Skip to main content

Gaya Hidup

Buat pilihan tepat: Kenali jenis dan ciri bagasi sesuai untuk bercuti

Anggaran Waktu Membaca:
Buat pilihan tepat: Kenali jenis dan ciri bagasi sesuai untuk bercuti

Gambar hiasan: Pexels

SINGAPURA: Bahang musim cuti sudah dapat dirasakan. Jika diperhatikan kini terdapat pelbagai jualan murah bagi keperluan percutian seperti beg melancong, but, pakaian sejuk, sarung tangan dan lain-lain yang diadakan di pusat beli-belah selain di dewan Singapore Expo.

Mungkin ada antara anda yang sudah pun membuat tempahan percutian untuk melancong bersama seisi keluarga pada musim cuti sekolah hujung tahun nanti. Tidak kira ke mana sahaja destinasi yang ingin dituju, pastikan anda membuat persiapan awal. Lebih-lebih lagi jika ingin bercuti bersama anak-anak kecil.
 
Gambar hiasan: Pexels
Lain destinasi keperluan yang perlu dibawa juga berbeza. Apabila ingin bercuti usah ambil remeh tentang bagasi yang ingin dibawa. Terutama bagi yang sudah lama tidak ke luar negara dan ingin terbang jauh, pastikan anda memberi tumpuan kepada bagasi yang akan dibawa.

Jika anda mempunyai beg atau bagasi beroda yang sudah lama tidak digunakan dan berusia lebih lapan tahun, penting untuk periksa dulu dengan teliti. Adalah lebih baik untuk gantikan dengan bagasi baharu yang direka dengan fungsi yang lebih moden.
Kini kebanyakan beg bagasi baharu di pasaran mengikut piawaian yang dikeluarkan oleh syarikat penerbangan dari segi saiz di mana ia dibenarkan untuk masuk ke dalam kapal terbang.

Di samping itu, bagasi moden juga direka dengan bahan plastik atau fabrik yang jauh lebih ringan, lebih lasak dan memudahkan untuk dibawa ke mana sahaja dengan bantuan roda.

Memastikan pemilihan beg yang tepat dan sesuai semasa percutian merupakan perkara yang tidak patut dipandang remeh. Penting untuk mengambil kira destinasi yang ingin dikunjungi, jenis perjalanan, tempoh percutian dan acara atau aktiviti yang akan dilakukan.

Saiz beg yang dibawa haruslah sesuai dengan keperluan masing-masing. Tidak kiralah percutian singkat atau berbulan lama, pengangkutan yang akan diambil - kapal terbang, kereta api, feri, kereta dan sebagainya.

Selain itu, anda juga harus ambil kira sama ada percutian anda jenis statik tidak banyak bergerak atau mengikuti rombongan yang memerlukan untuk sering bertukar hotel dari masa ke sama. Penting juga mengambil kira jenis aktiviti yang akan dilakukan semasa bercuti.
Contohnya, jika anda akan mendaki gunung dan sebagainya, pastinya anda memerlukan beg yang lebih besar yang dapat muatkan pakaian sejuk yang tebal.

Apa pun, elak daripada mengutamakan pilihan corak atau warna apabila ingin membeli beg. Yang penting pastikan ia praktikal dan dapat muatkan barang-barang yang perlu dibawa bersama. Sebelum membuat pilihan, fahami fungsi sesebuah beg agar tidak salah buat pilihan dan menyesal kemudian.

JENIS-JENIS BEG

Beg beroda


Sesuai untuk percutian panjang, beg beroda selalunya adalah lebih lasak bergantung kepada pilihan jenama. Ia mempunyai pemegang dan permukaan luaran yang tegap dan keras, membuatnya antara beg yang sangat versatil dan mudah dibawa ke mana sahaja. Yang pasti anda tidak perlu memikul beg ini kerana adanya roda yang praktikal.
Gambar hiasan: Unsplash
Beg sandang atau backpack

Beg ini direka untuk menepati percutian yang lebih versatil dan aktif seperti penggembaraan.

Selalunya 'backpack' direka dengan bahan yang tahan lasak dan mudah untuk dipikul dan dibawa ke mana-mana. Sesuai untuk mereka yang sentiasa bergerak dari satu tempat ke satu tempat atau bertukar-tukar penginapan.
Beg Duffel

Rekaan beg jenis ini sesuai untuk percutian santai dan mereka yang melancong solo bersama rakan-rakan. Ia juga menepati golongan yang gemar bersukan semasa bercuti. Walaupun direka tanpa roda dan tidak lasak seperti backpack, beg duffel ini juga sesuai untuk penggembaraan kasual, tidak kiralah di bandar moden ataupun di pedalaman termasuk pulau.

Bentuknya yang ringkas dan memanjang juga menjadikannya sebagainya beg sampingan untuk menyimpan pakaian atau barang-barang lain yang tidak muat disimpan di dalam beg utama yang sudah dipenuhi dengan barang lain.
Gambar hiasan: Unsplash
Beg Day-Pack

Ini sesuai bagi yang inginkan beg kecil untuk ke luar negara atas urusan pekerjaan atau percutian singkat. Saiznya kecil dan rekaannya mempunyai ruang untuk menyimpan komputer riba jika anda ingin membawanya bersama untuk urusan pekerjaan. Pada masa yang sama inilah antara rekaan beg padat yang boleh dibawa masuk ke tempat duduk dalam penerbangan.
Gambar hiasan: Unsplash
5 PERKARA SEBELUM PILIH BEG

Selain mengenali jenis-jenis beg yang berbeza di pasaran, penting juga untuk memahami ciri-ciri beg.

Tahan lasak

Sebelum membuat pilihan, pastikan untuk memberi tumpuan dan keutamaan kepada tiga faktor ini – fabrik, struktur dan kalis air. Ia memainkan peranan yang sangat penting untuk memastikan beg pilihan dapat tahan lasak dan versatil untuk digunakan dalam apa juga cuaca.

Saiz

Memastikan saiz beg dengan kapasiti barangan dan pakaian yang ingin dibawa bersama merupakan perkara yang paling penting. Contohnya, untuk percutian bersama anak-anak kecil, anda akan memerlukan beg saiz besar. Sementara mereka yang bercuti solo atau bersama pasangan pula memadai dengan beg saiz sederhana.

Berat

Elak daripada menyumbat beg dengan benda-benda yang tidak perlu atau membawa pakaian yang berlebihan yang tidak akan digunakan. Jika berat beg lebih daripada had yang ditetapkan anda akan dikenakan bayaran tambahan. Oleh itu, pastikan beg ringan dan yang penting tidak melebihi had. Apabila membeli beg, carilah yang bermutu dan pada masa yang sama ringan.

Bahan

Sebelum membuat pilihan, perhatikan jenis-jenis bahan yang digunakan. Selalunya bagasi diperbuat daripada bahan utama seperti polikarbonat, polipropilena dan ABS luggage.

Polikarbonat merupakan jenis termoplastik yang mengandungi bahan karbon. Ia ternyata lebih ringan daripada beg aluminium yang lain, kalis calar dan tidak mudah retak atau pecah semasa melancong.

Polipropilena pula diperbuat dari bahan plastik yang sangat ringan. Pastikan untuk memilih beg kalis air jika jadual percutian anda adalah untuk lakukan aktiviti air seperti selam snorkel atau mengunjungi pulau menaiki bot.
Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita