Bukan lagi 'ahli mesyuarat tingkap', Ground Floor Coffee kini buka kafe di East Village
SINGAPURA: Apabila ia pertama kali dilancarkan pada 2022, Ground Floor Coffee jelas menarik perhatian orang ramai.
Manakan tidak, 'kafe' dari rumah itu menjalankan operasi daripada flat HDB tingkat satu di Pasir Ris, yang dikendalikan sendiri oleh pemilik Adhwa Hasif, 33 tahun, dan isterinya.
Hasif, yang juga seorang jurugambar, malah belajar sendiri cara membuat kopi atas minatnya sebelum memutuskan untuk membuka perniagaan kecil menjual kopi kepada jiran tetangganya.
Bahkan konsep unik itu tidak lama kemudian memikat pelanggan dari merata Singapura.
Untuk menangani jumlah pelanggan di luar tingkat rumahnya, Hasif juga melaksanakan sistem pesanan berdasarkan tempahan sahaja, dan pelanggan perlu mengambil minuman mengikut slot masa yang ditetapkan.
"Semasa tempoh apabila kami tular, jumlah orang tidak terkawal. Selepas saya menghasilkan sistem pesanan online dan kaedah mengambil minuman, barulah ia berjalan lancar," kata Hasif kepada Mediacorp.
Namun sebagai perniagaan dari rumah, keupayaannya jelas dihadkan oleh ruang dan peraturan.
Lantaran itu, Hasif menutup jendela kecilnya demi membuka 'pintu' peluang lebih besar buat dirinya - kafe di East Village yang terletak di Simpang Bedok, yang dibuka pada 22 September lalu.
"Ia adalah satu keputusan yang amat sukar bagi saya dan isteri untuk benar-benar beranikan diri dan membuka kafe.
"Kami faham yang orang ramai sukakan konsep tingkap kami kerana seluruh pengalamannya sangat unik, dan ia adalah sesuatu yang baharu berbanding apa yang kami lakukan sebelum ini sebelum adanya konsep yang serupa dengan Ground Floor Coffee.
"Kami terlepas banyak peluang hebat untuk berkolaborasi hanya kerana kami sebuah perniagaan dari rumah," jelasnya.
Menyifatkannya sebagai sesuatu yang "sukar dipercayai", Hasif mendedahkan beliau dan isterinya "benar-benar menangis" selepas mereka memutuskan untuk menutup kafe di rumah mereka itu, dan sebaliknya membuka kedai.
"Saya ada beberapa pelanggan yang betul-betul kecewa tentang keputusan ini tetapi saya harus menjadi realistik.
"Saya setuju pengalamannya sekarang ini amat berbeza daripada apabila kami menyediakan kopi dari sebuah tingkap, tetapi saya harap dengan aestetik yang kami tambah kepada kafe itu, ia mengimbau kembali tingkap ikonik kami," kongsi Hasif.
Beliau mempunyai dua anak, berusia enam dan tiga tahun. Anak perempuannya akan memasuki Darjah Satu tahun hadapan.
Di kafe baharunya, Hasif memperluaskan menunya untuk merangkumi kopi yang disaring (filter coffee) dan pencuci mulut seperti tat kecil Lemon Thyme dan Earl Grey Dark Chocolate.
Semasa ditanya sama ada harganya lebih mahal di kafenya, Hasif mengesahkan bahawa menunya sekarang ini berharga "beberapa sen lebih mahal berbanding ketika dijual di rumah" bagi memenuhi keperluan kos yang lebih tinggi.
"Itulah perniagaan, dan tidak lama lagi, kami akan berada di platform GrabFood, tetapi tentu sekali harganya berbeza-beza berdasarkan platform penghantaran makanan masing-masing.
Yang pasti, beliau belum berhasrat untuk mengembangkan perniagaannya selepas ini.
Beliau berkongsi: "Saya mahu memberi tumpuan untuk mengembangkan jenama ini dan merebut semula semua peluang yang terlepas sebelum ini.
"Namun saya turut menerima tawaran menarik untuk membuka satu lagi cawangan di sini dan juga di Australia!"
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.