Buku masak era 1940-an lestarikan masakan tradisional Melayu; resipi Siti Radhiah Mohamed Saleh terkenal sejak zaman perang
Nama Siti Radhiah Mohamed Saleh mungkin tidak biasa kedengaran tetapi wanita ini adalah antara segelintir penulis wanita bagi buku masakan Melayu. Karyanya dihasilkan dan diterbitkan di Singapura sewaktu tempoh antara Perang Dunia Kedua hingga Singapura merdeka pada 1965.

Gambar oleh Royal Press pada 1949 menunjukkan buku masakan kedua oleh Siti Radhiah, Hidangan Wanita Sekarang (kiri), pertama kali diterbitkan dalam bahasa Jawi pada tahun itu (Gambar: Perpustakaan Negara Singapura)
SINGAPURA: Nama Siti Radhiah Mohamed Saleh mungkin tidak biasa kedengaran tetapi wanita ini adalah antara segelintir penulis wanita bagi buku masakan Melayu.
Karyanya dihasilkan dan diterbitkan di Singapura sewaktu tempoh antara Perang Dunia Kedua hingga Singapura merdeka pada 1965.
Dalam sebuah rencana Biblioasia, Perpustakaan Negara Singapura mengetengahkan profil Siti Radhiah yang menjadi antara penyumbang awal yang membantu mengembangkan repertoir kulinari Melayu tradisional.
Menurut Biblioasia, Siti Radiah dikatakan menulis empat buku masakan secara keseluruhannya.
Buku-buku itu bertajuk Hidangan Melayu (pada 1948), Hidangan Wanita Sekarang (1949), Memilih Selera (1953) and Hidangan Kuih Moden (1957).
Kesemua karya itu bukan sekadar mencerminkan sikap moden Siti Radhiah terhadap makanan dan perjuangannya terhadap pendidikan serta kemajuan kaum Hawa, ia juga menjadi wadah untuk beliau mengutarakan betapa pentingnya untuk memperluaskan skop kesusasteraan Melayu agar ia dapat memenuhi keperluan golongan wanita yang berminat dalam sains rumah tangga.
Dalam buku-buku masakan Siti Radhiah, pembaca tidak akan mendapat banyak maklumat tentang biografi wanita itu.
Bahkan menurut Biblioasia, ia juga tidak tahu tahun berapa Siti Radhiah dilahirkan. Ia cuma dapat menyimpulkan bahawa wanita itu berkemungkinan dilahirkan di Selangor, Malaysia.
Hanya dalam buku masakan keduanya, Hidangan Wanita Sekarang, Siti Radhiah digambarkan sebagai seorang lulusan Sekolah Melayu Selangor, seorang bekas guru di Sekolah Melayu Kuang di Selangor dan merupakan isteri kepada Harun Aminurrashid, juga seorang penulis.
Kebanyakan maklumat mengenai Siti Radhiah dalam rencana yang diterbitkan oleh Biblioasia adalah berdasarkan biografi tentang suami beliau.
Menurut Biblioasia, Harun Aminurrashid mencipta nama sebagai seorang pendidik, penulis, editor, penerbit dan penggiat politik yang terkenal dari Singapura.
Pasangan itu mendirikan mahligai pada 1930-an dan dikurniakan 15 cahaya mata.
Bapa Siti Radhiah, Mohamed Saleh, pula adalah guru besar Sekolah Melayu Serendah di Selangor.
MISI SEBARKAN PENGETAHUAN
Terdorong oleh kejayaan buku masakan pertamanya, Hidangan Melayu, yang diterbitkan pada 1948, Siti Radhiah melanjutkan karyanya dengan menulis buku kedua, Hidangan Wanita Sekarang.
Dalam bahagian kata pendahuluan buku itu, beliau menulis: "Bagi kandungan buku ini, saya menghimpunkan (resipi-resipi) kuih cara baru yang telah saya cuba, diajar oleh rakan-rakan saya yang merupakan pakar dalam membuat kuih, dan mendapatinya enak. Oleh kerana saya rasa ia sesuatu yang bermanfaat untuk berkongsi pengetahuan ini, saya mengumpulkan sebanyak 50 jenis kuih untuk saudara wanita saya yang juga mahu mencubanya... Harap-harap (buku masakan ini) boleh menjadi ibarat satu khidmat kepada bangsa saya, terutama sekali kaum Hawa."
Siti Radhiah menganggap masakan sebagai satu ilmu pengetahuan penting yang perlu didokumentasikan dan disebarkan.
Maka itu, beliau menghimpunkan segala macam resipi yang popular dalam dunia Melayu ketika itu, selaras degan trend kulinari pada zaman tersebut.
Dalam proses menulis buku masakannya, Siti Radhiah menggunakan kaedah sama untuk mengumpulkan maklumat iaitu dengan mempelajari daripada wanita yang pandai memasak dan berpengetahuan tentang masakan serta mencuba dan menguji resipi-resipi mereka.
Siti Radhiah melihat kerja-kerja menghimpunkan resipi dan menulis buku masakan sebagai satu khidmat masyarakat kepada kaum Melayu, terutamanya kaum wanita. Usahanya itu juga dianggap dapat membangunkan kesusasteraan dan memperluaskan bahan perpustakaan Melayu, di samping melestarikan warisan Melayu, menurut Biblioasia.
Sumbangan beliau kepada perjuangan nasionalis menentang penjajahan bertujuan untuk memartabatkan kedudukan wanita Melayu dengan menyampaikan kemahiran hidup yang berharga, khususnya kaedah penyediaan makanan moden, melalui tulisannya.
Buku kedua Siti Radhiah, Hidangan Wanita Sekarang, dan buku keempatnya, Hidangan Kuih Moden, menampilkan resipi-resipi beraneka pencuci mulut yang dirujukkannya sebagai kuih cara baru, kuih zaman sekarang serta kuih moden.
Beliau menerangkan kebanyakan daripada 50 resipi yang dikongsikan dalam Hidangan Wanita Sekarang serupa dengan resipi dan teknik masakan juadah Barat, menurut Biblioasia.
Bagi buku Hidangan Wanita Sekarang misalnya, ia termasuk resipi kuih kegemaran wanita Melayu moden ketika itu iaitu "roll cake" atau kek gulung Swiss yang disapu jem, biskut oatmeal, kuih lapis dan kuih semperit.
Selain itu, tambah Biblioasia, terdapat juga beberapa variasi kuih lapis yang dikongsikan dalam buku tersebut, termasuk lapis Betawi dan lapis bumbu.
PANDUAN UNTUK KEHIDUPAN
Buku kedua Siti Radhiah, Hidangan Wanita Sekarang, pertama kali diterbitkan dalam tulisan Jawi pada 1949.
Namun disebabkan popularitinya, buku itu melalui tiga kali cetakan semula oleh syarikat penerbit yang sama, Royal Press - juga dikenali sebagai Pustaka Melayu, untuk merumikannya ke dalam bahasa Melayu pada 1961.
Langkah itu dibuat untuk memenuhi minat pembaca yang lebih luas, termasuk golongan bukan Melayu yang mempelajari bahasa Melayu tetapi tidak boleh membaca tulisan Jawi.
Pada Disember 1961, Royal Press mengiklankan katalog penerbitannya meliputi sebanyak 15 tajuk baru di akhbar Berita Harian untuk menggalak guru-guru membuat tempahan bagi buku bacaan tambahan buat tahun sekolah berikutnya.
Dalam senarai katalog itu, Hidangan Wanita Sekarang adalah satu-satunya buku masakan dalam kalangan siri buku baru tersebut. Bukan itu sahaja, menurut Biblioasia, Siti Radhiah juga satu-satunya penulis wanita yang menduduki senarai tersebut dalam kalangan penulis Melayu lain termasuk suaminya, Abdul Ghani Hamid, Shaharom Husain dan Muhammad Ariff Ahmad.
Lebih daripada sekadar sebuah teks kulinari, pendidikan, kebudayaan dan politik untuk membangkitkan semangat nasionalisme dalam kalangan wanita Melayu serta membimbing mereka untuk mengecap kemajuan, buku Hidangan Wanita Sekarang malah sudah melangkaui matlamat asalnya untuk juga menjadi bahan bacaan bagi pembaca bukan Melayu mempelajari bahasa kebangsaan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.