Bolehkah mempelajari bahasa baharu mencegah demensia?
(Gambar: Pexels)
NEW YORK: Tinjauan yang dijalankan oleh aplikasi pembelajaran bahasa, Memrise, mendapati 57 peratus pengguna aplikasi berkenaan melaporkan "peningkatan pada kesihatan otak" sebagai motivasi untuk menggunakan program tersebut.
Mampukah ia menjadi satu kenyataan? Kajian tentang dwibahasa dan demensia telah dijalankan ke atas para individu yang telah menggunakan pelbagai bahasa dalam kehidupan seharian mereka sejak sekurang-kurangnya peringkat awal dewasa lagi.
Sama ada mempelajari bahasa lain secara santai di kemudian hari akan memberikan kelebihan kognitif yang sama masih lagi dibahaskan.
BAGAIMANA DWIBAHASA MEMBANTU PENUAAN
Banyak aktiviti dikaitkan dengan kesihatan otak yang lebih baik pada usia tua, seperti mendapatkan lebih banyak pendidikan semasa kita lebih muda, khususnya aktiviti fizikal dan hobi yang merangsang kognitif. Para pakar berpendapat, dengan kerap bercakap dalam pelbagai bahasa, ia mungkin sangat bermanfaat.
"Kita menggunakan bahasa dalam semua aspek kehidupan seharian, jadi otak dwibahasa sentiasa berfungsi," kata Mark Antoniou, seorang profesor madya di Western Sydney University di Australia, yang pakar dalam dwibahasa.
"Anda tidak mungkin akan mendapat manfaat seperti itu daripada pengalaman lain yang memperkayakan minda anda, seperti bermain alat muzik."
Usia di mana anda mempelajari bahasa lain nampaknya kurang penting daripada kekerapan anda menutur dalam bahasa tersebut, kata Caitlin Ware, seorang jurutera penyelidik di Hospital Broca di Paris, yang mengkaji dwibahasa dan kesihatan otak.
"Jadi, sekiranya bahasa kedua banyak digunakan, anda akan mendapat latihan kognitif itu."
PEMBELAJARAN PADA USIA SENJA
Bukti bagi manfaat mempelajari bahasa kedua sebagai hobi pada usia 60-an tahun adalah lebih lemah.
Kajian yang dijalankan oleh Dr Antoniou dan rakan-rakan sekerjanya mendapati, meskipun orang dewasa Cina berumur 60 tahun ke atas bertambah baik pada ujian kognisi selepas menjalani program pembelajaran bahasa selama enam bulan, orang yang bermain permainan seperti Sudoku dan teka silang kata juga menunjukkan peningkatan.
Dua lagi kajian terbaharu mengenai topik itu, yang diterbitkan pada 2023, mendapati hampir tiada perbezaan pada prestasi kognitif selepas para responden mengambil bahagian dalam program pembelajaran bahasa.
Bagi Dr Antoniou, penemuan terhad itu tidak mengejutkan. Tiada siapa yang akan mengatakan bahawa mempelajari bahasa baharu selama enam bulan "akan sama seperti menggunakan dua bahasa sepanjang hidup anda", katanya. Tetapi beliau berpendapat bahawa pelajaran bahasa boleh memberikan manfaat kognitif dengan merangsang secara intelek.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.