Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Bolehkah anda dapat alahan daripada makan durian?

Musim durian tiba lagi dan di merata tempat ada saja orang yang jual raja buah itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Bolehkah anda dapat alahan daripada makan durian?

(Gambar: Unsplash)

Diterbitkan : 09 Jul 2020 03:03PM Dikemas Kini : 09 Jul 2020 03:04PM

SINGAPURA: Musim durian tiba lagi dan di merata tempat ada saja orang yang jual raja buah itu.
Bagi 'hantu buah berduri' tersebut inilah masanya untuk tidak melepaskan peluang menikmati keenakan isi buah kegemaran mereka.

Namun, bagaimana jika setelah sekian lama dapat menikmati buah itu tanpa sebarang masalah kesihatan, tidak semena-mena, anda mengalami alahan kepada durian?
Pastinya ia membimbangkan.

Mujur di Singapura, tidak banyak kes alahan terhadap buah durian yang dilaporkan.

Namun, "ada beberapa kes disyaki alahan kepada durian semasa musim raja buah itu," menurut doktor di Klinik DTAP di Bencoolen, Dr Benjamin Loh.

"Berdasarkan kertas kajian, terdapat hanya satu kajian mengenai kes alahan kepada durian," katanya sekaligus menunjukkan bagaimana kejadian sedemikian amat jarang berlaku.

MENGAPA ANDA TIBA-TIBA ALAH KEPADA DURIAN?

Namun kata Dr Loh, anda masih boleh mengalami alahan kepada durian apabila usia anda meningkat.

Serangan alahan berlaku apabila tubuh anda menganggap sesuatu yang sebelum ini tidak berbahaya (misalnya durian) kini sebagai bahan berbahaya dan bertindak balas secara keterlaluan bagi menanganinya. Ini menyebabkan simptom-simptom alahan seperti timbul ruam pada kulit, hingus, cirit-birit, muntah dan kesesakan nafas.

Selain itu, anda mungkin berfikir alahan itu baru sahaja anda mengalami, namun sebenarnya ia sudah pun berada dalam tubuh anda buat sekian lama.

Anda tidak terperasan selama ini kerana barangkali tubuh anda mengeluarkan tindak balas yang sederhana terhadap durian.

Bagaimanapun setelah terdedah secara berterusan kepada bahan alahan itu buat satu tempoh masa yang panjang, tubuh anda menjadi semakin sensitif dan mengeluarkan tindak balas meskipun jika terdedah kepada bilangan kecil bahan alahan itu, kata Dr Loh.

Justeru, apakah bahan yang ada pada durian yang dapat mencetuskan alahan itu? Pakar pemakanan Jaclyn Reutens berkata ia mungkin adalah kandungan belerang atau sulfur dalam durian "kerana terdapat individu yang mengalami alahan terhadap bahan tersebut".

Penggemar durian mencuba pelbagai cara untuk mengatasi alahan itu.

Ada yang makan lebih banyak durian dengan harapan supaya ia membiasakan tubuh mereka kepada bahan alahan tersebut. Ada juga yang makan ubat anti alahan sebelum memakan durian. Namun, adakah kaedah itu berkesan? Haruskah anda mencubanya?

Lebih baik jangan, nasihat Dr Loh. Ini kerana tidak dapat dipastikan betapa serius serangan alahan itu kepada tubuh anda.

Atas sebab yang sama juga, tidak wajar bagi anda untuk mengambil ubat alahan sebelum makan durian dengan tujuan mencegah berlaku serangan alahan.

"Jika individu itu pernah mengalami serangan alahan yang teruk kepada durian, saya tidak galakkan ambil ubat anti alahan. Kita tidak dapat meramalkan bagaimana serangan alahan seterusnya akan berlaku, terutama sekali jika terdapat kemungkinan berlaku serangan alahan yang boleh mengancam nyawa," kata Dr Loh.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan