Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Bukan sekadar penambah rasa, asam jawa juga berkhasiat untuk kesihatan

Asam jawa antara ramuan masakan yang terkenal dalam kalangan masyarakat Melayu.

Anggaran Waktu Membaca:
Bukan sekadar penambah rasa, asam jawa juga berkhasiat untuk kesihatan

(Gambar: iStock)

Diterbitkan : 12 Jan 2022 09:01PM Dikemas Kini : 12 Jan 2022 09:01PM

KUALA LUMPUR: Asam jawa antara ramuan masakan yang terkenal dalam kalangan masyarakat Melayu.

Ia dilarutkan ke dalam air dan larutan air itu digunakan dalam masakan sebagai penambah rasa masakan.

Ada juga yang mengambil air larutan asam jawa itu lalu dicampur dengan cili dan bawang yang dipotong sebagai bahan cicah ikan bakar yang dihidangkan bersama nasi.

Asam jawa kaya dengan vitamin B, kalium, magnesium, zat besi, kalsium, fosfor, serat dan karbohidrat.

Menurut pakar antioksidan Dr Suri Roowi, selain daripada kegunaan dalam masakan, terdapat sebab-sebab lain mengapa wajib bagi setiap rumah mempunyai asam jawa.

Berikut adalah lima khasiat asam jawa yang dikongsi oleh Dr Suri dalam rencana Harian Metro:

1. BANTU MELEMBAP DAN MENCERAHKAN KULIT

Asam jawa digunakan sebagai sumber semula jadi untuk membantu menangani masalah kulit.

Campuran asam jawa dengan pektin dapat membantu melembapkan kulit.

Pektin boleh didapatkan dari kedai-kedai dan lazimnya digunakan dalam penghasilan jus.

Untuk menggunakan asam jawa dalam rawatan mencerahkan kulit, ambil asam jawa sebanyak lapan gram lalu larutkannya ke dalam air sebanyak 100 mililiter.

Air larutan asam jawa itu boleh disapu pada muka.

Satu kajian ke atas 38 wanita mendapati bahawa wajah mereka menjadi lebih cerah setelah disapu dengan larutan asam jawa selama empat minggu, seperti dinukil rencana Harian Metro.

2. BANTU TANGANI MASALAH PERNAFASAN

Menurut kajian yang diterbitkan dalam jurnal bertajuk 'Systemic Rev in Pharmacy' pada 2021 menunjukkan bahawa air asam jawa dapat membantu mengurangkan masalah pernafasan dalam kalangan perokok tegar.

Satu kajian dijalankan terhadap beberapa perokok tegar yang diberi minuman air asam jawa selama tujuh hari berturut-turut.

Seramai 40 perokok lelaki dewasa dan 40 lelaki bukan perokok menyertai kajian ini.

Sebelum diberikan minuman air asam jawa, peratus isi padu udara pernafasan dalam paru-paru kumpulan peserta perokok adalah lebih rendah berbanding dengan kumpulan individu yang tidak merokok (56 peratus berbanding 78 peratus).

Selepas mengambil air asam jawa selama tujuh hari berturut-turut, kajian itu mendapati bahawa peratusan isi padu udara dalam paru-paru para perokok tegar meningkat sehingga 73 peratus.

3. BANTU KAWAL BERAT BADAN

Kajian yang dijalankan oleh Universiti Putra Malaysia (UPM) yang diterbitkan dalam Jurnal Perubatan Alami pada 2012 mendapati bahawa asam jawa dapat bantu mengurangkan kolesterol lipoprotein ketumpatan rendah (LDL) dan meningkatkan kandungan kolesterol lipoprotein ketumpatan tinggi (HDL) iaitu kolesterol baik dalam darah, seperti dinukil rencana Harian Metro.

Ini kerana bahan aktif dalam asam jawa iaitu 'hydroxycitric acid' bertindak mengurangkan pembentukan asid lemak.

4. BANTU ATASI MASALAH KENCING MANIS, KAWAL DARAH TINGGI

Asam jawa juga dapat membantu menurunkan paras gula dalam darah.

Salah satu penyebab utama kencing manis adalah keradangan sel pankreas, terutama sel-sel yang menghasilkan insulin.

Asam jawa dapat menghalang pengeluaran bahan kimia yang menyebabkan keradangan. Ia juga dapat melindungi pankreas daripada rosak akibat keradangan.

Dr Suri menyarankan supaya mengambil 10 gram asam jawa lalu dilarutkan bersama 100 mililiter air suam dan madu asli.

5. BANTU LEGAKAN SAKIT PERUT, ATASI MASALAH SEMBELIT

Akhir sekali, asam jawa juga boleh mengatasi masalah sembelit dengan bertindak sebagai bahan laksatif, menurut rencana Harian Metro.

Ekstrak kulit asam jawa juga dapat melegakan sakit perut.

Caranya, rendamkan dua atau tiga gram kulit asam jawa semalaman, lalu tambah air suam sebelum minum airnya.

Sebaik-baiknya air larutan asam jawa itu diminum dengan madu asli.

Sumber : Agensi berita/HA/ha

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa