Bila beli-belah online jadi terlalu mudah: Sekali klik, duit 'melayang'
Gambar hiasan. (Gambar: Pexel)
- Membeli-belah online di Singapura memudahkan pengguna membandingkan harga, membaca ulasan dan menerima barang di rumah, tetapi kemudahan ini boleh mendorong pembelian melebihi keperluan.
- Promosi seperti baucar, potongan harga dan penghantaran percuma hanya benar-benar menjimatkan jika barang memang diperlukan, bukan kerana rasa takut terlepas tawaran.
- Pengguna disaran menyemak harga akhir, kos penghantaran, ulasan, ukuran, reputasi penjual dan polisi pemulangan sebelum membeli, terutama bagi barang mahal atau pesanan luar negara.
- Risiko penipuan online termasuk pautan palsu, bayaran luar biasa dan permintaan data perbankan; mangsa perlu menghubungi bank, platform atau ScamShield Helpline 1799.
SINGAPURA: Niat asal mungkin sekadar mahu ‘tengok-tengok’. Mungkin mahu mencari sepasang kasut, membandingkan harga blaus atau mencari barangan keperluan rumah. Namun, selepas beberapa minit menatal, entah bagaimana beg, aksesori dan pelbagai barangan lain pula mula menarik perhatian.
Kemudian muncul baucar diskaun, penghantaran percuma dan promosi masa terhad. Ada pula notifikasi yang mengatakan bekalan semakin berkurangan. Akhirnya, apa yang bermula dengan niat “tengok-tengok sahaja” berakhir dengan beberapa barang dalam troli dengan jumlah bayaran yang lebih daripada dirancang.
Itulah antara cabaran membeli-belah online. Ia sememangnya mudah, tetapi kemudahan yang sama juga boleh membuat kita leka dan membeli lebih daripada yang diperlukan.
Tidak perlu memandu, mencari tempat letak kereta atau beratur di kaunter. Dengan beberapa klik, kita boleh mencari produk, membandingkan harga, membaca ulasan, membuat pembayaran dan menunggu barang dihantar terus ke rumah.
Bagi yang sibuk bekerja, ibu bapa yang menjaga anak kecil atau mereka yang sukar mendapatkan barangan tertentu di kedai fizikal, kemudahan ini ternyata banyak membantu urusan harian. Pilihan yang tersedia juga agak luas.
Daripada jenama tempatan hingga produk dari luar negara, hampir semuanya boleh dicari dan dibandingkan tanpa perlu mengunjungi kedai atau pusat beli-belah. Cuma, apabila membeli menjadi terlalu mudah, kita juga perlu lebih berhati-hati supaya tidak membeli semata-mata kerana sesuatu itu mudah diperolehi.
DISKAUN LEBIH MENGGODA BERBANDING KEPERLUAN
Promosi memang antara tarikan membeli-belah online. Baucar, potongan harga, penghantaran percuma selain mata ganjaran boleh memberikan penjimatan, terutama apabila digunakan untuk barang yang memang sudah dirancang untuk dibeli.
Masalahnya bermula apabila setiap promosi terasa seperti peluang yang mesti direbut. Cuba bayangkan sepasang kasut berharga $100 ditawarkan pada harga $60. Terdapat potongan $40, tetapi ia hanya benar-benar menjimatkan jika kasut itu merupakan sesuatu yang diperlukan. Jika tidak, anda tetap akan membelanjakan $60 untuk sesuatu yang mungkin tidak wujud dalam senarai keperluan.
Lebih-lebih lagi apabila promosi disertai mesej seperti “tinggal beberapa pasang sahaja” atau “tawaran berakhir tidak lama esok”. Kita pun mula rasa perlu membeli segera kerana takut terlepas peluang, sedangkan belum tentu benda itu benar-benar diperlukan.
Sebelum membeli, cuba tanya diri sendiri, jika tiada promosi, adakah anda masih mahu barang itu? Jika jawapannya tidak, mungkin yang menarik perhatian kita sebenarnya bukanlah produk tersebut, tetapi rasa seronok kerana boleh mendapatkan “tawaran hebat”.
Untuk pembelian yang lebih mahal dan tidak dirancang, cuba beri diri anda sedikit masa. Tunggu beberapa jam atau sehari dan lihat sama ada keinginan itu masih ada. Kadangkala, sedikit masa sudah cukup untuk membezakan antara keperluan sebenar dengan rasa teruja bila melihat harga promosi.
ELAK MUDAH TERPEDAYA
Membeli secara online memang pantas, tetapi ada baiknya untuk memperlahankan langkah sebelum membuat pembayaran. Perkara pertama yang perlu dilihat ialah harga akhir. Harga pada halaman produk bukan semestinya jumlah yang akan dibayar kerana kos penghantaran dan caj tambahan juga boleh menyebabkan jumlah meningkat.
Contohnya, sebuah produk mungkin berharga $5, tetapi jika kos penghantarannya $7, tawaran ini ternyata tidak lagi berbaloi. Jika membeli daripada beberapa penjual pula, kos penghantaran setiap pesanan boleh membuat jumlah keseluruhan meningkat dengan ketara. Jadi, semak sehingga ke halaman pembayaran sebelum membuat keputusan.
Gambar produk juga perlu dilihat dengan lebih teliti. Dalam gambar, pakaian mungkin nampak sempurna, tetapi warna sebenar boleh berbeza daripada paparan pada skrin. Bahannya juga mungkin lebih nipis daripada jangkaan, manakala saiz tidak semestinya sama dengan ukuran yang biasa kita pakai.
Begitu juga dengan perabot. Meja yang kelihatan kecil dan sesuai untuk ruang tertentu dalam gambar mungkin sebenarnya mengambil ruang yang agak besar apabila sampai di rumah. Sebab itu, baca penerangan produk dengan teliti, semak ukuran dan lihat gambar yang dimuat naik pembeli.
Untuk ulasan pula, jangan hanya bergantung pada jumlah bintang. Komen yang menerangkan saiz, bahan, mutu dan pengalaman selepas menerima barang biasanya lebih membantu dalam membuat keputusan.
Sebelum menekan butang “Beli”, semak juga reputasi penjual serta polisi pemulangan, pertukaran dan bayaran balik. Dan jangan lupa, membeli online bermakna kita perlu menunggu. Jika barang diperlukan untuk hadiah atau majlis tertentu, jangan membuat pesanan pada saat-saat akhir.
Penghantaran boleh mengambil masa, terutama bagi pesanan dari luar negara, manakala kelewatan boleh berlaku atas pelbagai sebab. Simpan nombor pesanan, resit dan maklumat penghantaran sehingga barang diterima dan urusan selesai.
TROLI PENUH DAN PENIPUAN
Terlebih membeli atau banyak belanja mungkin akan menjejas bajet bulanan, tetapi penipuan online boleh membawa kerugian yang jauh lebih besar. Penipu tahu pengguna akan mudah tertarik dengan harga murah.
Sebab itu, ada penipuan yang menyamar sebagai penjual, platform beli-belah atau perkhidmatan penghantaran. Ada yang meminta bayaran tambahan, menghantar pautan pembayaran atau meminta maklumat perbankan atas alasan mahu memproses bayaran balik.
Antara tanda amaran yang patut diberi perhatian ialah harga yang terlalu murah sehingga kelihatan tidak munasabah, desakan untuk membuat bayaran segera dan permintaan supaya bayaran dibuat melalui saluran yang luar biasa. Pautan mencurigakan atau permintaan mendapatkan kata laluan, nombor pin dan kod pengesahan transaksi.
Jangan menganggap sesuatu mesej itu sah hanya kerana pengirim mengetahui nama anda atau mempunyai maklumat tentang pesanan yang baru dibuat. Jika ragu-ragu, semak terus melalui aplikasi atau laman rasmi platform berkenaan dan elakkan menggunakan pautan yang dihantar dalam mesej mencurigakan.
