Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Bolehkah buah-buahan, sayur-sayuran tingkatkan kecerdasan otak?

Satu kajian baru menyorot kaitan antara makanan tertentu dengan fenomena lupa-lupa dan kebingungan. Namun jenis pemakanan apa khususnya yang boleh bantu tingkatkan kesihatan otak?

Anggaran Waktu Membaca:
Bolehkah buah-buahan, sayur-sayuran tingkatkan kecerdasan otak?

Sayur-sayuran dan buah-buahan. (Gambar: Engin Akyurt/Unsplash)

Diterbitkan : 15 Aug 2021 09:58PM Dikemas Kini : 15 Aug 2021 10:06PM

NEW YORK: Satu kajian baru, salah satu analisis terbesar seumpamanya setakat ini, mendapati bahawa flavonoid, bahan kimia yang memberikan warna cerah pada makanan tumbuhan, dapat membantu mengekang kealpaan dan rasa keliru yang sering dialami warga senja ketika usia meningkat, yang juga kadang-kalanya merupakan tanda awal diagnosis nyanyuk atau demensia, lapor The New York Times.

Kajian itu bersifat pemerhatian maka itu tidak dapat membuktikan kaitan sebab dan akibat, namun skala penyelidikan itu serta jangka masa yang panjang ia dijalankan menambah kepada bukti bahawa apa yang kita makan memberi kesan kepada kesihatan otak.

Para saintis menggunakan data dari dua kajian kesihatan besar berterusan, yang bermula pada lewat 1970-an dan awal 1980-an, melibatkan peserta yang secara berkala menjawab soalan mengenai pemakanan dan kesihatan mereka selama lebih 20 tahun. Analisis itu merangkumi 49,693 wanita yang usia purata mereka adalah 76 tahun manakala 51,529 lelaki yang usia purata mereka adalah 73 tahun.

Para saintis mengira pengambilan lebih 20 jenis flavonoid yang lazim dimakan - termasuk beta karotena dalam lobak, flavon dalam strawberi, antosianin dalam epal, dan jenis-jenis lain dalam banyak buah-buahan dan sayur-sayuran. Kajian itu diterbitkan dalam jurnal Neurology.

Tahap penurunan kognitif subjektif dinilai dengan menggunakan jawapan "ya" atau "tidak" bagi tujuh soalan: Adakah anda menghadapi masalah mengingati peristiwa baru-baru ini, mengingati perkara dari satu saat hingga saat yang berikutnya, mengingati senarai pendek barang, mengikuti arahan secara lisan, mengikuti perbualan dalam kumpulan, atau mencari jalan di jalan-jalan yang biasa anda lalui, dan adakah anda perasan perubahan baru-baru ini dalam kemampuan anda untuk mengingati sesuatu?

DAPATAN KAJIAN

Para pengkaji mendapati bahawa pemakanan flavonoid yang lebih tinggi dikaitkan dengan kurang jawapan "ya" kepada soalan-soalan yang diajukan.
Jika dibandingkan dengan kumpulan 20 peratus paling rendah pengambilan flavonoid mereka, golongan 20 peratus paling banyak memakan flavonoid didapati 19 peratus kurang cenderung melaporkan lupa-lupa atau rasa keliru.

Menurut pengarang kanan, Dr Deborah Blacker, seorang profesor epidemiologi di Sekolah Kesihatan Awam Harvard T.H. Chan, penemuan jangka panjang itu membayangkan bahawa memulakan diet yang kaya flavonoid dari awal kehidupan mungkin penting untuk kesihatan otak.

Bagi golongan muda dan pertengahan usia, kata beliau "Mesejnya adalah bahawa makanan-makanan ini baik untuk anda secara amnya, dan bukan hanya dari segi keupayaan kognitif. Cari cara untuk menyertakan makanan ini ke dalam kehidupan anda adalah penting. Fikirkan: Bagaimana saya dapat mencari makanan segar dan memasaknya dengan cara yang menyelerakan? Itu adalah sebahagian daripada mesej kajian tersebut."

Para penyelidik bukan hanya melihat pada pengambilan flavonoid secara keseluruhanya, tetapi juga meneliti sekitar 30 makanan tertentu yang mengandungi flavonoid. Pengambilan sayur seperti Brussels srouts yang tinggi, strawberi, labu dan bayam mentah dikait rapat dengan markah lebih baik dalam ujian penurunan kognitif subjektif. Pengambilan bawang, jus epal dan anggur adalah ketara, meskipun menunjukkan kaitan yang ketara tetapi lebih lemah.

Dr Paul Jacques, seorang saintis kanan di Pusat Penyelidikan Khasiat Manusia di Jabatan Pertanian Jean Mayer Amerika Syarikat bagi Penuaan di Universiti Tufts, yang tidak mengambil bahagian dalam penyelidikan itu, berkata: "Dari segi kemajuan saintifik, ini menambah kepada bahan yang ada dan satu kajian yang dijalankan dengan baik. Ini adalah langkah sederhana, bukan langkah besar, menuju ke arah membantu kita mengenal pasti tempoh awal di mana kita dapat melakukan intervensi dengan berkesan” untuk mengurangkan risiko penyakit Alzheimer.

Dr Blacker pula menarik perhatian kepada isu dasar lebih luas.

“Jika kita dapat membangunkan dunia di mana semua orang dapat akses kepada buah-buahan dan sayuran segar," kata beliau, "ia akan membantu perbaiki banyak isu kesihatan dan melanjutkan usia." 

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan