Skip to main content

Gaya Hidup

'Bunga Mas' – Replika bersejarah artifak Melayu Kedah ini dipamer di S'pura

Ini mungkin pokok paling mahal yang berada di Kampong Gelam di Singapura sekarang ini. 

Anggaran Waktu Membaca:
'Bunga Mas' – Replika bersejarah artifak Melayu Kedah ini dipamer di S'pura

Replika Bunga Mas dari Muzium Negeri kedah. (Gambar-gambar: BERITAmediacorp)

SINGAPURA: Ini mungkin pokok paling mahal yang berada di Kampong Gelam di Singapura sekarang ini. Manakan tidak, walaupun setinggi 1.5 meter sahaja, pokok seberat 15 kilogram ini diperbuat daripada emas!

Pokok ini dipanggil ‘Bunga Mas’. Ia begitu tinggi nilainya bukan setakat dari segi fizikal dan simbolisme, malah juga dari segi politik dan diplomasi, sehingga 100 gajah digunakan untuk membawanya.

Jadi, jika anda berasa ia sebuah pokok yang luar biasa, ia memang sejenis pokok yang luar biasa. Sebuah Bunga Mas seperti itu kini dipamerkan buat pertama kalinya di Singapura – lebih tepat lagi di Taman Warisan Melayu - untuk anda tatapi. 

Related article image
Replika Bunga Mas dari Muzium Negeri kedah. (Gambar-gambar: BERITAmediacorp)

TRADISI BUNGA MAS DALAM DUNIA MELAYU

Tahukah anda pada abad ke-19, empat negeri di Malaysia menghadiahkan "Bunga Mas" kepada kerajaan Siam?

Ia merupakan pemberian istimewa sebagai tanda persahabatan dan pengakuan kuasa kerajaan Siam untuk melindungi negeri-negeri kecil itu.

Negeri-negeri yang dimaksudkan ialah Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu.

Di zaman moden sekarang ini, memang Bunga Mas tidak lagi digunakan. Tetapi digantikan dengan perjanjian-perjanjian pertahanan misalnya yang dimeterai antara negara-negara untuk saling bekerjasama dan menjalin hubungan muhibbah.

Related article image
Replika Bunga Mas dari Muzium Negeri kedah. (Gambar-gambar: BERITAmediacorp)

PERTAMA KALI ‘BUNGA MAS’ INI KELUAR KEDAH SEJAK SETENGAH ABAD

Di zaman ini, mungkin ramai yang tidak dapat membayangkan bentuk Bunga Emas itu dan sejauh mana pentingnya dalam sejarah gugusan pulau-pulau Melayu sekitar abad ke-19.

Lantaran itu, Taman Warisan Melayu (MHC) bekerjasama dengan pihak Muzium Negeri Kedah untuk membawa replika Bunga Mas ke Singapura.

Ini juga merupakan kali pertama replika Bunga Mas itu diterbangkan keluar daripada Negeri Kedah. Sejak tahun 1968 replika itu hanya dipamerkan di Muzium Negeri Kedah.

Replika dengan 15 bahagian itu adalah sebagai tambahan kepada pameran khas yang dipanggil Seekor Singa, Seorang Putera dan Sebingkai Cermin yang sudah berlangsung di Taman Warisan Melayu sejak bulan Oktober 2019.

BERITAmediacorp diberitahu, Taman Warisan Melayu menunggu antara lima dengan enam bulan bagi mendapatkan 'lampu hijau' daripada pihak Muzium Negeri Kedah untuk membawa artifak yang merupakan sebahagian daripada lipatan sejarah negeri Kedah itu ke Singapura.

"Kita berpendapat objektifnya ialah kita hendak memberi peluang kepada rakyat Singapura untuk melihat dari segi kesan-kesan sejarah negeri Kedah menerusi replika Bunga Mas ini dan secara tidak langsung kita boleh meluaskan dari segi sejarah alam Melayu," Pengarah Muzium Negeri Kedah, Suhaidi Shukri kepada BERITAmediacorp.

Related article image
Replika Bunga Mas dari Muzium Negeri kedah. (Gambar-gambar: BERITAmediacorp)

BUNGA DIILHAMKAN DARIPADA DAUN INAI & BUAH JERUJU

Replika Bunga Mas yang berdiri setinggi 153 sentimeter dan seberat 15 kilogram itu bentuknya seperti sebatang pokok bersalut emas. Namun ranting-rantingnya dihiasi hampir 70 kuntum bunga.

Encik Suhaidi mendedahkan kelopak bunga-bunga itu diinspirasikan daripada bentuk daun inai manakala bahagian tengahnya diilhamkan daripada sejenis buah yang dipanggil buah jeruju.

Related article image
Replika Bunga Mas dari Muzium Negeri kedah. (Gambar-gambar: BERITAmediacorp)

Antara tahun 1840-an hingga 1909, kerajaan Kedah menghadiahkan Bunga Mas atau Bunga Perak kepada kerajaan Siam setiap tiga tahun.

Ini merupakan satu simbol diplomasi dan politik yang membawa hasrat memperkukuh jalinan persahabatan antara kedua-duanya negara, di samping sebagai 'ufti' untuk mendapatkan jaminan perlindungan daripada kerajaan Siam daripada ancaman-ancaman luar.

Selain Bunga Mas, terdapat juga hadiah-hadiah sampingan lain yang turut diberikan seperti tombak dan lembing bersarung emas.

100 GAJAH BAWA BUNGA MAS DARI KEDAH KE THAILAND

Encik Suhaidi berkongsi bahawa pemberian-pemberian ini dihantar sama ada melalui jalan darat atau laut.

Bagi laluan darat, sebanyak 100 gajah digunakan untuk mengangkut hadiah-hadiah tersebut dari satu pusat pemeriksaan ke satu pusat pemeriksaan secara berganti-ganti. Ini mengambil masa setahun untuk dibawa dari Kedah ke Bangkok, Thailand.

Bagi laluan laut, ia boleh mengambil masa sehingga enam bulan.

Secara keseluruhan, sebanyak 18 Bunga Mas sudah dihadiahkan kepada kerajaan Siam. Dua daripadanya - Bunga Mas dan Bunga Perak - masih disimpan di istana besar Bangkok dan tidak dipamerkan kepada umum.

Oleh itu, bekas Pengerusi Muzium Negeri Kedah, Wan Ibrahim Wan Soloh, dengan bantuan seorang lagi penolong pengkaji, Dr Kalya Irasena, mencipta replika Bunga Mas untuk membolehkan masyarakat menyingkap sebahagian sejarah negeri Kedah.

Related article image
(Gambar ihsan: Muzium Negeri Kedah)

Bekas Pengerusi Muzium Negeri Kedah, Wan Ibrahim Wan Soloh. (Gambar ihsan: Muzium Negeri Kedah)

Muzium Negeri Kedah sering menerima kunjungan daripada pelancong Thailand yang tertarik untuk melihat replika Bunga Mas itu yang menjadi lambang persahabatan antara negara mereka dengan Kedah.

1 BUNGA MAS MUNGKIN ADA DI BRITAIN

Pada tahun 1909, kerajaan Thailand dan Britain menandatangani Perjanjian Inggeris-Siam (Anglo-Siamese Treaty) sekali gus menjadikan negeri Kedah di bawah naungan Britain.

Sejak itu, tiada lagi Bunga Mas dihantar kepada kerajaan Siam. Sebaliknya, ia diberikan kepada kerajaan Britain.

"Apabila termeterai perjanjian 1909, kita dah siapkan Bunga Mas tapi kita tak hantar ke Siam. Kita hantar ke British dan dibawa ke London," ujar Encik Suhaidi.

Bunga Mas itu dipercayai masih disimpan oleh kerajaan Britain namun tidak dapat dipastikan di mana lokasinya.

"Bunga Mas ini penting sebagai satu artifak dalam pameran ini kerana ia bukan sahaja mencerminkan kemahiran tukang-tukang yang ditugaskan oleh Istana Melayu tapi berdasarkan fungsinya sebagai hadiah, ia juga menjadi sejenis pembayang penghormatan hubungan diplomatik yang jarang sekali dapat dilihat," kata Pengurus Besar Taman Warisan Melayu, Asmah Alias.

Related article image
Replika Bunga Mas dari Muzium Negeri kedah. (Gambar-gambar: BERITAmediacorp)

Secara fizikal, Bunga Mas itu mungkin bernilai lebih S$10,000, namun hakikatnya, harga intrinsiknya tidak ternilai.

Menerusi pameran Seekor Singa, Seorang Putera dan Sebingkai Cermin itu, Taman Warisan berharap masyarakat dapat menyingkap sejarah Singapura dan kepulauan Melayu amnya dari lensa yang berbeza daripada biasa.

Rakyat Singapura dan Penduduk Tetap (PR) boleh melihat sendiri artifak Bunga Mas itu secara percuma hingga 21 Jun ini.  

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita