Botak Jones kembali ke Depot Lane
Apabila Encik Bernard Utchenik, pengasas Botak Jones mengumumkan di Facebook awal bulan ini bahawa gerai makanan barat itu akan kembali beroperasi, beliau terkejut ramai orang berkata mereka merindui gerainya itu.
Encik Utchenik dan isterinya Cik Faudziah Mohd Ali. (Gambar: Raj Nadarajan/TODAY)
SINGAPURA: Apabila Encik Bernard Utchenik, pengasas Botak Jones mengumumkan di Facebook awal bulan ini bahawa gerai makanan barat itu akan kembali beroperasi, beliau terkejut ramai orang berkata mereka merindui gerainya itu.
Peminat Botak Jones kini boleh mendapatkan antara lain, sajian-sajian istimewanya - ayam Cajun dan 'fish and chips' - mulai Isnin (14 Jun).
Gerai baru itu terletak di Yue Hua Eating House di 118 Depot Lane dan dinamakan semula sebagai The Original Botak Jones.
Menurut Encik Utchenik, nama tersebut dipilih untuk meyakinkan orang ramai bahawa resipi-resipi Botak Jones yang mereka gemar "dari dulu lagi" kekal tidak berubah meskipun perniagaan itu sudah melalui banyak perubahan sepanjang beberapa tahun yang lalu.
Pemilik kedai rakyat Singapura yang dahulunya warga Amerika Syarikat itu mengongsi bahawa Botak Jones pertama kali dibuka di Tuas pada 2003.
MENINGGALKAN PERNIAGAAN
Sewaktu zaman gemilangnya, Botak Jones mempunyai 13 cawangan merata Singapura. Namun, Encik Utchenik memutuskan untuk menjual saham-saham miliknya dalam perniagaan itu pada 2013 selepas para pelabur mahu membuat perubahan.
"Saya kecewa dan berfikir daripada saya menjadi hambatan, lebih baik saya menarik diri saja," kata beliau.
Encik Utchenik dan isterinya Cik Faudziah Mohd Ali, membeli gerai Botak Jones di Balestier Road dan membuka sebuah restoran baru, BJ's American Diner yang kemudian bertukar nama kepada Big Bern's American Grill.
Selepas cawangan-cawangan tersebut dan lagi satu di pusat makanan Mapletree Industrial Estate di Toa Payoh North ditutup, pasangan itu kemudian membuka cawangannya di Timbre+ pada 2016 dan di Gluttons Bay tahun lalu.
Namun, kedua-dua cawangan itu pun tutup pada April dan Mei tahun ini disebabkan masalah kewangan dek pandemik.
"Kami langsung tidak meraih keuntungan dan ia situasi yang sangat mencabar," kata beliau.
MENGEMBALIKAN BOTAK JONES
Selepas cawangan Big Berns's di Timbre+ ditutup pada April lalu, Encik Utchenik berkata beliau dan rakan niaganya mengongsi idea sama untuk mengembalikan Botak Jones.
Katanya, cawangan Botak Jones yang bakal dibuka itu adalah peluang beliau menebus idea asalnya.
"Saya berharap legasi saya boleh bertahan lebih daripada jangka hayat saya," luah beliau.
"Ramai orang membesar dengan Botak Jones dan sama ada kami boleh memenuhi cita rasa mereka masih menjadi tanda tanya. Namun kami akan cuba sedaya upaya."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.