Biskut 'Old School', Aiskrim 'Potong' penggamit nostalgia boleh dihantar ke rumah semasa pemutus jangkitan COVID-19
Biskut Ais Jem, Wafer Coklat dan Aiskrim 'Potong' pasti menggamit seribu kenangan semasa zaman kanak-kanak bagi mereka yang membesar dengan memakan cemil-cemilan itu.
(Gambar: Facebook/Biscuit Story, Chip Guan Heng)
BERITAmediacorp: Biskut Ais Jem, Wafer Coklat dan Aiskrim 'Potong' pasti menggamit seribu kenangan semasa zaman kanak-kanak bagi mereka yang membesar dengan memakan cemil-cemilan itu.
Di Singapura, biskut-biskut 'Old School' dan aiskrim 'Potong' itu boleh didapatkan dengan mudah daripada pasar raya, kedai-kedai serbaneka atau dari peniaga aiskrim yang menaiki motosikal.
Namun, menyusuli penguatkuasaan langkah pemutus rantaian jangkitan COVID-19 di Singapura, selain daripada para peniaga makanan yang tidak boleh berniaga seperti biasa, para penjual aiskrim juga tidak dibenarkan untuk menjual aiskrim sepanjang tempoh tersebut.
Setelah sekian lama terperuk di rumah, mungkin ada dalam kalangan anda yang mengidam untuk menikmati aiskrim atau cemil-cemilan 'Old School' itu.
Mujur, biskut-biskut 'Old School' dan aiskrim 'Potong' itu kini dijual online dan boleh ditempah bagi penghantaran ke rumah.
AISKRIM 'POTONG' DIJUAL PADA S$4 SEKOTAK
Menjadi tular di media sosial baru-baru ini, salah satu syarikat pengedar aiskrim legenda di Singapura, Chip Guan Heng menjual aiskrim-aiskrim 'Potong' pada harga istimewa melalui Facebook.
Menurut syarikat itu, para penjaja aiskrim tidak dibenarkan untuk berniaga semasa tempoh pemutus jangkitan.
Justeru, syarikat itu menjual secara borong aiskrim-aiskrim 'Potong' menerusi wadah online kepada orang ramai yang ingin menikmati aiskrim itu di rumah.
Meskipun aiskrim-aiskrim itu disarankan untuk dijual pada harga S$8 sekotak, namun syarikat itu menjualnya pada separuh harga iaitu S$4.
(Gambar: Chip Guan Heng)
Beraneka perisa aiskrim yang dijual seperti cip coklat, durian, jagung bagi memenuhi cita rasa pelbagai peminat aiskrim.
Penghantaran percuma juga ditawarkan bagi setiap pembelian S$80 ke atas.
Di samping itu, syarikat itu juga menawarkan tawaran potongan harga 50 peratus bagi pembelian aiskrim terpilih yang dibungkus secara berasingan.
BISKUT 'OLD SCHOOL'
Sekali pandang ia pasti membuat anda rambang mata.
Biskut-biskut 'Old School' yang tersimpan dalam tin menjadi satu pencetus kenangan zaman kanak-kanak.
Syarikat Biscuit Story menjual pelbagai biskut lama seperti biskut jam nanas dan biskut ais jem yang menjadi kegemaran ramai bukan hanya warga emas tetapi juga golongan muda.
(Gambar: Facebook/Biscuit Story)
Dijual pada harga antara S$2 dengan S$7.50 bergantung pada jumlah dan berat yang dipilih, syarikat itu menawarkan penghantaran ke merata Singapura tanpa had pembelian minimum.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.