga menawarkan aneka pilihan warna yang lembut.
Berasal dari Jepun, ia juga dikenali dengan nama tempatanya sebagai Bunga Tiga Bulan.
PEONY
Mudah dipadankan dengan bunga-bunga lain, ia memiliki kepelbagaian warna yang jelas dapat menyerikan majlis.
Saiznya yang besar dan mekar terbukti dapat membuat hiasan atau dekor tampil lebih penuh dan cantik menawan.
MELATI STEPHANOTIS
Ia berbentuk bintang dan merupakan antara bunga yang dapat mewujudkan penampilan 'ada kelas' atau 'classy'.
Cantik bila dijadikan sebagai bunga tangan. Rona putih bunga ini dapat menimbulkan rasa suci dan bersih.
BABY BREATH
Tidak asing lagi, bunga klasik ini selalunya digayakan sebagai korsaj. Namun ramai juga yang gemar mengandingkan bunga ini dengan bunga mawar.
Terdapat pilihan dua warna, putih dan merah jambu dan ia juga versatil untuk dijadikan hiasan bagi majlis akad nikah atau digandingkan dengan bunga-bunga lain sebagai hiasan pelamin dan sebagainya.
GERBERA DAISY
Wujud dalam pelbagai warna, bunga ini terkenal dengan saiz dan kuntumannya yang menawan.
Jika ia menguasai dekorasi sesebuah majlis, pasti dapat membangkitkan suasana dan perasaan yang ceria serta tidak membosankan.
Apa juga bunga yang menjadi pilihan yang penting jangan terlalu 'over', nanti nampak sarat pula!
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.