Bilik pameran 'hypercar' dengan kereta mewah eksklusif bernilai S$4.7 juta akan dibuka di S'pura
Jenama kereta mewah Itali, Pagani, akan buka bilik pameran baru di S'pura pada 2022. Namun hanya 50 kereta dihasilkan setiap tahun, jadi peminat di sini mungkin perlu tunggu lama sebelum boleh dapatkan kunci...
SINGAPURA: Pengeluar kereta Itali, Pagani, memeterai satu perjanjian di Singapura bersama dengan Eurokars Supersports. Satu bilik pameran baru akan dibuka pada 2022.
Dengan termeterainya perjanjian baru itu, Eurokars akan mengambil alih peranan sebagai pengimport dan pengedar jenama tersebut di rantau ini.
Pengeluar 'hypercar' dari Itali itu amat terkenal kerana menghasilkan antara kereta paling mahal di dunia, yang sebelum ini diwakili di sini oleh EuroSports Group.
Kerjasama baru itu akan membolehkan Eurokars Supersports untuk mengembangkan jenama tersebut di Singapura dan Asia Tenggara, sambil memenuhi keperluan pelanggan sedia ada dan baru baik di sini mahupun di rantau ini, menurut Pagani dalam kenyataan medianya.
Eurokars Supersports adalah anak syarikat Eurokars Group, yang merupakan pengedar kereta Mazda, McLaren, Mini, Porsche dan Rolls-Royce di Singapura.
Pusat Pengalaman Jenama Pagani di Singapura akan dibuka pada 2022. Terletak di 5 Leng Kee Road, ia akan menawarkan "pengalaman konfigurasi yang luar biasa dan khidmat selepas jualan yang cemerlang" kepada para pelanggan. Ia akan membolehkan para pelanggan untuk menentukan sendiri ciri-ciri yang diinginkan pada kereta mereka.
Namun, sukar untuk mendapatkan sebuah 'hypercar' Pagani. Jenama itu mempunyai kapasiti pengeluaran yang terhad iaitu sehingga sekitar 50 unit setahun dan semua model Pagani 'ultra-rare' dan eksklusif yang dijadual dikeluarkan pada 2022 sudah habis ditempah.
Pagani membuat penampilan sulungnya di Geneva Motor Show 1999 dengan model pertamanya, Zonda. Kereta itu dipacu oleh enjin V-12 dibangunkan secara khusus oleh oleh bDivisyen AMG Mercedes-Benz. Reka bentuknya mendapat ilham daripada jet pejuang dan kereta lumba Sauber-Mercedes Silver Arrow Kumpulan C yang sangat terkenal.
Pada 2011, Pagani Huayra diumumkan sebagai pengganti Zonda. Model itu adalah kereta pertama di dunia yang dilengkapi dengan aerodinamik aktif.
Pusat baru Pagani di Singapura dijangka akan menjual C10 sebagai model pertamanya. C10 merujuk kepada nama kod dalaman yang digunakan sebagai pengganti Huayra, dengan penghantarannya dijadual tiba di sini pada 2023. Kereta mewah yang ditempah khas itu akan dipasang dengan enjin 6.0 liter biturbo V12.
Ingin tahu harganya? Harganya dilaporkan bermula dari €3 juta (S$4.7 juta).
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.