Bubu dawai khas penduduk pulau S'pura - mungkinkah hilang ditelan zaman?
Perangkap yang pernah kerap dimanfaatkan penduduk pulau Singapura itu dulu mampu mengundang tangkapan lumayan tapi kini jarang dilihat.
SINGAPURA: Memancing ikan dengan joran dan jaring sudah biasa kita dengar.
Bagaimana pula tentang cara menggunakan bubu?
Perangkap yang pernah kerap dimanfaatkan penduduk pulau Singapura itu dulu mampu mengundang tangkapan lumayan tapi kini jarang dilihat.
BERITAmediacorp bertemu Encik Latiff Hashim, yang masih mengamalkan warisan turun-temurun itu dan berkongsi cara membuat serta memasang bubu.
JIWA LAUT
Dilahirkan pada 1957 di Pulau Sudong, laut memang sebati dengan jiwa beliau.
Walau terpaksa berpindah ke tanah besar Singapura sejak 1978 Encik Latiff mesti ke laut di Taman West Coast setiap kali ada hari cuti.
"Paling lama tidak ke laut sebulan gitu sudah gelisah, tak tenang. Macam kata orang, betul-betul amat tertekan, pergi sana tak boleh, pergi sini tak boleh," kongsi beliau.
Lautlah nadi kehidupan para penduduk pulau seperti Encik Latiff. Selain sumber makanan, ia juga mata pencarian ramai daripada mereka.

BUBU DAWAI KHAS S'PURA
Salah satu cara menangkap ikan adalah menggunakan bubu.
Menariknya, khas di Singapura, bubu diperbuat daripada dawai, bukan buluh dan rotan seperti di negara-negara jiran.
Malah, ia juga adalah cara menangkap ikan yang lebih mampan.
"Kerana rotan tidak ada, buluh tidak ada sebab itu kita pakai dawai. Jadi mudah, lagipun cepat. Kalau pakai buluh, rotan, satu bubu kita mesti buat, mesti anyam, mesti potong. Ini dah siap. Cuma kita potong saja bentuk apa yang kita mahu - nak besar, nak kecil semua kita boleh bentuk," ujar Encik Latiff.

Malah, dalam sehari, seseorang yang mahir boleh menghasilkan dua hingga tiga bubu.
Namun, prosesnya bukan mudah.
Encik Latiff sendiri mengambil masa berbulan-bulan untuk memperhalusi kemahiran.
"Ia banyak mencabar kerana dawai, tangan boleh jadi kasar tangan kita bila buat bubu. Kita potong, mahu pintal lagi. Selepas itu, kita mesti cucuk besi, mesti jahit lagi. Kalau orang tak biasa, satu hari susah mahu siapkan satu pun. Nak potong mesti pandai, kalau tidak, ia senget," seloroh beliau.
TIDAK RAMAI ANAK MUDA MINAT
Untuk melihat cara bubu dipasang Encik Latiff membawa kru BERITAmediacorp ke kawasan air dalam berdekatan.
Walau sudah 64 tahun, beliau masih tegap menarik bot dan mampu menyelam.
Setelah menemui tempat sesuai, anak nelayan itu memasang perangkap menggunakan batu. Ia kemudian ditinggalkan dalam air sehingga empat atau lima bulan apabila ia akan mula hancur.

"Bila kita letak bubu, ikan banyak! Itu datang minat kita. Ikan masuk dalam bubu itu, dua hari, ikan banyak. Dulu gunakan kati, 30 kati, 50 kati. Dua hari kita tengok, ikan pleco dan ikan rambai banyak," cerita beliau.
Sayangnya, tidak ramai anak muda minat belajar membuat dan menggunakan bubu untuk menangkap ikan.
Menurut Encik Latiff, tinggal 12 atau 13 warga senja sepertinya saja yang masih memegang ilmu turun-temurun itu.
"Anak-anak kita semua tidak mahu, tidak minat dengan laut. Kalau memancing - di tepi pantai minat tapi naik bot, sampan tidak minat. Pasang bubu, jaring, budak-budak sekarang semua tidak minat. Mahu tunjuk ajar buat bubu macam ini pun mereka tidak mahu," ujar beliau.
Maka itu, Encik Latiff berharap lebih ramai tampil untuk belajar warisan membuat bubu.
Yang pasti, beliau dengan rela hati membuka tangan untuk memberi tunjuk ajar.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.