Skip to main content

Gaya Hidup

Bintik hitam pada kulit: Apakah cara terbaik untuk menghilangkan dan mencegahnya?

Pernah tergoda untuk memicit bintik hitam pada wajah menggunakan jari, putik kapas atau alat logam kecil?

Anggaran Waktu Membaca:
Bintik hitam pada kulit: Apakah cara terbaik untuk menghilangkan dan mencegahnya?

Keadaan bintik hitam pada hidung sebelum (kiri) dan selepas ia dibersihkan. (Petikan skrin: YouTube/The Gorgeous Korner)

Diterbitkan : 20 Sep 2026 12:11PM
  • Pakar dermatologi menasihatkan orang ramai supaya tidak memicit sendiri bintik hitam kerana tindakan itu boleh mencederakan kulit, mencetuskan keradangan, jangkitan atau parut.
  • Bintik hitam terbentuk apabila minyak, sel kulit mati dan kotoran menyumbat liang, terutama ketika minyak berlebihan, perubahan hormon atau penggunaan produk yang menyumbat liang.
  • Jika perlu dikeluarkan, pakar dermatologi wajar melakukannya dengan alat steril; jalur pori pula tidak digalakkan kerana kesannya terhad dan boleh merengsakan kulit.
  • Pencegahan tertumpu pada kawalan minyak melalui asid salisilik, retinoid atau retinol, manakala kes berulang boleh dirujuk kepada pakar untuk rawatan laser, pengelupasan kimia atau rutin sesuai.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Pernah tergoda untuk memicit bintik hitam pada wajah menggunakan jari, putik kapas atau alat logam kecil?

Walaupun perbuatan itu mungkin memberikan kepuasan, pakar dermatologi tidak mengesyorkan seseorang mengeluarkan sendiri bintik hitam kerana ia boleh merosakkan kulit.

Pakar dermatologi di NYC Health + Hospitals/Gotham Health, Dr Alisen Huang, berkata keinginan untuk memicit bintik hitam memang sukar ditahan, namun menegaskan ia tidak seharusnya dilakukan.

APA PUNCA BINTIK HITAM?

Bintik hitam lazimnya muncul pada wajah, leher, belakang dan dada.

Ia merupakan sejenis jerawat yang dikenali dalam istilah perubatan sebagai komedo terbuka.

Ia terbentuk apabila minyak semula jadi kulit, sel kulit mati dan kotoran lain menyumbat liang kulit. Bahagian yang terdedah kepada udara kemudian menjadi gelap.

Penghasilan minyak kulit secara berlebihan merupakan antara punca utama, menurut pakar dermatologi di New York City, Dr Chang B Son.

Pakar dermatologi Dr Murad Alam dari Northwestern University Feinberg School of Medicine pula berkata penggunaan produk yang boleh menyumbat liang, termasuk yang mengandungi mentega shea, minyak kelapa atau minyak avokado, juga boleh menyebabkan bintik hitam.

Menggunakan terlalu banyak produk penjagaan kulit secara berlapis pada satu-satu masa turut boleh menyumbang kepada masalah tersebut.

Bintik hitam boleh dialami sesiapa sahaja pada sebarang usia, namun lazim berlaku ketika perubahan hormon seperti akil baligh atau kehamilan serta dalam keadaan yang melibatkan ketidakseimbangan hormon.

BAGAIMANA MENGHILANGKANNYA?

Menurut Dr Alam, cara terpantas untuk menghilangkan bintik hitam adalah dengan mengeluarkan atau memicitnya.

Namun, mengeluarkan sendiri bintik hitam boleh menyebabkan luka kecil pada kulit, keradangan, jangkitan atau parut.

Sebaik-baiknya, bintik hitam dikeluarkan oleh pakar dermatologi menggunakan peralatan steril.

Sekiranya seseorang tetap mahu mengeluarkan bintik hitam sendiri, Dr Son mengesyorkan penggunaan alat logam dengan lubang atau gelung kecil di hujungnya, berbanding menggunakan jari.

Tangan perlu dibasuh terlebih dahulu, kawasan bintik hitam dibersihkan menggunakan sabun atau alkohol dan alat tersebut dinyahjangkit menggunakan alkohol.

Pakar dermatologi juga tidak mengesyorkan penggunaan jalur pori yang dilekatkan pada kulit sebelum ditanggalkan untuk mengeluarkan minyak dan sel kulit mati.

Menurut Dr Alam, jalur tersebut mungkin hanya mengeluarkan bahagian atas bintik hitam, sementara kotoran lain kekal di dalam liang. Ia juga boleh menyebabkan kerengsaan kulit.

BOLEHKAH BINTIK HITAM DICEGAH?

Pakar dermatologi dari University of Washington School of Medicine, Dr Song Park, berkata mengeluarkan bintik hitam hanya memberikan penyelesaian sementara kerana ia boleh terbentuk semula.

Cara paling berkesan untuk mencegah pembentukan bintik hitam adalah dengan mengawal penghasilan minyak berlebihan pada kulit.

Penggunaan pencuci muka yang mengandungi asid salisilik secara berkala boleh membantu mengurangkan minyak dan membuka liang yang tersumbat. Asid salisilik digunakan dalam rawatan jerawat dan bertindak membantu membersihkan liang kulit yang tersumbat.

Retinoid topikal pula boleh mempercepatkan proses pembaharuan sel kulit dan membantu mencegah sel kulit mati daripada terkumpul di dalam liang.

Kebanyakan retinoid seperti tretinoin hanya boleh diperolehi menerusi preskripsi. Namun, adapalene merupakan sejenis retinoid yang boleh didapati tanpa preskripsi di sesetengah pasaran dan terbukti digunakan untuk merawat bintik hitam, bintik putih dan jerawat.

Produk retinol yang boleh didapati tanpa preskripsi doktor pula boleh membantu mengurangkan bintik hitam sedia ada dan mencegah pembentukan bintik hitam baharu.

Namun, Dr Huang berkata produk retinol lazimnya lebih lemah dan keberkesanannya mungkin lebih sukar ditentukan berbanding retinoid preskripsi.

Bagi individu yang kerap mengalami bintik hitam dan tidak mendapat hasil selepas menggunakan produk tanpa preskripsi, Dr Huang mengesyorkan supaya mendapatkan nasihat pakar dermatologi.

Antara pilihan rawatan lain ialah terapi laser untuk mengurangkan penghasilan minyak dan berpotensi mengecilkan liang serta pengelupasan kimia untuk menanggalkan sel kulit mati dan membantu melarutkan minyak.

Pakar dermatologi juga boleh membantu merancang rutin penjagaan kulit yang sesuai bagi mengurangkan pembentukan bintik hitam pada masa hadapan.
Sumber : New York Times/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita