Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Bukan sekadar kisah cinta: Tiang Lampu papar pelbagai tema masa kini, mudah dikaitkan secara peribadi

Menjadi orang ketiga di tengah-tengah pasangan bercinta atau ingin menimang anak sambil mengejar pangkat? Inilah antara tema menarik yang diteroka dalam siri terbaru Tiang Lampu, lakonan Norman Ishak, Nurul Nabila dan Aaron Massadeg.

Anggaran Waktu Membaca:
Bukan sekadar kisah cinta: Tiang Lampu papar pelbagai tema masa kini, mudah dikaitkan secara peribadi

Gambar: Mediacorp Suria

BERITAmediacorp: Menjadi orang ketiga di tengah-tengah pasangan yang sedang bermadu kasih atau menjadi 'tiang lampu' jelas bukan sesuatu yang menyeronokkan dan pasti membawa rasa tidak selesa bagi individu itu.

Apatah lagi kalau wanita yang sedang bermadu kasih itu adalah sahabat yang dalam diam anda memendam rasa sayang.

Inilah antara gelombang emosi yang harus dilalui Ashraf Mazlan, watak yang dimainkan Norman Ishak dalam siri terbaru di Suria, Tiang Lampu.

tiang lampu
(Gambar: Mediacorp Suria)

Yang jelas, bukan tema itu sahaja, tetapi pelbagai tema lain yang mudah dikaitkan secara peribadi dipaparkan dalam siri komedi romantik sepanjang 13 episod ini.

Norman berkongsi bahawa Tiang Lampu meliputi isu-isu masyarakat yang dihadapi kebanyakan sekarang ini.

"Sebagai contoh, tekanan yang dihadapi Ashraf untuk mendirikan rumah tangga, kedua-dua dari ibu bapa dan rakan-rakannya.

"Kami juga ada watak Sally dan Bob. Kedua-dua mereka bersedia untuk menimang anak tetapi Sally seorang wanita bekerjaya dan masa yang tepat itu penting baginya. Dia bakal mendapat pangkat lebih tinggi dalam syarikat dan menimang anak mungkin akan menjadi hambatan.

"Nenek pula belajar untuk mengikut rentak (orang muda) dan juga berkongsi kepakarannya dalam bidang masakan supaya kedua-dua generasi boleh bekerja dengan harmoni dan mewujudkan hasil yang cemerlang," kata Norman, yang memainkan watak Pengarah Kanan Seni di sebuah syarikat pengiklanan Big Buzz.

Bagi Aaron Mossadeg, yang memainkan watak Jonathan 'JP' Pereira, beliau turut akur
tema dalam Tiang Lampu mudah dikaitkan pada diri seseorang.

"Ada sesuatu untuk semua orang dan ia diteroka dengan cara yang menyeronokkan.

"Selain itu, kita juga ada tema klasik seperti cinta bertepuk sebelah tangan, persahabatan tanpa rasa cinta, hubungan cinta di tempat kerja dan juga kes biasa 'orang yang betul tetapi masa yang salah'," kongsi Aaron.

TIANG LAMPU TAWAR PENGALAMAN BERBEZA

Siri Tiang Lampu juga jelas membawa cabaran baru kepada Aaron.

"Ia merupakan peranan utama pertama yang memerlukan saya bertutur dalam bahasa Melayu, jadi ia pastinya sangat berbeza, hanya dengan bahasa yang perlu saya gunakan sahaja!

"Saya bukanlah benar-benar tidak faham kerana saya mengambil bahasa Melayu di sekolah dahulu tetapi saya kini sedar bahawa bahasa Melayu formal sangat berbeza dengan bahasa percakapan Melayu," kata Aaron.

Namun, bagi Norman, wataknya dalam Tiang Lampu pula ibarat udara yang segar baginya, yang sering dikenali dengan watak-watak serius dan berat.

"Pada mulanya, saya kurang pasti sama ada mahu memainkan watak ini tetapi saya gembira merebut peluang ini.

"Selepas terlibat dalam siri Identiti, minda dan tubuh saya perlukan rehat. Watak ini sangat berbeza daripada Identiti kerana saya tidak perlu menjalani diet dan menjadi orang jahat.

"Memasuki set Tiang Lampu juga tidak menjadikan saya terlalu tertekan seperti dalam Identiti, walaupun saya tetap menikmati watak itu," jelas Norman.

BARISAN PELAKON IBARAT KELUARGA

Meskipun Aaron pernah berlakon dalam siri Kin di Saluran 5, yang turut dilakonkan Nurul Nabila, mereka tidak dapat benar-benar bekerjasama pada waktu itu.

Malah, Tiang Lampu turut menyatukan Aaron dan Norman dalam satu drama buat pertama kalinya.

Aaron bahkan menyifatkan barisan pelakon dalam Tiang Lampu sebagai sangat mesra, ibarat satu keluarga.

"Hari-hari lakonan yang panjang pun terasa seronok kerana barisan pelakon dan kru menikmati masa bersama-sama.

"Saya peminat Norman dalam Identiti, jadi saya sebenarnya memerhatikan proses lakonannya dan gemar berbincang tentang babak-babak dengannya.

"Hans (Hamid) pula bijak berjenaka dan membuat improvisasi pada skrip, jadi setiap hari di set dengannya sangat kecoh.

"Sangat seronok untuk bekerjasama dengan Nabila juga, bagi kedua-dua babak sebagai bos dan kakitangan dalam hubungan rahsia serta babak serius dan penuh emosi," kongsi Aaron.

tiang lampu
(Gambar: Mediacorp Suria)
Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan