Buka kafe di rumah: Tak perlu lesen, kos lebih rendah tapi adakah ini trend sementara saja?
Kafe di rumah seperti Santai Kopi (kiri), Brewprint Coffee (tengah), dan Fin Coffee Co (kanan) semakin popular.
SINGAPURA: Sejak kebelakangan ini, home cafes atau perniagaan kafe dari rumah tumbuh bak cendawan di merata Singapura, dengan kemunculannya pantas menular di media sosial.
Trend ini muncul di tengah-tengah peningkatan kos sewa dan ketidakpastian ekonomi. Maka timbul persoalan: Adakah kemunculan home cafes ini didorong oleh faktor ekonomi? Atau mungkin ia sekadar satu trend sementara, di mana golongan muda khususnya, hanya mahu mencuba nasib?
Dalam laporan ini, BERITAMediacorp bertemu empat usahawan muda yang mengendalikan perniagaan kafe dari rumah untuk mencungkil dorongan utama mereka serta strategi yang digunakan untuk bertahan.
Brewprint Coffee di Tampines
Brewprint Coffee di Tampines dimulakan oleh pasangan adik-beradik, Khairul Naim, 28 tahun, dan Nur Qistina, 25 tahun.
Mereka memutuskan untuk mengendalikan kafe dari rumah setelah menyedari potensi model perniagaan tersebut.
"Saya dan abang memang suka minum kopi. Tapi untuk buka kafe sendiri, kosnya tinggi. Jadi, kami mula secara kecil-kecilan dari rumah dan menggunakan platform seperti Grab dan Foodpanda," jelas Qistina.
Pendekatan ini sekaligus menonjolkan lagi jenama 'Brewprint Coffee' kerana tidak sekadar bergantung kepada media sosial. Pengguna Grab dan Foodpanda dapat langsung mengetahui tentang perniagaan mereka jika teringin menikmati minuman kafe.
Antara tawaran unik Brewprint Coffee adalah Cinnamon Latte (S$5.90) dan Black Forest Macchiato (S$6.90) yang dicipta berdasarkan cita rasa dan pengalaman peribadi.
"Saya mendapat ilham untuk menghasilkan minuman Black Forest daripada kek yang saya suka. Saya fikir, kalau boleh gabungkan rasa coklat dan ceri dalam kopi, pasti ia menarik," kata Qistina.
Belia ini berharap minuman-minuman yang dicipta bukan sahaja mencerminkan kreativiti mereka, malah turut menawarkan lebih banyak pilihan kepada pelanggan.
Sekalipun beroperasi dari rumah, Qistina dan Khairul berusaha memastikan pengalaman pelanggan tidak jauh bezanya dengan kafe fizikal.
Mesin kopi, proses penyediaan, hingga pembungkusan... semuanya dilakukan dengan teliti.
Pelanggan yang singgah untuk mengambil pesanan bahkan ada kalanya berbual panjang dengan Khairul, membentuk hubungan mesra yang sukar dijalin dengan perniagaan besar.
"Kadang-kadang pelanggan datang dan sembang dengan abang saya selama satu dua jam. Hubungan macam ni yang buat kita rasa (semuanya) berbaloi," ujar Qistina.
Brewprint Coffee terletak di Blok 285 Tampines Street 22.
Santai Kopi di Woodlands
Santai Kopi dimulakan pada Oktober 2024 sebagai satu eksperimen kecil di mana ia hanya beroperasi pada hujung minggu.
Pengasasnya ialah seorang ibu muda, Hid, yang memutuskan untuk tukar kerjaya. Membuka kafe di rumah dijadikan peluang untuk mengasah semula kemahirannya dalam bidang pemasaran.
Seni penyediaan kopi juga merupakan sesuatu yang diminati Hid.
"Saya baru habis kursus pemasaran masa tu. Jadi ini cara saya untuk kekalkan kemahiran saya, sambil buat sesuatu yang saya minat," ujarnya.
Nama "Santai Kopi" lahir daripada falsafah perniagaan itu sendiri, untuk melakukannya secara santai dan berperingkat, tanpa tekanan untuk berkembang pesat. Namun, di sebalik nama yang tenang itu, realitinya jauh lebih mencabar.
"Kerja di belakang tabir langsung tidak santai. Membuat kopi, pembungkusan, menerbitkan kandungan, semua saya buat sendiri. Keletihan itu memang pernah rasa," tambahnya.
Mengendalikan perniagaan bahkan menjadi semakin sukar bagi Hid kerana perlu menguruskan keluarga.
Beliau akhirnya memutuskan untuk menjual kopi dari semasa ke semasa sahaja, iaitu di sekolah atau di acara yang menyaksikan penyertaan HBB lain.
"(Model) 'pop-up' beri saya fleksibiliti. Saya boleh luangkan masa dengan anak-anak, dan tak perlu rasa bersalah sebab sebelumnya saya sibuk di rumah pada setiap hujung minggu," jelasnya.
Malah, pengalaman berjumpa dengan peniaga HBB lain memberi inspirasi untuk meneruskan perjuangan.
Antaranya, usahawan Eat It Halal Sandwich, sebuah perniagaan HBB yang mendorongnya untuk mula menyertai acara 'pop-up'.
"Beliau memberi saya semangat. Katanya... orang yang betul akan cari awak. Itu sangat memberi kekuatan," kata Hid sambil tersenyum.
Beliau juga berkongsi tentang adanya sebuah komuniti yang terdiri daripada para pemilik 'home café' yang kian akrab.
"Ada platform seperti A Cuppa yang kumpulkan perniagaan dari rumah. Kami ada satu group Telegram, kadang saling tolong beri tips, bantu memasarkan (perniagaan) satu sama lain. Ia satu ekosistem yang sihat dan tidak fokus pada persaingan," terang Hid lagi.
Santai Kopi terletak di Woodlands Drive 72.
Fin Coffee Co. di Tampines
Fin Coffee Co. membawa perspektif berbeza kepada landskap 'home cafes' tempatan.
Diasaskan oleh bekas barista bernama Ash, kafe ini menggabungkan unsur budaya kopi Australia dan New Zealand lalu membawanya ke kawasan kejiranan mereka.
"Bila pindah ke rumah ini, memang dah ada niat nak buat 'coffee station'. Isteri dan rakan saya yang dorong untuk buka betul-betul," cerita Ash.
Antara menu istimewa yang ditawarkan adalah "Magic" ($5.50), sejenis kopi yang lebih kuat daripada biasa dan mempunyai ramuan 'rahsia'.
Fin Coffee Co. bukan hanya menitikberatkan rasa kopi, tetapi juga amat teliti dalam memastikan perniagaan mereka mematuhi undang-undang.
"Ramai ingat kena ada lesen untuk berniaga dari rumah. Sebenarnya tak perlu, selagi ikut peraturan. Tapi saya tetap ambil kursus untuk keselamatan makanan," jelasnya.
Menurut Agensi Makanan Singapura (SFA), perniagaan makanan dari rumah tidak memerlukan lesennya untuk beroperasi. Namun, peniaga masih perlu mematuhi keperluan tertentu yang memastikan makanan dan minuman yang dijual selamat dimakan.
Beliau turut menekankan bahawa perniagaan kecil pun perlu serius dan beretika.
"Kalau mahu bina kepercayaan, kita kena ambil serius. Pelanggan akan rasa lebih yakin," tegasnya.
Pelanggan Fin Coffee Co. perlu terdahulu membuat pesanan (pre-order) menerusi satu portal online. Ini sekali gus membolehkan Ash mengawal jumlah pesanan dan mengelak pembaziran.
"Saya kerja sepenuh masa juga. Jadi selepas anak tidur, baru saya rakam video, buat kandungan untuk dimuat naik ke Instagram," ujarnya.
Fin Coffee Co. terletak di Tampines Street 62.
Bad Tamper di Pasir Ris
Bad Tamper di Pasir Ris
Bad Tamper dibangunkan sepasang suami isteri yang menerapkan pengalaman mereka ketika melancong di Melbourne. Menariknya, perniagaan yang dimulakan turut dijadikan cerminan identiti mereka.
"Warna biru dan merah jambu dalam jenama kami mewakili anak lelaki dan perempuan kami. Kami nak jenama ini ceria, seronok dan penuh kasih sayang," kata Athifah.
Satu perkara yang menonjol tentang Bad Tamper adalah cara mereka menggunakan media sosial. Video pertama mereka yang sekadar menunjukkan si pemilik memasang bangku IKEA meraih lebih 11,000 tontonan.
"Masa itu kami belum buka lagi. Tapi ramai komen, tanya bila nak mula. Dari situ kami sedar kuasa menggunakan gaya penceritaan yang baik (storytelling)," jelas Athifah.
Minuman yang ditawarkan Bad Tamper juga unik. Dari Fraise Cold Brew (S$6.50) hingga Injeolmi Matcha Latte (S$7.50), semuanya dirumus untuk memberi pembeli pengalaman yang menyeronokkan dan unik.
"Kami hanya jual minuman yang kami sendiri suka. Walaupun banana pudding tengah trending, kami tak masukkan sebab rasa dia tak kena dengan kami," katanya jujur.
Mereka juga menjaga hubungan dengan pelanggan dengan begitu teliti. Bayangkan, kafe yang dimulakan di rumah itu dijadikan tempat untuk sambutan hari lahir pelanggan Bad Tamper.
"Rasa macam terharu bila orang jadikan tempat kita sebagai sebahagian daripada kenangan mereka," luahnya.
Bad Tamper kini merancang untuk mengembangkan konsep Brunch-To-Go melalui kerjasama dengan perniagaan dari rumah lain. Mereka juga berhasrat untuk menceburi perniagaan 'pop-up' di majlis perkahwinan.
Bad Tamper terletak di Pasir Ris Street 71.
Jelas, setiap peniaga yang menjalankan perniagaan kafe dari rumah mempunyai cerita, iltizam dan matlamat tersendiri.
Brewprint Coffee memanfaatkan wadah digital untuk menjangkaui lebih ramai pelanggan sementara Santai Kopi memastikan model perniagaan yang digunakan tidak membebankan pemilik dan sebaliknya bersifat 'santai', persis namanya.
Fin Coffee Co. pula berusaha memastikan apa pun yang dilakukan tidak akan menyalahi undang-undang manakala Bad Tamper memberi tumpuan kepada membina hubungan mesra dengan pelanggan.
Pun begitu, ada satu persamaan dalam kalangan keempat-empat peniaga ini. Mereka semuanya mempunyai semangat untuk meneroka sesuatu yang baharu.
Sejauh mana anda akan menyokong mereka? Adakah 'home cafes' akan wujud dua atau tiga tahun dari sekarang?
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.