Skip to main content

Gaya Hidup

Bijak pilih permaidani jelang lebaran

Permaidani bukan sekadar alas lantai. 
Anggaran Waktu Membaca:
Bijak pilih permaidani jelang lebaran
Permaidani ibarat lukisan yang menghiasi ruang kediaman. (Gambar: Unsplash)
SINGAPURA: Permaidani bukan sekadar alas lantai. Ia ibarat lukisan yang menghiasi ruang kediaman selain mampu menyerlahkan seri dan dekorasi rumah. Tidak kira warna atau coraknya, permaidani mudah diserasikan dengan perabot sedia ada sambil mengubah ruang kosong menjadi lebih menarik dan mesra tetamu, terutamanya menjelang musim perayaan nanti.

Selain itu, permaidani juga berperanan sebagai penyerap bunyi yang berkesan. Ia dapat membantu mengurangkan gema dan hentakan tapak kaki, menjadikan ruang lebih tenang. Dari segi keselamatan, ia juga dapat mengelakkan risiko tergelincir dan sekaligus memberi perlindungan tambahan jika terdapat anak kecil atau warga emas di rumah.

Dari segi teksturnya, penggunaan bahan mesra alam seperti bulu organik, kapas semula jadi dan gentian tumbuhan merupakan antara yang semakin mendapat perhatian di pasaran. Ia bukan sahaja lasak dan dapat tahan lama, bahan ini juga memberikan tekstur semula jadi yang selesa dan baik untuk kesihatan seisi keluarga.

Selain tekstur dan bahan, saiz permaidani juga perlu disesuaikan dengan keluasan sesebuah ruang agar susunan perabot kelihatan kemas serta tidak menghalang laluan tetamu. Semasa membuat pilihan permaidani, pastikan juga untuk pilih yang praktikal, mudah dibersihkan dan tidak terlalu tebal dan berbulu.

CORAK DAN WARNA

Rata-rata gaya minimalis menjadi pilihan popular kerana warna neutral seperti krim dan kelabu cerah mudah dipadankan dengan pelbagai konsep rumah. Rona cerah dan lembut juga memberi ilusi ruang yang lebih lapang dan bersih. Jika ruang tamu anda agak kecil, karpet berwarna cerah atau 'pastel' mampu membuka ruang dan menjadikannya lebih segar.
Related article image
Karpet berwarna cerah atau 'pastel' mampu membuka ruang dan menjadikan ruang tamu lebih segar. (Gambar: Vecteezy)
Bagi yang gemar bereksperimen, warna seperti biru diraja, merah gelap atau 'mustard' dapat membantu menonjolkan ciri sesebuah ruang. Contohnya, karpet merah gelap di ruang makan akan membuatnya tampil menyerlah, manakala biru diraja di ruang tamu mampu memberi kesan dramatik dan elegan.

Selain warna, saiz permaidani juga memainkan peranan penting. Pilih permaidani yang sesuai dengan keluasan ruang supaya susun atur perabot kelihatan kemas dan laluan tetamu tidak terganggu. Untuk ruang tamu yang luas, pilihlah permaidani yang saiznya lebih besar untuk menempatkan sofa atau meja, supaya ruang terasa lebih seimbang.

Jika anda mempunyai haiwan peliharaan seperti kucing, arnab atau anak kecil di rumah, pilihlah permaidani yang mudah dibersihkan atau jenis yang tidak terlalu berbulu serta bercorak sederhana agar kotoran tidak mudah kelihatan.
Related article image
Pilihan permaidani yang tidak terlalu berbulu dan bercorak sederhana boleh mempermudahkan tugas anda untuk membersihkan kotoran agar ia tidak mudah kelihatan. (Gambar: Unsplash)
JENIS PERMAIDANI

Memilih permaidani bukan sekadar soal warna atau corak yang menarik perhatian sahaja. Setiap jenis mempunyai ciri, kelebihan dan kekurangannya yang tersendiri. Pilih yang menepati kediaman anda. Antaranya:

Sintetik
Praktikal dan harga berpatutan. Menepati citarasa ramai, terutama bagi pasangan muda atau rumah baru. Mudah dibersihkan, tahan kelembapan, sesuai untuk ruang makan, dapur kering atau patio tertutup. Pilih rekaan ringkas supaya mudah dipadankan dengan perubahan dekorasi dari masa ke semasa.
Related article image
Permaidani sintetik mudah dibersihkan dan sesuai untuk digunakan di ruang makan, dapur kering atau patio tertutup. (Gambar: Unsplash)
Related article image
Permaidani sintetik mudah dibersihkan dan sesuai untuk digunakan di ruang makan, dapur kering atau patio tertutup. (Gambar: Vecteezy)
Nilon
Popular untuk ruang tamu dan makan kerana tahan lasak, tidak mudah haus dan mudah dibersihkan. Elakkan terdedah kepada cahaya matahari lama untuk mengekalkan warna. Gunakan langsir atau bidai di tingkap untuk melindungi permaidani.

Poliester
Lembut dan tepat untuk bilik tidur atau ruang santai. Tapi, kurang sesuai untuk ruang makan kerana mudah terkena tumpahan makanan. Sesuai untuk ruang yang lebih tenang dan kurang sibuk.

Bulu
Memberi sentuhan mewah, lembut, tebal dan bertindak sebagai penebat haba. Tahan lama dan selesa dipijak, tetapi memerlukan pengudaraan baik dan penjagaan rapi. Kurang sesuai untuk ruang lembap.

Bagi permaidani yang bulunya lebih panjang, ia lebih sesuai untuk ruang santai atau bilik tidur. Teksturnya yang lebih tebal memberikan keselesaan, tetapi habuk mudah terperangkap. Ia juga kurang sesuai untuk rumah dengan anak kecil atau haiwan peliharaan.
Related article image
Permaidani dengan bulu yang lebih panjang sesuai digunakan di ruang santai atau bilik tidur. (Gambar: Vecteezy)
Tradisional
Permaidani jenis ini sering berasal dari Turki, sarat dengan sejarah dan nilai budaya. Elegan dan corak unik, tetapi memerlukan penjagaan khusus untuk mengekalkan kualiti dan warnanya.

PENJAGAAN DAN PILIHAN

Pembersihan rutin penting untuk memastikan permaidani bersih agar dapat tahan lama. Vakum secara berkala untuk menyingkirkan habuk, rambut dan kotoran halus. Jika terdapat kotoran degil, gunakan cecair pembersih khas yang sesuai dengan jenis permaidani. Anda juga patut pertimbangkan khidmat pembersihan profesional sekurang-kurangnya setahun sekali bagi cucian menyeluruh serta penghapusan bakteria.

Selain itu, cuba jauhkan permaidani dari cahaya matahari langsung untuk elak dari cepat pudar. Jika ada air atau makanan yang tumpah atas permaidani, segera ambil kain lembut, tekan perlahan. Elak dari menggosok permukaan agar kotoran tidak meresap.

Sebelum membeli permaidani, pastikan pilihan menepati konsep atau gaya rumah secara keseluruhan. Buat pilihan karpet dengan fungsi yang tepat. Jika rumah mempunyai anak kecil atau haiwan peliharaan, pilih karpet dengan corak sederhana dan jenis yang mudah dibersihkan.
Related article image
Sebelum membeli permaidani, pastikan pilihan anda menepati konsep atau gaya rumah secara keseluruhan. (Gambar: Vecteezy)
Untuk bilik tidur pula, gunakan permaidani bertekstur lembut, manakala karpet tahan lasak pula lebih praktikal untuk ruang tamu yang menjadi tumpuan tetamu. Untuk mengekalkan mutu permaidani pula, elak meletakkannya di bawah cahaya matahari langsung agar warnanya tidak cepat pudar.

Dengan pemilihan yang bijak serta penjagaan yang rapi, permaidani bukan sahaja dapat menyerlahkan kediaman, tapi juga mewujudkan suasana yang lebih selesa, kemas dan berseri untuk menyambut keluarga serta tetamu sepanjang Syawal nanti!
Sumber : BERITA Mediacorp/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita