Bukan sahaja mudah dimasak dan enak dimakan, pasta juga baik untuk kesihatan
Pasta merupakan hidangan yang digemari ramai tidak kira usia. Sajian yang versatil dan boleh dimasak mengikut citarasa masing-masing. Apa yang lebih menarik pasta mengandungi manfaat kesihatannya yang tersendiri.

(Gambar: Pexels)
Bagi yang sudah jemu dengan sajian nasi dan lauk pauk Melayu atau buntu tidak tahu nak masak apa pada musim cuti ini, apa kata anda tukar selera dan jadikan pasta sebagai sajian alternatif. Bukan sahaja mudah untuk disediakan, ianya berkhasiat selain lazat. Yang penting hidangan pasti boleh disediakan dalam jangka masa yang singkat.
Pasta merupakan sajian tradisional asal Itali. Hidangan ini mula ditemui di daerah Secily pada tahun 1154. Tampil dalam pilihan dua jenis – pasta segar dan pasta kering yang diadun dengan tepung gandum durum dan air sebelum ia dibentuk.
Pasta merupakan antara hidangan yang popular di merata negeri. Rata-rata ramai individu di Amerika Syarikat menjadikan hidangan pasta sebagai makanan utama, dengan setiap individu menikmati anggaran 9kg pasta setiap tahun.
Di Singapura pula, jika diperhatikan terdapat pelbagai restoran, kafe dan tempat makan yang menghidangkan beraneka sajian pasta. Ia juga merupakan antara makanan yang digemari ramai tidak kira usia. Malah, ia juga sering dijadikan sebagai alternatif untuk sajian nasi.
Tapi, ada juga yang tertanya-tanya jika pasta merupakan sajian yang baik untuk kesihatan atau sebaliknya? Menurut pakar makanan, pasta boleh dijadikan sebagai hidangan tambahan yang baik untuk diet yang sihat.

Di barat contohnya, makanan berkanji seperti pasta menjadi sebahagian daripada diet sihat bagi golongan yang menghidap penyakit kencing manis kerana ia tergolong dalam makanan rendah glisemik (GI).
Menurut kajian, apabila kita mengambil pasta yang mempunyai kandungan GI yang rendah, ia tidak akan membuat kadar gula darah naik dengan cepat. Malah, kandungan GI didapati boleh memperlahankan proses penghadaman dan sekaligus mengawal selera makan seseorang.


5 KHASIAT PASTA
Diet
Pasta merupakan antara sebagai sajian yang dapat memberikan diet seimbang. Menurut pakar diet, anggaran lebih 60 peratus daripada bekalan kalori seharian diperolehi daripada karbohidrat seperti sajian pasta.
Bebas kolesterol

Asid folik
Pasta juga merupakan makanan yang diperkaya dengan khasiat seperti asid folik serta nutrien baik untuk wanita yang ingin hamil. Menurut kajian, setiap hidangan pasta mempunyai sekurang-kurangnya 100mg asid folik. Ia merupakan 25 peratus daripada keperluan seharian yang disyorkan.
Kekalkan tenaga

Kandungan karbohidrat dalam pasta dapat membekalkan glukosa yang merupakan penjana tenaga yang baik dan penting untuk otot dan otak. Berbeza dari gula, pasta juga merupakan sumber karbohidrat kompleks yang baik sebab apa ia dapat melepaskan tenaga secara perlahan-lahan.
Kurangkan berat badan
Bebas lemak, tidak hairanlah jika ia disenaraikan dalam sajian sihat yang mengenyang dan sesuai untuk individu yang ingin menurunkan berat badan. Secawan pasta yang digunakan dalam masakan hanya mengandungi 100 kalori selain diperkaya dengan khasiat vitamin dan mineral.
RESEPI PASTA 10 MINIT
Aglio Olio

1 paket spageti (rebus dan toskan)
1/2 mangkuk kecil minyak zaitun
5 ulas bawang putih (dicincang halus)
1/2 biji bawang besar (dipotong dadu kecil)
1 kiub ayam
1 - 2 sudu makan 'chilli flakes' (lebihkan jika ingin pedas)
1/2 sudu makan serbuk lada hitam
Udang segar ] (buang kulit)
Sotong hidup ]
Lada benggala hijau/merah (dipotong kecil)
Daun ketumbar / parsli (dihiris halus)
Cara
1.Rebus spagheti dan toskan. Panaskan minyak zaitun.
2.Tumis bawang putih dan bawang besar hingga layu. Masukkan serbuk chilli flakes dan lada hitam. Kemudian masukkan sotong dan udang.
3.Gaul rata dan masukkan spaghetti, lada benggala dan tomato. Masukkan kuib ayam dan tuangkan sedikit air rebusan spageti dan biarkan bahan-bahan sebati. Garam dan gula secukup rasa. Taburkan hirisan daun ketumbar
4.Perasakan gengan garam dan gula secukupnya. Kiub ayam sudah masin jadi berhati-hati dengan anggaran garam yang dimasukkan. Angkat dan tabur hirisan daun ketumbar atau daun parsli.
SPAGETI KEJU PARMESAN

200 gm spageti (direbus)
3sudu makan minyak zaitun
½ cawan keju parmesan parut
½ cawan daun basil segar
½ cawan tomato ceri
4 biji bawang putih (dikisar/dicincang halus)
1 biji bawang besar (dikisar kasar)
1sudu kecil serbuk lada sulah
Gula dan garam secukup rasa
Air rebusan pasta
Keju parmesan (ditabur)
Cara
1.Panaskan minyak zaitun, tumis bawang putih dan bawang besar sehingga layu.
2.Masukkan spagheti yang direbus dan juga sedikit air rebusan. Garam dan serbuk lada sulah secukup rasa.
3.Masukkan keju yang diparut, tomato ceri dan daun basil. Gaul rata dan biarkan masak seketika.
4.Hidangkan dengan taburan keju parmesan. Enak dinikmati selagi hangat.
Tips:
Jika ingin rebus spageti, pastikan air dimasak banyak di dalam periuk hingga mendidih. Masukkan garam dan spaghetti kering. Kemudian nantikan sampai bahagian bawah spageti sedikit lembut dan tekan sedikit agar semua spageti tenggelam sepenuhnya. Rebus sampai spageti menjadi al dente atau masih sedikit keras. Toskan air dan segera tuangkan sedikit minyak zaitun kemudian gaul sebati agar spageti tidak mudah melekat apabila sejuk nanti.
Selamat mencuba!
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.