Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Buat perabot, pisau dengan sentuhan peribadi di Tombalek

Seni menempa pisau dan parang sudah lama wujud malangnya, tidak ramai dalam masyarakat sekarang, terutamanya anak-anak muda yang mengetahui seni pertukangan ini. Bahkan, ia hampir tenggelam dibungkus waktu.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Seni menempa pisau dan parang sudah lama wujud malangnya, tidak ramai dalam masyarakat sekarang, terutamanya anak-anak muda yang mengetahui seni pertukangan ini. Bahkan, ia hampir tenggelam dibungkus waktu.

#BERITAjelajah ke Mandai Link dan berpeluang mencuba pengalaman menjadi tukang besi di bengkel Tombalek, satu-satunya syarikat yang menawarkan kursus menempa pisau kepada orang ramai.

Dikendalikan oleh Encik Kung Guangjun, 30 tahun, Tombalek memberi peluang kepada mereka yang ingin menghasilkan perabot unik dan pisau dengan sentuhan peribadi yang tidak dihasilkan di kilang.

PROSES MENEMPA PISAU REBAR

Sekali pandang, mungkin nampak mudah – sekadar ketuk-ketuk besi sehingga terbentuk pisau.

Namun yang pasti, seluruh proses itu memerlukan tahap kesabaran dan fokus yang tinggi, kekuatan fizikal dan juga sentuhan kreativiti. Bak pepatah Melayu, genggam bara api, biar sampai menjadi arang.

Bagi seseorang yang sudah biasa bertukang, proses menempa mata pisau yang kasar mengambil masa sekitar 30 minit.

Namun, biasanya ia mengambil masa lima hingga enam jam.

Seni menempa besi untuk dijadikan pisau Rebar boleh diibaratkan seakan-akan membuat kek - jika tersilap langkah mahupun suhu yang terlalu rendah atau tinggi, ia tidak akan 'menjadi'.

Encik Guangjun berkongsi dengan BERITA bahawa amat penting untuk memastikan suhu dapur membakar besi, tidak terlalu tinggi.

"Jika suhunya terlalu tinggi, proses pengoksidaan akan berlaku, sekali gus menyebabkan logam tersebut menjadi hitam. Dengan itu, oksida besi akan terhakis di bahagian tepinya.

"Lagi lama anda terus membakarnya, lagi banyak yang akan terhakis sehingga seluruh logam tersebut akan rosak," menurut Encik Guangjun.

CERITA DI SEBALIK NAMA 'TOMBALEK'

Sinar gembira mengerlip di mata Encik Guangjun apabila ditanya mengenai cerita di sebalik nama syarikatnya.

Beliau berkongsi bahawa nama syarikatnya (Tombalek) sebenarnya dilahirkan daripada perkataan Melayu ‘terbalik’ yang disebut dengan loghat orang Cina.

"Asalnya kepala guitar saya yang terbalik. Jadi, kawan saya tanya mengapa ia ‘tombalek’. Hari itulah saya dapat tahu bahawa ejaan perkataan itu salah.

"Perkataan itu, yang anda lihat digunakan sebagai jenama kami, nampaknya cantik. Jadi, kami putuskan untuk gunakannya sebagai jenama kami," ujar Encik Guangjun.

KURSUS HASIL PERABOT, MAINAN JUGA DITAWAR

(Gambar: Tombalek/Facebook)

Selain menawarkan kelas menghasilkan pisau, Tombalek turut menawarkan kursus membuat perabot mengikut citarasa sendiri.

Ini semestinya sesuai bagi mereka yang ada idea sendiri dan tidak mahu perabot yang dimiliki serupa dengan di kediaman lain.

Bukan itu sahaja, Tombalek juga menawarkan kursus yang direka khas untuk kanak-kanak menghasilkan mainan sendiri seperti membuat perisai, kereta dan bermacam-macam lagi.

Kursus mainan itu bukan sahaja mengajar kanak-kanak kemahiran seni pertukangan kayu tetapi juga, satu kegiatan yang dapat dilakukan seisi keluarga.

Butiran kursus yang ditawarkan Tombalek, boleh diperolehi di pautan https://tombalek.com/.

Pengalaman wartawan BERITAmediacorp jadi tukang besi disorot dalam Facebook dan Instagram @BERITAmediacorp.

Sumber : BERITAmediacorp/na

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa