Bimbang kembali ke pejabat? Berikut ini antara cara mengatasinya
Setelah sekian lama bekerja dari rumah, menyesuaikan diri untuk kembali ke tempat kerja boleh menimbulkan cabaran mental. Berikut ini saranan pakar untuk memudahkan proses itu.
(Gambar fail: Roslan Rahman/AFP)
NEW YORK: Di tengah-tengah gelombang terkini COVID-19 yang tidak menentu, kehadiran varian Delta dan jangkitan berulang merumitkan rancangan bagi peralihan licin untuk kembali ke tempat kerja. Bahkan, ia mencetuskan semula kebimbangan tentang keselamatan meskipun dalam kalangan pekerja yang sudah divaksinasi.
The New York Times menemu bual beberapa pakar tentang cara-cara mengurangkan rasa bimbang sebelum kembali memulakan tugas di tempat kerja.
RASA BIMBANG AKAN JADI LUMRAH
Selepas setahun setengah mengadakan mesyuarat secara online dan mengelak daripada menaiki pengangkutan awam pada waktu sibuk, pulang ke pejabat memerlukan penyesuaian yang besar buat semua orang.
"Otak kita tidak suka tangani keadaan yang tidak menentu," kata Dr Judson Brewer, pengarah penyelidikan dan inovasi di Pusat Keprihatinan Universiti Brown dan pengarang Unwinding Anxiety.
Rutin seharian yang ramai daripada kami sudah amalkan sewaktu bekerja dari rumah memberi kita rasa yakin dan pasti, kata beliau, meskipun di tengah-tengah tempoh paling buruk pandemik melanda. Pekerja akan kurang dapat mengawal keadaan di pejabat. "Rasa bimbang selain ketidaktentuan menyebabkan perasaan resah atau sukar bertenang," tambah beliau.
Justeru, penting untuk mengenal pasti aspek mana yang membuat anda bimbang untuk kembali ke pejabat.
Jika menaiki kenderaan awam membuat anda rasa tertekan, misalnya, Dr Franklin Schneier, pengarah bersama Klinik Gangguan Keresahan di Institut Psikiatri New York menyarankan anda cuba melakukan "latihan" perjalanan sebelum tarikh kembali ke pejabat.
Cuba menaiki kereta api ke beberapa perhentian atau berjalan-jalan di kawasan sekitar bangunan pejabat anda untuk membiasakan diri, syor beliau yang juga pensyarah psikiatri di Pusat Perubatan Universiti Columbia.
Dr Joe Bienvenu, profesor psikiatri dan sains tingkah laku di Sekolah Perubatan Universiti Johns Hopkins pula menasihatkan amalan menjaga diri seperti bersenam dan tidur secukupnya dapat membantu tangani rasa gelisah sebelum kembali ke pejabat.
SEDIAKAN KAEDAH MUDAH
Jika anda menjangkakan akan mengalami simptom-simptom kebimbangan, seperti rasa cemas atau secara amya rasa resah, amat berguna bagi anda ketahui kaedah-kaedah mudah untuk diamalkan terlebih dahulu sebelum kembali ke tempat kerja.
Dr Brewer mengesyorkan rutin "pernafasan lima jari" yang mudah untuk mengatasi rasa gelisah:
Hulur satu tangan di hadapan anda dan renggangkan jari-jemari. Gunakan jari telunjuk tangan satu lagi untuk melakar bentuk tangan yang dihulurkan itu secara perlahan - sambil menarik nafas dalam.
Kaedah ini membantu untuk menenangkan fikiran sambil memperlahankan pernafasan, jelas Dr Brewer.
Pakar psikiatri di Minneapolis, Dionne Hart menyarankan anda ke tandas dan mencuci muka dengan air sejuk, atau meletakkan pek air batu pada pergelangan tangan.
Strategi-strategi kognitif berguna bagi seseorang menangani rasa takut dan cemas, kata Dr Brewer. Anda juga boleh ingatkan diri sendiri bahawa serangan cemas atau gelisah tidak berbahaya, dan anda boleh mengatasinya sepertimana pernah anda lakukan pada masa-masa lalu.
BANTUAN SEDIA ADA
Jika anda masih menghadapi kesukaran di tempat kerja, mungkin anda boleh minta diberi sedikit kelonggaran aturan supaya peralihan kembali ke pejabat lebih mudah ditangani.
Antara aturan-aturan munasabah yang mungkin dapat membantu termasuk jadual kerja lebih fleksibel, waktu untuk janji temu perubatan dan terapi, serta sekitaran kerja yang lebih tenang, kata Cheryl Bates-Harris, seorang pakar kanan perjuangan bagi golongan kurang upaya di National Disability Rights Network di Amerika Syarikat.
Jika anda selesa berbincang dengan penyelia anda, anda boleh berkongsi cabaran mental yang anda hadapi supaya dapat mencari aturan yang lebih baik. Jika tidak, anda juga boleh menghubungi jabatan sumber manusia di tempat kerja anda.
Darcy Gruttadaro, pengarah Pusat bagi Kesihatan Mental di Tempat Kerja Yayasan Persatuan Psikiatri Amerika, berkata: "Masa ini adalah masa yang sukar buat semua.
"Penting bagi majikan untuk menunjukkan sikap empati dan memberi jaminan kepada pekerja yang kembali ke tempat kerja, dan lebih terbuka dan sering berkomunikasi dan benar-benar memeriksa kesejahteraan kakitangan, supaya dapat membantu mengurangkan kerisauan untuk kembali bekerja di pejabat."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.