Jika anda mengesyaki sudah menjadi mangsa penipuan, bertindak segera. Hubungi bank jika wang atau maklumat akaun telah terjejas dan laporkan penjual atau akaun berkenaan kepada platform yang digunakan.
Di Singapura, pengguna yang tidak pasti sama ada sesuatu tawaran atau urus niaga merupakan penipuan boleh menghubungi ScamShield Helpline di 1799, yang beroperasi 24 jam untuk mendapatkan panduan berkaitan penipuan.
Jangan padamkan bukti walaupun ketika itu anda mungkin berasa marah atau malu. Simpan petikan gambar iklan, profil penjual, perbualan, nombor telefon, resit pembayaran, butiran urus niaga, nombor pesanan dan maklumat penghantaran. Semua ini boleh membantu apabila membuat laporan atau mendapatkan bantuan.
JENIS PEMBELI YANG MANA SATU?
Sejujurnya, kebanyakan kita mungkin pernah menjadi lebih daripada satu jenis pembeli. Ada yang mudah tertarik apabila nampak diskaun 50 peratus. Ada yang pada mulanya sekadar melihat-lihat, tetapi selepas beberapa kali nampak barang yang sama, terus rasa macam barang itu memang perlu dibeli.
Ada juga yang lebih berhati-hati. Sebelum membeli, mereka akan baca ulasan, bandingkan harga dan lihat terlebih dahulu sama ada barang itu boleh dipulangkan jika tidak sesuai. Kemudian, ada pula pembeli yang lebih tenang. Mereka tahu apa yang diperlukan, tahu berapa banyak yang boleh dibelanjakan dan tidak kisah meninggalkan sesuatu dalam troli apabila barang itu dirasakan tidak lagi berbaloi.
Sebenarnya, menjadi pembeli yang bijak bukan bermaksud kita perlu menjauhi semua promosi. Kita masih boleh menikmati diskaun dan tawaran menarik. Cuma, jangan biarkan promosi menentukan apa yang kita beli. Sebaliknya, biarkan keperluan kita menentukan apa yang patut dibeli.
BIJAK BELANJA
Sediakan senarai sebelum membuka aplikasi beli-belah dan tetapkan bajet yang ingin dibelanjakan. Jika ternampak barang yang mahal atau tidak dirancang, jangan terus tekan butang “beli”. Beri diri sendiri sedikit masa untuk berfikir.
Sebelum membuat keputusan, semak harga di beberapa tempat, baca ulasan dan pastikan penjual boleh dipercayai. Lihat juga kos penghantaran dan syarat pemulangan barang. Paling penting, tanya pada diri sendiri jika tiada promosi, adakah anda masih mahu barang ini?
Jika jawapannya tidak, mungkin kita sebenarnya lebih tertarik dengan tawaran itu daripada barang yang hendak dibeli. Membeli-belah online bukan sesuatu yang perlu ditakuti. Kemudahannya memang banyak membantu, terutama apabila kita tahu apa yang diperlukan dan berapa banyak yang mampu dibelanjakan.
Yang penting, jangan sampai kemudahan membeli membuat kita terus membeli sesuatu setiap kali ternampak promosi. Jadi, hujung minggu ini anda membuka aplikasi beli-belah dengan niat hanya ingin “tengok-tengok sahaja”, tidak salah untuk menikmati apa yang ditawarkan, melihat pilihan selain bandingkan harga dan baca ulasan.
Tetapi sebelum jari terus menekan butang “beli”, berhenti seketika dan fikir lagi jika barang itu memang diperlukan, masih dalam bajet dan berbaloi untuk dibeli?
Kalau semuanya sudah diperiksa dan jawapannya iya, barulah teruskan. Sekurang-kurangnya apabila bungkusan sampai nanti, kita tahu ia memang barang yang kita mahu, bukan sekadar hasil godaan promosi hujung minggu!
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.