Bolehkah berbasikal jadi pengangkutan pilihan dan gaya hidup di SG?
Pengayuh basikal di Singapura berkata risiko kemalangan kekal menjadi kebimbangan utama apabila memilih untuk bersiar-siar dengan basikal. (Gambar:CNA/Nurjannah Suhaimi)
Pada bulan Februari, jejantas pertama Singapura yang membenarkan kegiatan berbasikal merentasi PIE dibuka di Jurong West. Dengan laluan seluas 110m kali 8m, jambatan itu dijangka mengurangkan masa perjalanan ke Daerah Inovasi Jurong sehingga 35 minit, sekali gus menambah baik akses ke NTU, Jurong Eco-Garden, dan stesen MRT CleanTech Park yang akan dibuka kelak.
MERUBAH TABIAT DAN MENGALAKKAN PENGGUNAAN
Walaupun dengan adanya lebih banyak infrastruktur, kurang dua peratus orang memilih untuk berbasikal ke tempat kerja. Para penganalisis berkata usaha menggalakkan lebih ramai orang berbasikal setiap hari memerlukan lebih daripada sekadar menyediakan laluan — ia memerlukan kemudahan di hujung perjalanan seperti tempat letak basikal yang selamat, berbumbung, ruang mandi di tempat kerja atau awam, dan kemudahan untuk memulakan perjalanan seperti basikal sewa.
Sikap saling menghormati antara pengguna jalan raya juga penting. Pakar-pakar pengangkutan mengetengahkan keperluan bagi peraturan kedudukan yang lebih jelas untuk ruang yang dikongsi bersama dan pendidikan awam yang lebih berkesan, sama seperti kempen berdiri di sebelah kiri ketika menggunakan tangga bergerak yang dilaksanakan sebelum ini.
KELEMAHAN INFRASTRUKTUR
Para pengayuh basikal mengetengahkan tiga isu utama:
Laluan yang terhenti separuh jalan– Rangkaian berbasikal yang tidak lengkap memaksa pengguna perlu bertukar-tukar antara laluan bersama, jalan raya dan laluan penghubung, yang menyebabkan perjalanan menjadi kurang lancar.
Kemudahan simpanan - Kekurangan tempat letak basikal yang selamat dan berbumbung di tempat kerja dan kawasan awam.
Risiko keselamatan – Kemalangan akibat kelajuan yang berbeza-beza di laluan bersama, titik buta di jalan raya dan mutu permukaan jalan yang tidak konsisten ratanya (contoh: bahagian yang berbatu-bata).
APA YANG DIMAHUKAN PENGGUNA BASIKAL
Kebanyakan pengayuh basikal bersetuju bahawa lorong basikal khas di jalan raya adalah kemudahan yang ideal, membolehkan kelajuan yang konsisten tanpa konflik dengan pejalan kaki. Jika tidak dapat disediakan, mereka mencadangkan:
- luaskan laluan bersama untuk trafik dua hala yang lebih selamat
- hubungkan segmen terputus-putus untuk laluan berterusan
- sediakan lebih banyak kemudahan di hujung perjalanan di merata negara
SARANAN BAGI PERANCANGAN BANDAR
Para pakar berkata Singapura sudah mempunyai asas kukuh untuk bandar mesra basikal, termasuk laluan berbasikal di kawasan kejiranan, dasar bebas kenderaan dan pengangkutan awam yang bersepadu. Walau bagaimanapun, cabaran masih wujud dari segi:
Ruang terhad di estet lama. Ini bermakna sebagai ganti, pemerintah terpaksa mengurangkan ruang pejalan kaki atau menebang tumbuh-tumbuhan.
Kawasan tanah yang terhad mungkin cetuskan keperluan untuk lakukan pengubahsuaian, lencongan atau pengubahsuaian pada infrastruktur sedia ada.
Tidak banyak cara untuk menyepadukan antara berbasikal dengan menaiki pengangkutan awam — misalnya, tiada rak basikal di dalam bas dan kereta api.
PERANCANGAN MASA DEPAN
Inisiatif Jalan Raya Mesra Pengguna adalah salah satu contoh perancangan masa depan, seperti memperkenalkan lintasan yang lebih selamat, mengurangkan trafik dan pembahagian adil kawasan yang diperuntukkan untuk pengguna basikal dan pejalan kaki.
Para penganalisis menekankan bahawa penaiktarafan infrastruktur mesti berkembang seirang dengan perubahan sikap, penguatkuasaan undang-undang keselamatan yang lebih kukuh dan pendidikan berterusan untuk menggalakkan sikap tolak ansur dan saling memahami di laluan-laluan yang dikongsi bersama.
Jika perjalanan menggukan basikal menjadi lancar, lengkap, dan selamat, lebih ramai rakyat Singapura mungkin memilihnya sebagai kaedah perjalanan harian, sekali gus menyokong wawasan negara untuk mengurangkan penggunaan kereta peribadi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.